Ketika itu, Sir George Maxwell melancarkan satu ekspedisi bagi mencari semula dataran tanah rata yang pernah dilihat oleh Cameron dalam ekspedisinya pada 1885. Dalam ekspedisi itu, Maxwell menjejaki semula laluan-laluan yang pernah digunakan Cameron sebelum itu.
Ini kerana wujud percanggahan mengenai kedudukan sebenar dataran tanah tinggi tersebut dalam laporan Cameron. Cameron tidak mencatatkan di dalam peta mengenai kedudukan sebenar dataran tinggi itu tetapi arah laluan ekspedisinya menghala ke hulu Sungai Raja yang terletak di Perak.
Ekspedisi Cameron bermula pada penjelajahan pertama pada Februari 1885. Menurut Dr. Robert C. M. Weebers (gambar) yang menjalankan kajian mengenai sejarah pembangunan Cameron Highlands di Universiti Malaya, Cameron menggunakan laluan dari Estet Waterloo yang terletak berdekatan Kuala Kangsar kemudian melalui Gunung Bubu dan ke Gunung Chabang yang terletak berhampiran Batu Gajah, Perak.
“Dari situ, Cameron turun ke Pahang dan merentasi sehingga ke Ulu Bertam atau Selangor. Ketika melalui Lembah Raja, Penoh dan Anak Kinta, Cameron membuat trek baharu dan kemudian melepasi Lembah Telom yang beraltitud 1,500 meter dari paras laut.
“Di situ, Cameron melaporkan telah menemui satu kawasan dataran yang begitu menarik dengan purata ketinggian sehingga 1,300 meter yang terletak di dalam sempadan Pahang,” katanya.

Dr. Robert C. M. Weebers
Weebers berkata, Cameron terus mendaki beberapa lagi gunung di sekitarnya dan membuat lakaran berserta butiran mengenai laluan di Perak, Pahang dan Kelantan. Sebelum ekspedisi itu tamat pada 1 September 1885, Cameron sempat melaporkan penjelajahannya itu kepada Residen British, Frank Swettenham.
Selepas itu, Cameron beberapa kali lagi melakukan penjelajahan di sekitar Perak dan Selangor.
Kira-kira 40 tahun kemudian, Maxwell cuba menjejaki semula laluan Cameron. Pada satu ketika, kumpulan ekspedisi Maxwell mendapati laluan yang digunakan itu tidak sesuai untuk dilalui gajah yang digunakan sebagai pengangkutan pada masa itu.
Berikutan itu, Maxwell menukarkan laluan perjalanan mereka ke Tapah. Laluan denai-denai kecil itu merupakan yang pertama menghubungkan Tapah ke Cameron Highlands.
Setelah Maxwell melaporkan hasil penemuannya kepada Kerajaan British, kawasan itu dilihat mempunyai potensi besar untuk diterokai dan sekumpulan pemaju telah dilantik bagi tujuan itu.
Tidak lama selepas itu, kawasan di dataran tanah rata dibahagikan mengikut zon dengan fungsi berlainan. Kawasan di Habu, Sungai Palas dan Kea Farm telah diwartakan untuk aktiviti pertanian, manakala Ringlet, Tanah Rata, Brinchang dan Tringkap pula diwartakan sebagai kawasan kediaman.
Namun sebelum perancangan itu dilaksanakan, pihak British telah membina sebuah stesen eksperimental dan penyelidikan pertanian di Cameron Highlands pada 1925, khusus bagi menjalankan kajian mengenai penanaman teh dan kopi di kawasan tanah tinggi itu.
Pada 1926, British memulakan usaha membina jalan raya yang lebih sempurna menghubungkan tanah tinggi itu dengan Tapah dan siap sepenuhnya pada 1931. Pada 1929, ladang teh pertama telah diwujudkan di tanah tinggi itu.
Bagi tujuan pembangunan, Kerajaan British telah membuka peluang kepada usahawan dari negara itu, selain membenarkan pakar pertanian dari China dan pelabur dari India Utara untuk membangunkan Cameron Highlands ketika itu.
Kebanyakan industri tertumpu kepada aktiviti pertanian dan perladangan teh yang diusahakan secara meluas pada waktu itu. Manakala aktiviti riadah dan istirehat turut menjadi popular dalam kalangan rakyat British yang berada di Tanah Melayu.
Cuaca sejuk menjadikan Cameron Highlands sebagai kawasan percutian popular bagi rakyat British yang rindukan kampung halaman. Justeru, banyak pusat peranginan muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan ketika itu, rata-rata mempunyai ciri-ciri dan budaya Inggeris.
Padang golf, sekolah berasrama bagi anak-anak pegawai British, hotel dan banglo rehat mula dibina bagi kemudahan di situ. Ketika itu, bermain golf di Cameron Highlands mempunyai risiko tersendiri kerana sering terdapat jejak binatang buas terutama harimau di padang golf.
Sehingga hari ini, Cameron Highlands masih menjadi pusat peranginan dan percutian popular di negara ini. Kebanyakan bangunan lama yang ada sudah dimiliki oleh pemilik yang baharu, namun masih mengekalkan ciri-ciri sejarah yang mula dibina lebih 80 tahun yang lalu