TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, December 26, 2016

Banjir di Cameron Highlands 25 Disember 2016

Jambatan masuk ke MARDI Tanah Rata
Semalam, 25 Disember 2016 hujan lebat dari pukul 1 hingga 3 petang melanda Cameron Highlands khasnya di Pekan Brinchang dan Tanah Rata. Manakala di Ringlet tiada hujan kecuali gerimis ketika itu. 

Bagaimana lebatnya hujan itu saya tak pasti sebab saya tiada di daerah ini kerana turun ke bawah bercuti untuk lari dari kesesakan di Cameron Highlands. 

Namun dari beberapa group whatsapp saya menerima mesej tak henti-henti mengenai kejadian tanah runtuh dan banjir kilat sekitar Pekan Brinchang dan Tanah Rata.

Memang menjadi kebiasaan kalau taburan hujan yang lebat dalam tempoh pendek akan menyebabkan kesan banjir dan tanah runtuh berlaku.

Antara punca adalah jumlah kelodak hakisan permukaan atau 'run off' yang terhasil akibat hujan yang lebat. 

Kesan hakisan permukaan  yang menghasilkan kelodak tanah dan lumpur ini memasuki salur sungai dengan jumlah yang banyak. Mengikut unjuran kalau tak silap saya setiap 1 ha tanah terbuka akan menghasilkan 100 mt hakisan kelodak setahun dan bayangkan berapa banyak pula tanah yang telah dibuka.

Juga sedikit tambahan jika rumah plastik dibina untuk tanaman kadar hujan yang sepenuhnya akan terus mengalir ke kawasan longkang dan sungai tanpa melalui resapan di kawasan tadahan semulajadi. 

Tapi tak perlu untuk terlalu terperinci mengenainya kerana kesan yang jelas diterima  adalah Sungai Bertam yang melalui Pekan Brinchang telah menerima semua air permukaan dari kawasan sekitarnya seperti Pekan Brinchang, Padang Golf, Golden Hills serta aliran air dari Sungai Ruil.

Kuarter Kerajaan sebelah Kuarter Polis

Semua air ini kemudian melalui pinggir Kampung Taman Sedia dan Parit Fall sebelum melalui Tanah Rata dan sungai yang berubah saiz dan ketinggian tebing sungai yang semakin mengecil dan mulai rendah sehingga airnya melimpah lalu menyebabkan banjir kilat selama dua jam di Padang Tanah Rata, Kuarter Kerajaan dan juga Kuarter Polis. 

Padang Bola MDCH

Manakala gabungan air longkang besar dari Perumahan Prima serta Jalan Tengkolok, Jalan Lagak Mercu  dan juga Longkang Besar Carnation serta Lembah Jasar dan sekitar Pekan Tanah Rata bercantum di muara sungai sebelah Taman Pertabalan menjadikan jumlah air bertambah sekali ganda untuk melalui Sungai Bertam yang berkonkrit selebar 10 meter dan 3 meter dalam sepanjang Persiaran Dayang Endah sebelum menuju ke Robinson Water Fall ke Habu.

Kesan utama adalah Stesen Mardi dan Sekolah Kebangsaan Tanah Rata yang sememangnya berada diparas yang lebih rendah dari kawasan kuarter kerajaan dan Polis tadi dittambah dengan tambahan aliran air dari Puncak Arabela dan kawasan sekitarnya. 

Maka airnya melimpah dikawasan perkarangan premis mereka. Stesen Mardi di Tanah Rata lebih menerima kesan kerana aliran longkang besarnya seperti 'back flow' ke kawasan sendiri kerana air dari Sungai Bertam  iaitu saluran keluarnya sendiri telah melimpah.

Stesen Mardi dari pandangan Arabella

Semuanya terjadi dalam tempoh dua jam hasil hujan yang lebat. Saya masih belum mendapat jumlah taburan hujan dalam tempoh dua jam tersebut namun jika melihat dari suasana  ini pada 2 tahun yang lalu ianya seakan-akan sekitar 63 mm dalam tempoh dua jam.

Sebagai perbandingan purata taburan hujan sebulan di Tanah Rata sekitar 120-180 sebulan dan hujan dalam tempoh 2 jam pada 25 Disember 2015 munkin sudah 1/3 dari hujan yang diterima dalam sebulan. Lebat kan. 

Air surut dalam tempoh 2 jam dan surut sepenuhnya pada pukul 5 petang  hingga 7 malam hari yang sama. Malah saya dikhabarkan oleh pengusaha tandas awam di Taman Pertabalan, ianya hanya mengambil masa 30 minit untuk surut sepenuhnya di premisnya. 

Tiada kawasan yang kekal banjir. Semua kembali pulih dengan pantas tetapi mengalami kesan banjir kilat seperti tebing sungai yang terhakis dan juga lumpur nipis. 

Tiada kecederaan dan kematian dilaporkan.

Tiada mangsa dipindahkan. 

Kawasan perlancongan yang terjejas adalah Stesen Mardi tetapi dibuka seperti biasa pada hari ini. Begitu juga dengan Taman Pertabalan di Tanah Rata juga dibuka seperti biasa esoknya. 

Manakala kawasan perlancongan yang lain tetap penuh malah pasar malam di Brinchang tak surut dengan pelancong dan saya sendiri terperangkap dalam kesesakan hampir 1 jam 15 minit dari Cafe Lorong Kea Farm ke Brinchang bukan akibat pasar malam tetapi kerana trafik perlahan dalam kawasan Pekan Brinchang.

Harapan saya, anda boleh hadam situasi semalam dan keadaan semasa hari ini.

Untuk Tanah Runtuh di jalan-jalan utama dan juga tanah runtuh melibatkan 4 buah kereta saya ulas kemudian.  Klik

Harap membantu. 

Adakah Cameron Highlands masih selamat? 

Sebagai orang awam yang menetap di sini saya tak ada masalah.

Untuk lebih terjamin, ajukan pertanyaan kepada Majlis Daerah Cameron Highlands atau Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands atau Polis Cameron Highlands. 

Sapa lagi boleh anda tanya? Tentulah JKR Cameron Highlands yang mana laluan utama adalah Jalan Persekutuan 59. 

Untuk keselamatan parit dan saliran pastinya Jabatan Parit dan  Saliran Cameron Highlands yang arif dengan semua saluran parit dan sungai di sini.

Anda tak percaya juga? Tanyalah sahaja netizen yang tak pernah ke sini tapi dah update pelbagai 'status terkini' di laman facebook, tweeter, instagram dan blog mereka.

Hujan tak minggu depan? Cuba periksa laman MET Malaysia ramalan Kawasan Perlancongan atau belek Accuweather dalam telepon anda.

Semoga membantu... 

Kawan-kawan Cameron Highlands... ada apa-apa nak tambah?

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock