TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, June 22, 2015

Pengurusan pertanian di tanah bercerun


SENARIO pembangunan tanah bercerun atau lazimnya dipanggil tanah berbukit bagi pembangunan pertanian bukanlah sesuatu yang menghairankan di negara ini.

Hal ini memandangkan di Malaysia keluasan tanah bercerun sememangnya lebih banyak berbanding kawasan tanah pamah.

Bagaimanapun, tidak semua tanah bercerun boleh diteroka untuk pembangunan pertanian.
Jabatan Pertanian bertegas bahawa kawasan bercerun lebih daripada 25 darjah tidak boleh dibangunkan berdasarkan prinsip lebih tinggi darjah kecerunan atau lebih curam sesuatu cerun, maka lebih tinggilah kadar hakisannya.

Garis panduan ini terpakai untuk tanah bercerun di tanah rendah dan tanah tinggi.

Namun, amat mengecewakan apabila pembangunan pertanian di tanah bercerun banyak dilakukan di kecerunan yang tidak dibenarkan seperti di Cameron Highlands.

Cameron Highlands pada asalnya merupakan kawasan tanah tinggi yang hampir keseluruhannya terdiri daripada kawasan lebih 25 darjah yang dikategorikan sebagai cerun curam dan sangat curam.

Cerun asal dipotong bagi mengurangkan kecuramannya dan dibangunkan tanpa mendapatkan khidmat perunding pakar daripada Jabatan Pertanian sehingga mengakibatkan hakisan yang sangat teruk.

Meskipun begitu, keadaan tersebut masih boleh diselamatkan daripada terus menjadi lebih parah dengan mengamalkan kombinasi langkah pemuliharaan tanah iaitu membina struktur pemuliharaan tanah dan amalan agronomi.

Struktur pemuliharaan tanah yang disyorkan bagi kawasan yang telah dibangunkan adalah seperti berikut :
- Parit lereng
- Pembetung
- Empangan penampan
- Perangkap kelodak
- Benteng gabion atau dinding konkrit (Bagi ladang yang terletak di tepi jalan raya utama)

Selain itu, pembinaan Struktur Pelindung Hujan di Cameron Highlands perlu menyediakan sistem saluran air (palung air) untuk disalirkan ke parit atau longkang dengan sempurna.

Jabatan Pertanian menggalakkan untuk mengamalkan kitar semula air hujan dengan membina struktur yang sesuai seperti kolam atau tangki untuk menakung air hujan.

Penyelenggaraan secara berkala perlu dilakukan ke atas binaan struktur bagi memastikan struktur tersebut sentiasa berfungsi dengan baik.

Umpamanya, parit atau perangkap kelodak perlu sentiasa bersih daripada sampah sarap yang boleh menyebabkan aliran air tidak lancar sehingga berlaku limpahan.

Pembinaan struktur-struktur ini perlu mengikut spesifikasi yang disarankan oleh pihak seperti Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Kerja Raya.

Amalan agronomi dalam pemuliharaan tanah bukan sahaja dapat mengawal hakisan bahkan mampu meningkatkan kesuburan tanah.

Amalan agronomi turut memerlukan penyenggaraan yang baik. Amalan itu sangat disyorkan bagi 
kawasan baharu mahupun yang telah dibangunkan :
- Menanam rumput penutup bumi seperti tanaman kekacang
- Menanam rumput penstabil cerun seperti vetiver atau Kim Chiam (Daylily)
- Menggunakan sungkupan semula jadi seperti jerami padi dan sisa hasil tanaman
- Pembajakan minimum
- Menanam mengikut kontur
- Menanam dua atau tiga jenis tanaman pada masa yang sama dalam satu kawasan (tanaman selingan)
- Melakukan tanaman padat
- Biarkan rumput semula jadi hidup di kawasan ladang

Semua pihak yang terlibat perlu mengelak daripada menjalankan sebarang aktiviti di tanah pertanian yang melebihi 25 darjah.

Perlu ditegaskan di sini, Jabatan Pertanian mengesyorkan supaya kawasan hutan yang terletak di kecerunan melebihi 25 darjah perlu dikekalkan sebagai hutan.

Kita perlu menerima hakikat bahawa tanah di Cameron Highlands sudah mencapai tahap tepu untuk sebarang pembangunan.

Pembukaan kawasan baharu pada kecerunan bawah 25 darjah di kawasan tanah rendah juga tertakluk kepada jenis tanaman dan kelas kecerunan.

Kerja membangunkan tanah bercerun untuk pertanian boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu pembukaan kawasan, pembinaan struktur dan amalan agronomi.

Memandangkan hakisan paling tinggi berlaku ketika operasi pembukaan kawasan, maka perkara berikut perlu dipatuhi bagi mengurangkan hakisan:
- Tidak dilakukan pada musim hujan
- Dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan tanah terdedah terlalu lama.
- Penebangan secara menyeluruh bagi tanaman sayuran dan tanaman ladang.
- Penebangan secara selektif bagi tanaman buah-buahan, kelapa sawit dan getah.
- Tidak mencabut tunggul-tunggul kayu kecuali jika menghalang kerja ladang.
- Sisa kayu dilonggok setempat atau berbaris.

Pokok asal di tepi sungai dan di tali air utama perlu dibiarkan sebagai zon penampan.

Sebagai contoh pembinaan struktur di kawasan baharu dibuka bagi tanaman sayuran sesuai dibangunkan di kelas kecerunan 0-2 darjah, 2-6 darjah dan 6-12 darjah sahaja.

Struktur yang disyorkan mengikut kelas kecerunan adalah:
*0-2 darjah dan 2-6 darjah - batas mengikut kontur, parit ladang dan pembetung.
*6-12 darjah - teres bangku (sayuran berbuah sahaja) atau batas mengikut kontur (boleh pilih salah satu), parit lereng, pembetung, pagar kelodak dan perangkap kelodak.

Contoh amalan agronomi di kawasan baharu dibuka untuk tanaman sayuran di kelas kecerunan adalah seperti berikut:

0-2 darjah dan 2-6 darjah Menanam mengikut kontur, sungkupan, bajakan minimum dan tanaman padat.
6-12 darjah

Menanam mengikut kontur, sungkupan, bajakan minimum, tanaman padat dan tanaman penstabil cerun seperti vetiver.

Pertanian di tanah bercerun ini dapat dijadikan asas dan diguna pakai oleh petani serta para pelaksana projek pembangunan pertanian.

Panduan pertanian di tanah cerun diharap dapat membantu mengawal hakisan dan kerosokan tanah serta memulihara alam sekitar





Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock