Tauke-tauke ladang tersebut ditahan kerana disyaki memberi suapan kepada pegawai agensi penguat kuasa dalam usaha menghapuskan gejala rasuah yang dikatakan menjadi punca tanah tinggi itu berhadapan dengan pelbagai masalah, khususnya penerokaan kebun haram sehingga memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

Kesungguhan dan keberanian SPRM memberi harapan baharu kepada usaha memulihkan pusat peranginan tersebut yang sedang "sakit" akibat tindakan rakus manusia tamak melakukan kerja serta perbuatan haram.

Keadaan di Cameron Highlands mula mendapat perhatian apabila Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia pada awal November tahun lalu mendedahkan daerah yang terkenal sebagai pengeluar sayur-sayuran dan buah-buahan berkenaan semakin "hancur" dengan pelbagai masalah, termasuk kebanjiran warga asing berpunca daripada gejala rasuah.

Sehari selepas laporan khas dua siri itu disiarkan, negara digemparkan dengan tragedi banjir lumpur dan tanah runtuh yang meragut lima nyawa serta menjejaskan lebih 80 buah rumah di sekitar Lembah Bertam, satu daripada kawasan tumpuan di situ.

Aktiviti pertanian tidak terkawal di kawasan rizab sungai, dikatakan antara punca berlaku kejadian berkenaan yang turut menyebabkan kira-kira 200 orang diarahkan keluar daripada kediaman masing-masing.

Utusan Malaysia kemudian mendedahkan pula hampir keseluruhan tanah di Cameron Highlands sedang diteroka sama ada secara sah atau haram bagi tujuan pertanian dan pembangunan.

Pada 9 November lepas, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada maaf kepada pendatang tanpa izin (PATI) yang menceroboh, termasuk ahli politik yang terlibat melindungi pencerobohan di tanah tinggi berkenaan.

Beliau turut mengarahkan satu operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan digerakkan supaya tindakan lebih tegas diambil sama ada kepada PATI, penanam atau pengusaha yang bersalah.

Berikutan itu juga, Jabatan Imigresen mula menggempur PATI di Cameron Highlands menerusi "Ops Gempak Tapi Mesra" manakala  SPRM dilaporkan memandang serius isu di situ selain turut mengemukakan 12 syor bagi mengatasinya.

Komitmen kerajaan bagi memulihkan Cameron Highland terserlah apabila Kabinet bersetuju merangka pelan jangka pendek dan panjang menerusi penubuhan sebuah jawatan kuasa bersama bagi meneliti perkara berkenaan.