TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, December 22, 2017

Tips Bercuti di Cameron Highlands Semasa Cuti Krismas 2017


Hari ini Jumaat, 22 Disember 2017 sehingga Isnin depan adalah hari cuti puncak di Cameron Highlands. Ianya amat jelas dan tak perlu dipersoalkan lagi kerana faktor berikut:
  • Musim Cuti sekolah malah ianya minggu terakhir cuti sekolah.
  • Cuti hujung minggu bersambung pada hari Isnin untuk Cuti Umum Krismas
  • Lepas gaji dan mungkin ada terima bonus...
Jadi bagi anda yang dah merancang percutian ke Cameron Highlands pada minggu ini, saya kongsikan beberapa tips syok sendiri kalau boleh diterima pakai:
  1. Buat tempahan awal penginapan anda. Jangan main serbu dan berharap akan dapat penginapan dengan mudah atau murah. Ini adalah musim cuti puncak.
  2. Elakan memilih penginapan di dua atau tiga lokasi berbeza dalam tempoh percutian anda. Contohnya anda memilih hotel a di hari pertama dan hotel b di hari kedua dan homestay C di hari ketiga. Anda hanya membuang masa untuk check in dan check out dan check in dan check out dan check in dan check out sahaja. Ada orang suka nak menikmati suasana penginapan yang berbeza dalam tempoh percutian namun ianya tidak berbaloi di sini. 
  3. Buat rancangan perjalanan anda sebaik mungkin. Rancang dan atur lokasi persinggahan anda mengikut laluan anda tempuhi. Jangan melompat lokasi ke sana sini kerana anda akan rugi dalam kesesakan trafik perjalanan sahaja. 
  4. Jangan buang masa awal pagi dengan bangun lewat jika ingin ke lokasi lawatan yang jauh. Contohnya anda nak ke ladang teh Sungei Palas tetapi anda keluar hotel atau homestay anda selepas pukul 11 pagi. Anda akan terperangkap dalam kesesakan jalan. Sebaiknya anda ke kawasan yang atas dahulu bagi menikmati kelancaran trafik awal pagi dan apabila pulang anda melawan arus kesesakan.  
  5. Rancang perjalanan anda dalam pakej yang serentak seperti makan dan minum dalam dalam lokasi lawatan yang sama. Contohnya untuk sarapan pagi pilih kedai atau gerai yang dalam perjalanan anda bukannya ke food court dahulu baru nak berjalan. Anda akan terperangkap dalam kesesakan sebaik sahaja anda kenyang tetapi kemudian lapar balik sebab dalam kereta sahaja. Sebaiknya jika ada cafe dalam lokasi lawatan anda, anda boleh makan dan minum di situ sahaja berbanding nak cari kedai makan, restoran ataupun cafe lain.
  6. Nak tahu status kesesakan jalan raya di sini. JANGAN TANYA MAK SENAH DI PAPUA NEW GUINEA... gunakan aplikasi WAZE atau GOOGLE MAP. Kalau dah ditandakan merah menyala tu jangan la nak redah jugak. Atur kembali perjalanan anda ke kawasan yang tidak sesak... itupun jika ada... Kadang-kala pertanyaan anda di laman faecbook akan dijadikan gurauan pembaca lain apabila menjawabnya. 
  7. Kalau nak makan minum, jangan berlagak diva tak mahu periksa dahulu harga makanan yang ditawarkan. Jangan dah perut membuntal nanti baru nak buat aksi terperanjat boboi pula masa nak membayarnya. Kemudian anda viralkan di facebook.... Pemilik kedai ramai juga yang tahu dan aktif berfacebook dan ada yang mengambil hati dengan komen tak membina anda yang jelas silapnya akibat tidak bertanya harga atau tidak mengambil tahu harga di dalam menu.  Kan nanti dah berbalas mesej dalam facebook anda pula. 
  8. Bab memandu jangan nak buat macam jalan tu jalan kampung anda. Anda mungkin seorang samseng di kawasan kampung anda tapi anda perlu sedar ada lebih ramai samseng kampung lain yang sedang bercuti di Cameron Highlands ketika ini yang anda tak tahu level kesamsengan mereka. Samseng tempatan selalunya malas nak kisah sangat tapi jangan pula dicucuk punggung samseng-samseng ini. Dalam bahasa yang lembut, jangan tidak bersopan di jalan raya di sini.
  9. Jangan cepat nak VIRAL itu ini mengenai sikap pemandu ataupun pengunjung yang lain tanpa ada bukti kukuh. Antaranya anda nampak ada kereta yang parkir tak betul atau mengambil dua tapak parkir dan kisah sebenarnya tidak pula anda ketahui tetapi lebih suka nak kongsikan di facebook dengan kata selamat 'saya berfikiran positif atau bersangka baik' walhal anda sebenarnya telah mencipta persepsi untuk orang membuat komen negatif semata-mata maklumat tak lengkap. Anda memburukkan orang tanpa menyelidiki dahulu biarpun anda kata tanpa niat tapi gambar yang anda letakan hampir 80 peratus dapat memberikan gambaran. Lihat komen orang-orang yang memberikan maklum balas di mana mereka mengutuk tanpa periksa juga. Mereka caci dan tulis kata nista kepada pemilik kereta tersebut setelah hanya membaca dan melihat post orang tanpa menyelidiki samada benar atau tidak. Silap hari bulan, orang yang anda fitnah itu mencari anda ketika bercuti di sini.Tenang kan.....
Sikit sahajalah sebab anda pasti dah mahir bercuti. Antara lain juga adalah pilihan beberapa catatan lama saya di blog ini yang mungkin juga berguna: 


Selamat bercuti di musim cuti puncak.... banyakan bersabar... bertabahlah ... 

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock