TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, October 16, 2015

Hujan Lebat di Bulan Oktober

Petang tadi, hujan turun di Tanah Rata namun agak lebat pula terasa.

Saya teringat dua tarikh. 

Pertama 23 Oktober 2013 dan kedua 6 November 2014.

Ada apa dengan dua tarikh ini?

Mungkin tidak ramai yang akan mengingati tarikh ini kerana tiada kaitan dengan diri masing-masing manakala bagi yang ada kaitan pula pasti tidak mahu mengenang akan peristiwa itu.

Peristiwa apa pula ni dan apa pula kaitan dengan hujan petang tadi di Tanah Rata? 


Tarikh di atas ‎adalah peristiwa banjir lumpur di Lembah Bertam di Ringlet. Bagi yang tidak arif mengenai lokasinya, Pekan Lembah Bertam ini terletak di kawasan bawah di Ringlet dan jika anda datang menggunakan jalan Sungai Koyan, inilah Pekan pertama yang akan anda temui.

Cuma jika saya nak mengulas mengenai peristiwa yang lepas ini suka untuk saya mengatakan semuanya bermula dengan hujan lebat dibahagian huluan Cameron Highlands seperti Tanah Rata, Brinchang, Kuala Terla, Tringkap dan juga Kampung Raja.


Air hujan yang mengalir ke Sungai Bertam membawa hakisan tanah dari permukaan yang terbuka khasnya kawasan kebun sayur yang dibuka baik yang halal tetapi tidak mengikut amalan kawalan hakisan dan kelodak apatah lagi kebun haram yang pastinya sudah salah dari awal

Bayangkan jika setiap hektar kebun terbuka menyumbang sekitar 150 tan hakisan tanah dan sisa kelodak, berapakah jumlah hakisan tanah dan sisa kelodak yang terhasil jika dilihat angka 8,060 ha kebun yang terdapat di Cameron Highlands. 


Maka apakah harapan kita kepada kawasan takungan di Empangan Sultan Abu Bakar ‎yang kian tenat menerima tetamu tidak diundang ini.

Kesannya, bila air melepasi paras merbahaya, ianya perlu dilepaskan melalui alur limpah. 


Apabila ianya dilepaskan, air ini akan melalui kawasan alur limpah iaitu Sungai Bertam. 


Malangnya terdapat penempatan di sepanjang tebing sungai ini malah ada yang telah menceroboh kawasan simpanan tebing sungai.

Maka berlakulah limpahan air bersama lumpur ke kawasan penempatan.


Bagi peristiwa pada 23 Oktober 2013, perlepasan air ini memang tidak diduga oleh penduduk yang terlibat malah mereka tidak bersedia ‎langsung. 


Malah Pelan amaran keselamatan untuk menghadapi sebarang perlepasan air dikatakan tidak jelas kepada mereka atau langsung tidak diketahui.

Maka kesannya amat buruk dapat dilihat dengan bahaya kemusnahan terutamanya apabila alur sungai menjadi sempit akibat pendudukan haram dan binaan dibina tanpa kebenaran di simpanan tebingnya.

Saya sendiri pada pagi tersebut sempat menyertai dan melihat sendiri dua mangsa warga ditemui terkorban di dalam rumah sewa mereka yang berada di tebing sungai dan mereka terperangkap biarpun siren amaran dibunyikan terlebih awal sebagai amaran air akan dilepaskan. 


Saya sempat juga menemui jiran mangsa orang tempatan yang telah menghadapi serangan jantung semasa kejadian. 

Mereka bersimpati dengan mangsa yang juga jiran mereka tetapi pada masa juga menghadapi musibah kemusnahan yang tidak terduga di kediaman masing-masing.

Saya juga berkesempatan menemui suami kepada salah seorang mangsa yang hanya ditemui selepas dua minggu hilang kemudian. 

Agak sayu terasa semasa pertemuan tersebut dimana beliau masih berusaha mencari isterinya di celahan batu-batuan di Sungai Bertam.



Bagi kejadian pada 6 November 2014 pula, ada yang menganggapnya sebagai ulang tahun peristiwa yang pertama.

Saya sempat juga melihat sendiri Kampung Baru Ringlet yang menerima kesan buruk limpahan Sungai Ulu Merah.

Malah saya sempat menyertai usaha menyelamat 3 mangsa tanah runtuh di bengkel merea.

Syukur, mereka terselamat biarpun hampir keseluruhan tubuh dihempap tanah runtuh.

Kemudian saya sempat melihat mayat warga Nepal yang terlebih dahulu terkorban akibat tanah runtuh di Ulu Merah yang terperangkap dalam perjalanan ke Hospital akibat tanah runtuh. 

Esoknya saya melihat bagaimana usaha menyelamat mangsa tanah runtuh di Bertam oleh pihak Bomba dan pada masa yang sama sebahagian Pekan Lembah Bertam sudah di land banjir akibat perlepasan air dari Empangan Abu Bakar pada malam sebelumnya. 

Sangkaan awal operasi menyelamat sudah tamat apabila mayat mangsa tanah runtuh ditemui namun kembali menjadi aktif bilamana seorang petani melaporkan kehilangan dua pekya di Sungai Kabok, 5 km dari Lembah Bertam.

Saya sendiri mengikuti operasi ini yang amat mencabar. Dengan laluan masuk ke kebun di puncak bukit yang terputus memaksa pasukan Penyelamat terpaksa mengikuti laluan rentas bukit yang curam dan memerlukan hampir sejam pendakian.

Sampai di kawasan kejadian, cerun yang sangat curam dan sempit memaksa pasukan Penyelamat terpaksa menghadkan jumlah penyelamat. 

Saya melihat dedikasi yang amat tinggi ditubuhkan oleh pasukan Penyelamat perlbagai agensi kerana mereka masih kepenatan kerana baharu sahaja selesai mencari dan mengeluarkan mayat mangsa tanah runtuh.

Mereka amat kepenatan namun tiada rungutan

Saya kagum.‎ 

Mayat mangsa kemudian ditemui pada keesokan hari selepas mendapat bantuan anjing pengesan dan lebih menyayat hati keduanya ditemui masih berselimut menunjukan mangsa dalam keadaan tidor ketika runtuhan berlaku.

Namun harus saya nyatakan di sini penambahbaikan yang dilakukan oleh pihak berwajib dalam Pelan kecemasan menghadapi perlepasan air dari Empangan sangat berjaya membantu penduduk kerana tiada mangsa terkorban akibat perlepasan air tersebut dan 4 mangsa yang terkorban untuk tahun 2014 adalah mangsa tanah runtuh di lokasi yang berasingan tanpa berhubung kait dengan perlepasan air di empangan. 

Panjang pula saya menulis kali ini.

Sekadar terkenang....




Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock