TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, May 8, 2015

Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal

Sebelum Istiadat Tabal Pusaka dijalankan malam tadi, satu lagi Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di tujuh kuala Sungai Perak terlebih dahulu dilaksanakan awal pagi semalam.

Saya kongsikan aturan Istiadat tersebut dari petikan Kosmo Online untuk rekod di blog mrkumai ini . 



KUALA KANGSAR – Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di tujuh kuala Sungai Perak sempena pertabalan Sultan Perak ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berlangsung dengan penuh tertib mengikut adat dan tradisi pagi semalam.

Bagaimanapun, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim tidak menyertai istiadat berkenaan yang bermula kira-kira pukul 9.30 pagi itu.
Upacara tersebut diketuai oleh Toh Seri Nara Diraja, Mohd. Shah Nong Chik sambil diiringi oleh Kumpulan Nobat Diraja, lima orang panglima dan tujuh bentara bersama dengan beberapa orang Pawang Diraja yang membawa perkakas istiadat dan 16 jejawat berlembing.
Ia dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Toh Seri Bijaya merangkap Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Leftenan Kolonel (B) Datuk Shaharuddin Nazari dan disusuli dengan bacaan doa.
Ahli rombongan yang menaiki tujuh buah kenderaan yang lengkap dihiasi kain kuning dan bendera negeri Perak berarak dari Istana Iskandariah, Bukit Chandan ke jeti Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).
Sepanjang perjalanan dari anjung Istana Iskandariah sehingga tiba di jeti MPKK, lagu Nobat Khamis dipalu oleh Kumpulan Nobat Diraja Perak yang dipimpin oleh Toh Setia Guna Abd. Aziz Yahya.
Sebelum bermulanya Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal, Toh Seri Nara Diraja dilihat membawa perkakasan istiadat dan dimasukkan ke dalam dua bot yang dihiasi dengan kain kuning.
Selain Kuala Sungai Kangsar, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal diambil dari enam kuala sungai lain iaitu Sungai Chempias, Sungai Sayong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Buaia dan Sungai Menora.
Air yang diambil dari tujuh kuala sungai itu kemudiannya dimasukkan ke dalam geluk. Geluk ialah buyung kecil yang diperbuat daripada emas dan perak.
Terdapat 16 biji geluk yang digunakan untuk mengisi air bagi Istiadat Mengambil Air Bersi­ram Tabal. Bagi upacara tersebut, sebanyak lapan buyung perak dan lapan buyung emas telah digunakan.
Kesemua geluk diiringi dengan daun-daun kelapa muda berbentuk jari lipan, bekas perasap, bekas beras kunyit, bekas beras basah, bekas bertih, bekas tepung tawar, bekas air sintuk, bekas air limau dan bekas air bunga panca bi­cara.
Setelah selesai mengambil air di tujuh kuala Sungai Perak yang memakan masa kira-kira dua jam, ahli rombongan itu bergerak se­mula ke Istana Iskandariah dengan iringan paluan nobat.
Kesemua 16 geluk itu terus dibawa ke Panca Persada 11 tingkat di pekarangan Istana Iskandariah yang turut menjadi tempat berlangsungnya upacara Istiadat Bersiram Tabal Sultan Nazrin dan Tuanku Zara malam tadi sejurus selesai Istiadat Tabal Pusaka.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock