TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Saturday, August 30, 2014

Komplek Perigi Hang Tuah, Melaka

Kali pertama saya ke Perigi Hang Tuah yang terletak di Duyong, Melaka ini adalah sekitar tahun 1989 mengikut rombongan sekolah rendah. 

Dan seperti kuat pula jodohnya, saya kembali ke sini setelah menemui jodoh saya dengan orang Melaka yang berdekatan dengan Kg Duyong ini. 


Jadi bila balik bercuti di kampung mertua, saya selalunya akan mengambil kesempatan untuk 'melancong' ke sekitar Melaka yang memang terkenal dengan lokasi yang boleh anda kunjungi sebagai pelancong.

Cuma yang selalu saya lakukan adalah kunjungan secara solo atau pun bersama dua anak kecil saya sahaja kerana kalau nak ajak orang rumah saya atau ahli keluarga mertua jawabnya tidak bersahut pelawaan saya ini kerana dah orang Melaka yang dari kecil berada di sini. 

Berbalik kepada cerita Perigi Hang Tuah, kunjungan saya dua tahun lepas ianya masih belum dinaiktaraf dan saya pernah membuat catatan saya mengenainya. 


Cuma selepas melihat papan tanda pembangunan semula perkampungan ini sebagai Kompleks Perkampungan Hang Tuah, saya kembali untuk melihat apakah perbezaan yang telah dilakukan oleh kerajaan Negeri Melaka. 

Memang ketara perbezaanya. Seluruh kawasan Kampung Duyong ini dinaiktaraf dengan pelbagai kemudahan dan dipelbagaikan lagi lokasi kunjungan bukan hanya sekadar Perigi Hang Tuah. 


Kini diwujudkan pula Pusat Kesenian dan Kebudayaan disebelahnya, Rumah Melaka dan yang paling besar adalah Pusat Hang Tuah yang merupakan ikon baharu untuk mengenali sejarah silam Pahlawan Hang Tuah ini.

Yang tak berubah adalah bentuk Perigi Hang Tuah sahaja. Masih perigi yang sama dan sejuk airnya yang sama. 


Kemudahan sekitarnya dengan pusat jualan yang diperkemaskan dan juga kawasan tempat kereta yang lebih tersusun serta informasi berkenaan sejarah pahlawan ini turut lengkap p disediakan. 


Malah kalau melihat kepada susun atur pelan kompleks ini terdapat stesen kereta lembu berdekatan tetapi mungkin saya terlepas pandang kerana di penghujung lawatan kami di sini hujan mulai turun. 


Jadi saya berpendapat ini satu langkah yang amat baik untuk memberi keselesaan dan menarik minat pelancong tempatan. 

Saya hanya sempat menjengah Perigi Hang Tuah sebelum ke Pusat Hang Tuah yang akan saya ceritakan dalam catatan yang lain. 

Dan pastinya saya membawa dua anak kecil saya yang masih belum memahami akan sejarah Hang Tuah tetapi bagi saya ini adalah permulaan pendedahan kepada mereka. 


Mereka masih kecil dan tidak memahami siapakah Hang Tuah.

Saya juga pasti mereka sendiri tidak pernah mencuba mandi di perigi apatah lagi bergantung sepenuhnya kepada air perigi dalam kehidupan mereka..

Tapi membawa mereka ke tempat sebegini bagi saya perlu bukan sebagai perjalanan dan mengisi masa sahaja tetapi menjangkau kepada pemahaman mereka kelak. 

Lebih penting mewujudkan minat untuk mereka kepada sesuatu yang pernah menjadi salur galur warisan kita suatu masa dahulu. 

Ibarat kata, "Kalau tak dipecahkan ruyong, masakan dapat sagunya"...


Seperti biasa si abang akan memerhatikan gelagat pengunjung lain termasuklah yang mencedok air perigi lantas sebaik sahaja ada peluang baginya turut sama ingin mencuba.    

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock