TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Sunday, December 7, 2014

Operasi Gading 1 @ Cameron Highlands

Operasi mengempur kawasan kebun haram di Cameron Highlands telah dilancarkan dan dinamakan sebagai Operasi Gading dengan memulakan operasinya di sebuah kebun haram Blue Valley.


CAMERON HIGHLANDS, 7 Dis (Bernama) -- Pihak berkuasa akan bertindak memastikan ladang pertanian yang dibuka secara haram di Cameron Highlands dibersihkan sepenuhnya daripada aktiviti itu, kata Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Beliau berkata pemantauan akan dilakukan secara berterusan dan mereka yang terlibat dikenakan tindakan.

"Bila perkara ini berlaku, ini yang menimbulkan masalah iaitu menjejaskan alam sekitar dan ekologi yang menyebabkan masalah tanah runtuh," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan 'Ops Gading' di Blue Valley di sini pada Ahad.

Beliau berkata penerokaan tanah secara haram bukan hanya berlaku di Blue Valley kerana ia turut dikesan di beberapa kawasan di Cameron Highlands.

Mengulas ladang sayur yang diusahakan secara haram di Blue Valley, Mohamed Thajudeen berkata ia melibatkan kawasan seluas 18 hektar, yang mana 10 hektar telahpun dibersihkan.


"(Operasi) ini bukanlah mudah, kita berada di atas puncak bukit yang mana puncak ini tidak sesuai menjadi tempat untuk (kegiatan) pertanian.

"Selepas kawasan ini dibersihkan, pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memperbaiki tanah ini dengan menanam semula pokok untuk memulihkan kawasan ini kepada asal," katanya.

Ops Gading membabitkan 300 anggota daripada 16 agensi, antaranya, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pegawai Pejabat Peguam Negara.

Setakat ini, sejumlah 42 pendatang tanpa izin (PATI) yang bekerja di Blue Valley ditahan pihak berkuasa dalam Ops Gading yang bermula Khamis lepas, dan operasi itu akan diteruskan ke kawasan lain yang dikenal pasti terlibat dengan penerokaan tanah secara haram.




Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada 5 Nov lepas mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.

-- Sumber :  BERNAMA

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock