Atas sebab itulah masa sudah tiba untuk kerajaan khususnya melalui Jabatan Imigresen bertindak tegas dan tidak lagi berkompromi dengan masalah pendatang asing ini.

Kita akui kehadiran mereka diperlukan bagi memenuhi keperluan pekerjaan dalam sektor tertentu tetapi apa yang berlaku di Cameron Highlands atau tempat-tempat lain, warga asing ini telah ‘mencerobohi’ bidang-bidang yang tidak sepatutnya mereka ceburi. 

Bayangkanlah mana mungkin warga asing begitu bebas berniaga dan memiliki kedai-kedai runcit seperti mana berlaku di Cameron Highlands, malah kalau siasatan dilakukan secara terperinci di kawasan-kawasan lain juga fenomena ini berlaku.

Persoalannya apakah kita begitu pemurah untuk membenarkan mereka berbuat demikian atau undang-undang negara ini terlalu lemah untuk mengehadkan kebebasan warga asing di negara kita? 

Rakyat hakikatnya sudah bosan dengan amaran demi amaran tanpa tindakan konkrit bagi mengatasi kebanjiran warga asing. 

Mereka seolah-olah terlalu bebas di negara ini melakukan apa sahaja pekerjaan asalkan ia boleh mendatangkan rezeki.

Sepatutnya, pihak berkuasa perlu tegas dalam soal ini dan bukannya terlalu bertolak ansur sehinggakan warga asing boleh dianggap menguasai segala-galanya. 

Sesuatu yang menghairankan jika warga asing bebas menguruskan kedai runcit atau berniaga di pasar malam manakala pelanggan mereka pula orang tempatan. 

Apakah tidak ada undang-undang yang boleh menghalang mereka berbuat demikian? 

Atau terdapat penyalahgunaan kuasa dalam kalangan agensi penguat kuasa sehingga memungkinkan semua itu berlaku?

Kita tidak mahu isu pendatang asing ini dikendalikan secara bermusim, apabila ia didedahkan oleh media barulah semua pihak kelam-kabut untuk mengendalikannya sedangkan warga asing ini boleh diibaratkan sudah bermaharajalela di negara kita. 

Contoh di Cameron Highlands, mana mungkin jumlah warga asing boleh mencecah 30,000 orang seperti mana didakwa jika penguatkuasaan yang tegas dilaksanakan. 

Penulis yang membuat tinjauan di kawasan tanah tinggi itu mendapati mereka menguasai segala-galanya.

Ke mana sahaja kita pergi di kawasan peranginan itu semuanya dikuasai oleh warga asing khususnya warga Bangladesh. 

Mereka menjalankan aktiviti yang kita pasti menyalahi permit tanpa rasa takut atau bimbang seolah-olah undang-undang berada di tangan mereka.

Penulis diberitahu, kalau pun ada operasi oleh Jabatan Imigresen ia hanya dilakukan di pinggir-pinggir jalan. 

Sebagai contohnya, dalam satu operasi yang dijalankan pada Ogos lalu hanya tiga orang sahaja warga asing yang ditahan kerana tidak ada permit sedangkan di kebun-lebun sayur ribuan lagi golongan itu menjalankan aktiviti mereka tanpa masalah.

Tidak cukup dengan itu wujud pula dakwaan berlakunya amalan rasuah dalam kalangan sesetengah anggota agensi penguat kuasa yang menjadikan warga asing ini sebagai ‘lubuk’ untuk mengaut keuntungan. 

Warga asing yang ditahan dikatakan perlu membayar rasuah yang ada ketika mencecah sehingga RM3,000.

Apabila wang boleh dijadikan objek akibat sikap tidak jujur dan amanah segelintir anggota agensi penguat kuasa maka kebanjiran warga asing di sesuatu kawasan bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Oleh itu adalah diharapkan tiada lagi ‘wayang darjah tertinggi’ atau ‘strategi lautan biru’ berlaku di pihak berkuasa bagi memastikan kebanjiran warga asing tidak bertukar menjadi ‘tsunami’ yang boleh ‘menjahanamkan’ negara ini, justeru bertindaklah sebelum terlambat.