Apa kata anda klik info ini.. saya tak marah ...

Gambar terkini di Facebook mrkumai.blogspot.com

TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Saturday, August 30, 2014

Pusat Hang Tuah, Duyong, Melaka

Selepas melawat Perigi Hang Tuah, saya terlihat pelan atur Komplek Perkampungan Hang Tuah yang turut menempatkan Pusat Hang Tuah. 


Ini sesuatu yang baharu kepada saya. Maka walaupun dalam hujan yang mulai turun, saya tetap membawa anak kecil saya ke arah yang ditunjukan. 

Berada di luar pagarnya sahaja sudah melambangkan kekaguman kepada saya. Kagum dengan saiz kompleks yang besar dan kagum kedua pula adalah kerana senibina bangunan yang bercirikan keaslian senibina Melayu dan ciri utamanya pastinya rumah-rumah tradisional Melaka. 


Untuk masuk, saya dikenakan tiket berharga RM 4 kalau tak silap saya manakala anak-anak saya secara percuma. 

Pintu utamanya menempatkan bangunan muzium yang besar dan dibahagian depan adalah dinding berukiran 5 pahlawan bersaudara yang terkenal, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu.

Bercirikan senibina istana dengan dua menara pengawal dibahagian pintu utama kami segera masuk bagi mengelakan hujan. 

Sebaik masuk sebagaimana suasana sebuah muzium kami mula menjelajah dari satu sudut ke sudut. 

Yang menarik adalah sudut seni silat di mana anak saya boleh belajar simulasi gerakan silat yang menarik. 

Lebih menjadikan dia bersemangat adalah berpeluang pula memakai baju silat yang bersaiz tubuh badan mereka secara percuma sebelum bersama kanak-kanak lain masuk gelanggang. 

Di sudut yang lain yang menarik perhatian saya dan anak-anak adalah tayangan hologram kisah Hang Tuah.

Selain daripada itu sudut Hikayat Hang Tuah, Istiadat Perarakan ke Majapahit dan pelbagai jenis koleksi senjata dan busana juga agak menarik. 

Keluar sahaja dari dewan utama kami singgah sebentar ke ruangan auditorium yang rupanya sedang berlangsung ujibakat untuk teater Hang Tuah yang bakal dipersembahkan. Ramai juga lapisan muda yang berminat dengan seni teater ini.

Kami kemudian keluar untuk melihat kawasan sekitarnya. 

Pastinya unit-unit rumah Melayu tradisional Melaka manjadi tumpuan. 

Pertamanya kami ke Rumah Hang Tuah yang menampilkan suasana dalaman kehidupan berbudayakan adat dan resam Melayu. 


Di hadapannya terdapat sebuah kawasan lapang yang dinamakan Gelanggang Silat sebagai gambaran kegiatan persilatan mereka.

Mengunjungi pula ke bersebelahannya adalah Rumah Hang Jebat yang menghimpunkan koleksi senjata Melayu serta kelengkapan bertempur. 

Manakala kunjungan ke Rumah Hang Kasturi pula menawarkan keleksi Busana Tradisional dan anda boleh membeli juga koleksi tertentu.

Di sebelahnya adalah Rumah Hang Lekir kalau tak silap saya yang agak keberatan untuk saya masuk kerana ianya berkonsepkan alam misteri. Ini kerana saya membawa anak kecil yang sukar dijangka ketahanan mereka. Untuk memasuki rumah ini, tiket berasingan diperlukan.


Manakala dibahagian hujung adalah Rumah Hang Lekiu yang tidak sempat saya kungjungi kerana hujan mulai turun dengan lebih lebat. 

Kesimpulan yang boleh saya katakan di sini, anda boleh dan perlu melawat Pusat Hang Tuah ini untuk mengetahui secara khusus mengenai sejarah silamnya yang penuh kegemilangan.

Cuma kalau boleh saya ingin mencadangkan juga diceritakan secara lebih lanjut karektar dan juga sejarah setiap saudaranya iaitu yang berempat ini supaya kita juga dapat mengenali bukan sahaja Hang Tuah tetapi yang lain juga.

Saya mengesyorkan anda ke sini... 

Koleksi gambar kami di sana boleh dilihat di sini..klik

Komplek Perigi Hang Tuah, Melaka

Kali pertama saya ke Perigi Hang Tuah yang terletak di Duyong, Melaka ini adalah sekitar tahun 1989 mengikut rombongan sekolah rendah. 

Dan seperti kuat pula jodohnya, saya kembali ke sini setelah menemui jodoh saya dengan orang Melaka yang berdekatan dengan Kg Duyong ini. 


Jadi bila balik bercuti di kampung mertua, saya selalunya akan mengambil kesempatan untuk 'melancong' ke sekitar Melaka yang memang terkenal dengan lokasi yang boleh anda kunjungi sebagai pelancong.

Cuma yang selalu saya lakukan adalah kunjungan secara solo atau pun bersama dua anak kecil saya sahaja kerana kalau nak ajak orang rumah saya atau ahli keluarga mertua jawabnya tidak bersahut pelawaan saya ini kerana dah orang Melaka yang dari kecil berada di sini. 

Berbalik kepada cerita Perigi Hang Tuah, kunjungan saya dua tahun lepas ianya masih belum dinaiktaraf dan saya pernah membuat catatan saya mengenainya. 


Cuma selepas melihat papan tanda pembangunan semula perkampungan ini sebagai Kompleks Perkampungan Hang Tuah, saya kembali untuk melihat apakah perbezaan yang telah dilakukan oleh kerajaan Negeri Melaka. 

Memang ketara perbezaanya. Seluruh kawasan Kampung Duyong ini dinaiktaraf dengan pelbagai kemudahan dan dipelbagaikan lagi lokasi kunjungan bukan hanya sekadar Perigi Hang Tuah. 


Kini diwujudkan pula Pusat Kesenian dan Kebudayaan disebelahnya, Rumah Melaka dan yang paling besar adalah Pusat Hang Tuah yang merupakan ikon baharu untuk mengenali sejarah silam Pahlawan Hang Tuah ini.

Yang tak berubah adalah bentuk Perigi Hang Tuah sahaja. Masih perigi yang sama dan sejuk airnya yang sama. 


Kemudahan sekitarnya dengan pusat jualan yang diperkemaskan dan juga kawasan tempat kereta yang lebih tersusun serta informasi berkenaan sejarah pahlawan ini turut lengkap p disediakan. 


Malah kalau melihat kepada susun atur pelan kompleks ini terdapat stesen kereta lembu berdekatan tetapi mungkin saya terlepas pandang kerana di penghujung lawatan kami di sini hujan mulai turun. 


Jadi saya berpendapat ini satu langkah yang amat baik untuk memberi keselesaan dan menarik minat pelancong tempatan. 

Saya hanya sempat menjengah Perigi Hang Tuah sebelum ke Pusat Hang Tuah yang akan saya ceritakan dalam catatan yang lain. 

Dan pastinya saya membawa dua anak kecil saya yang masih belum memahami akan sejarah Hang Tuah tetapi bagi saya ini adalah permulaan pendedahan kepada mereka. 


Mereka masih kecil dan tidak memahami siapakah Hang Tuah.

Saya juga pasti mereka sendiri tidak pernah mencuba mandi di perigi apatah lagi bergantung sepenuhnya kepada air perigi dalam kehidupan mereka..

Tapi membawa mereka ke tempat sebegini bagi saya perlu bukan sebagai perjalanan dan mengisi masa sahaja tetapi menjangkau kepada pemahaman mereka kelak. 

Lebih penting mewujudkan minat untuk mereka kepada sesuatu yang pernah menjadi salur galur warisan kita suatu masa dahulu. 

Ibarat kata, "Kalau tak dipecahkan ruyong, masakan dapat sagunya"...


Seperti biasa si abang akan memerhatikan gelagat pengunjung lain termasuklah yang mencedok air perigi lantas sebaik sahaja ada peluang baginya turut sama ingin mencuba.    

Thursday, August 28, 2014

Kembali menonton Pahang beraksi...

Saya penyokong Pasukan Pahang sedari kecil kerana saya adalah Orang Pahang. 

Menonton perlawanan yang melibatkan pasukan Pahang adalah antara kenangan yang paling saya gemari ketika berkesempatan berbuat demikian setelah memasuki asrama di Kuantan sekitar 1991-1996. 


Malah ketika itu setiap nama pemain Pahang mudah meniti bibir kami seasrama dan sekolah dan ketika itu populariti liga Semi Pro memuncak sebelum ianya pudar selepas peristiwa budaya menjual perlawanan ataupun rasuah melanda Malaysia. 

Bintang-bintang Pahang ketika zaman itu adalah seperti Dollah Salleh, Zainal Abidin, Azharudin, Azizul Kamaluddin, Azhar Kamaluddin, Mubin Moktar, Khairul Azman, Muadzar yang dibantu dan membantu awang import pahang seperti Alan David Davinson, Igor, Mike Peterson dan beberapa nama lagi bintang menjadi kegilaan kami.

 
Bukan sekadar menonton perlawanan kalau dapat menonton mereka berlatih di Padang MPK 1 atau MPK 2 sudah cukup teruja. 

Untuk menonton perlawanan bukanlah sesuatu yang mudah. Duit saku kami simpang untuk membeli tiket berharga RM 6 kalau tak silap. 

Untuk menempuh perjalanan ke perlawanan juga bukan mudah kerana perlu melanggar peraturan asrama atau "panjat tembok". 

Risikonya boleh digantung atau dibuang asrama. 

Malah menempuh laluan 5 km berjalan kaki juga menjadi cabaran kerana kadangkala berkejaran dengan anjing liar dan juga perlu meniti lorong-lorong di perumahan nelayan di sebelah asrama. 


Ketika tingkatan 3 pula kami perlu menantikan sehingga habis tuisyen iaitu selepas pukul 10 malam atau prep dan bergegas ke Stadium Darul Makmur semata-mata untuk menyaksikan baki 15 minit yang selalunya masuk percuma.

Kadang-kala berbaloi pengorbanan kami kerana ada beberapa perlawanan yang menyaksikan 15 minit terakhir itulah menjadi detik jaringan demi jaringan.  

Bila pulang selepas perlawanan pastinya wajah kami terbayang kepuasan.  Namun cabaran pulang kembali menanti kami bukan sekadar dengan gangguan anjing dan lorang yang gelap tetapi perlu menantikan detik terbaik untuk masuk semula ke Asrama bagi mengelakkan di tangkap abang keselamatan ataupun oleh Warden sendiri. 

Pernah juga beberapa orang di kalangan kami tertangkap dan dikenakan tindakan tatatertib.


Masuk pula ke Tingkatan 4 saya amat bertuah kerana berpindah asrama dan kali ini asrama yang saya sertai pula merupakan asrama sukan ataupun projek yang jaraknya sekitar 1.5 km sahaja dari Stadium Darul Makmur.  

Istimewanya pula, sebagai salah satu keistimewaan pendedahan yang kami terima adalah menonton perlawanan Bolasepak di Stadium setiap kali Pahang beraksi secara percuma!!!

Maka 2 tahun saya dari 1995 hingga 1996 begitu istimewa. Sangat bertuah rasanya. 


Selepas berpindah keluar dari Negeri Pahang untuk bekerja, peluang untuk menyaksikan perlawanan secara langsung selalunya tipis kecuali Pahang bertandang di kawasan negeri saya seperti di Shah Alam ataupun Seremban, Negeri Sembilan. 

Dan bilamana saya sudah menetap di Cameron Highlands hanya selepas 8 tahun, dua minggu yang lalu saya kembali ke Kuantan secara kebetulan untuk menemani Isteri yang pergi berkursus. 

Peluang itu tidak saya lepaskan dan saya membawa bersama dua anak kecil saya untuk sama menonton walaupun dalam suasana perlawanan yang tertangguh kerana hujan lebat. 


Melihat wajah bangga mereka memakai baju jersey Pahang iaitu Kuning dan Biru dan kemudian begitu bangga pual berkongsi cerita dengan rakan-rakan mereka selepas pulang ke Cameron Highlands membuatkan saya turut bangga. 

Malah ketika menyaksikan siaran langsung di TV untuk perlawanan bertemu Lion XII dan juga Felda United jelas masih terlihat riak keseronokan kepada mereka dengan pengalaman menyaksikan perlawanan di Stadium Darul Makmur.


Kesudahannya perlawanan ini Pahang Menang 4-0. Tahniah ...

Klik untuk melihat koleksi gambar yang sempat saya rakamkan di SINI.

Wednesday, August 27, 2014

CHTT 2014 .... mengulangkaji laluannya ...

Berkongsikan catatan saya di Cameron Rider Blogspot mengenai ulangkaji laluan yang bakal dilalui oleh peserta CHTT 2014 Sabtu depan.... catatan asal di sini

*****************************************

Berbaki kurang 10 hari untuk ke Jamboree CHTT 2014, kami membawakan anda sekali lagi sedikit ulangkaji berkenaan dengan laluan anda nanti.


Tempat permulaan adalah di Padang Habu, Ringlet. 8 km dari Pekan Tanah Rata.

Padang ini terletak di laluan utama dan mudah dikunjungi. 

Terdapat dua pekan kecil akan anda lalui iaitu Pekan Ringlet (pinggirannya) dan juga Pekan Lembah Bertam.

Terdapat 5 perkampungan Orang Asli yang terlibat dalam laluan ini dan dua antaranya akan dilalui secara langsung iaitu Kg Kuala Boh dan juga Kampung Pangan. 

JENIS BENTUK JALAN:






















Laluan on road adalah sejauh 18 km pertama sebelum anda akan memasuki laluan kampung.

Laluan berbentuk off road dengan pemukaan tanah sepenuhnya pula melibatkan kawasan hutan sejauh 4 km di mana berkeadaan sempit kadangkala selorong basikal dan mendaki sebelum anda tiba di Kampung Pangan. 

Baki laluan adalah jalan ladang separa berturap di Ladang Teh milik Boh Plantation sebelum anda akan melalui 6 km terakhir di laluan masuk menuruni bukit ke lokasi penamat di Padang Habu yang sama.

KETINGGIAN ARAS LALUAN:

Dari segi ketinggian atau aras pendakian, terdapat cabaran yang amat jelas untuk pendakian selepas anda santai berkayuh di 18 km pertama iaitu dari aras 1018 meter paras laut sebelum turun ke 554 meter dari paras laut di perkampungan Pos Menson. 

Selepas itu anda akan mula mendaki sekitar 2 km sebelum menuruni laluan ke Perkampungan Orang Asli Kampung Kuala Boh.. 


Ketinggian laluan tertinggi adalah di kilometer ke 31.53 iaitu pada paras 1,266 meter dari aras laut ketika berada di BOH Tea Centre sebelum menghabiskan 6 km terakhir menuruni bukit untuk kembali ke paras 1018 meter dari paras laut.

Kini anda telah mengetahui bentuk dan aras laluan. 

Maka anda pastinya akan bersiap sedia dengan segala teknik dan juga peralatan basikal yang bersesuaian.

Juga bagi mereka yang datang secara berpasukan pasti akan merencanakan startegi demi memburu kemenangan.

SELAMAT BERJAYA ... 

Friday, August 8, 2014

"Jack Waterfall ?"

Kalau di Cameron Highlands, ramai yang saya temui terutama kaki mendaki dan jungle trekking adalah bayangan mereka untuk menerokai  koleksi sungai yang cantik, jernih dan bersih malah koleksi air terjun yang banyak kerana berada di atas pergunungan.
 
 
Saya perlu akui kalau melihat kepada senarai nama sungai dalam peta Cameron Highlands sewajarnya begitulah keadaannya kerana dikelilingi kawasan pergunungan yang tinggi dan menghijau luasnya.
 
Namun melihat kepada realiti, saya sukar untuk mengenepikan rasa kecewa dan sangat terganggu tatkala melawat beberapa air terjun yang mudah dikunjungi sekitarnya kerana apa yang saya dan mereka bayangkan adalah sekadar bayangan semata.
 
Airnya kotor ! Warnanya kuning ! Sampahnya melata! Tak percaya?
 
Singgahlah di Parit Waterfall dan juga Robinson Fall yang terletak di Tanah Rata.
 
Malah kalau anda mencari dihuluannya masih sama dan anda akan segera mengetahu puncanya.
 
Tak perlu menjadi seorang konsultan alam sekitar atau professor kerana puncanya kawasan huluan sungai tidak langsung dijaga dan terus binasa dek pembukaan kebun-kebun sayur baik yang halal apatah lagi haram di sepanjang tepian tebing sungai tanpa menjaga sebarang kawasan simpanannya. 
 
Ini bukan isu baharu. Bukan penemuan baharu. Bukan misteri yang sangat sukar dirungkai.
 
Saban tahun dari dulu lagi isu kemusnahan alam sekitar di kawasan pergunungan ini menjadi semakin buruk dengan penerokaan hutan secara haram dan halal berlangsung sepanjang masa tanpa henti.
 
Halal adalah pembukaan ladang yang mempunyai lesen pendudukan sementara (TOL) yang akhirnya haram juga kerana dalam lesen sekadar suku ekar tetapi realitinya 10 ekar.
Yang haram pula dah tentu langsung tak berlesen.
 
Pendedahan demi pendedahan yang kononnya dibawa baik oleh media massa ataupun NGO mahu pun silih berganti Pak Menteri Alam Sekitar yang menjanjikan akan diambil tindakan tegas.
 
Kini laungan azam itu termasuklah lawatan Pak Menteri Alam Sekitar yang juga merupakan Ahli Parlimen Cameron Highlands baharu minggu sudah ke sebahagian kawasan Cameron Highlands dan lojing  hanya ditertawakan berguling-guling oleh pihak yang terbabit manakala bagi kami penduduk biasa pula satu lagi janji manis yang semakin kelat untuk ditelan.
 
Sekadar RETORIK! Sekadar memastikan ada teguran diberikan. Sekadar ada lawatan dilakukan. Sekadar ada jentera yang disita. Sekadar ada pengusaha yang dikompaun.
Tetapi esok atau lusa dan tulat ketika mereka menghela nafas di bangku empuk, kembali mengaum si penjenayah alam sekitar melakukan aktiviti mereka kembali.
Bagi mereka yang terbabit asalkan ada untuk ditunjukan kerja.... dua minggu sudah...cukuplah ...
Jangan marah, anda sendiri tahu hakikatnya. (Bagi pembaca catatan ini yang mempunyai hubung kait dengan isu ini...) Tak boleh nak menambah kata takut nanti makin ramai "peminat".....
 
Tolong baca dengan pemahaman saya bukannya ahli pembangkang kerana untuk menyatakan prinsip dan tidak bersetuju dengan semua kelemahan kawalan ini tidak perlu menjadi seorang penyokong atau pembangkang.
 
Yang salah baik di pihak kerajaan ataupun lawan perlu diakui sepenuhnya tanpa perlu ego tebal masih ingin menafikan lalu membutakan hati kita semua betul hanya kerana beranggapan yang menegur itu sekadar mencari salah lawannya sahaja...
 
Jadi apabila saya menemui sungai dikawasan hiliran yang tidak bersambungan dengan Sungai Telom yang berbeza ciri yang biasa ditemui cukup amat mengembirakan.
 
Sungai yang saya maksudkan kalau mengikut lebaran Peta CH Lembar 72 adalah Sungai Sengam yang mengalir dari kawasan pergunung sekitar ketinggian 1431 meter dari aras laut dalam Hutan Rizab BT Tapah Daerah Batang Padang Tapah, Perak ini amat mengujakan. 
 
 
Saya dan rakan kerja memasuki kawasan ini semata-mata ingin melihat kawasan sekitar dan sumber air. Y
 
ang pastinya dari kawasan Negeri Pahang ianya memang jelas tidak langsung tergugat hutannya berbanding melihat di sebelah timur yakni Cameron Highlands yang jelas bercompang camping ditarah petani.
 
Kami melalui kawasan pertanian konvensional di Cameron Highlands dan hanya sekitar 200 meter kami menemui batu sempadan Negeri Pahang dan Perak.
 
Selepas ini kami meredah laluan hutan yang kadangkala lapang dan kebanyakkannya adalah sedikit semak kerana jarang dilalui. Bagus.
 
Perjalanan pergi agak mudah kerana kami menuruni hampir 2/3 laluan kami dan bayangkan semasa pulang kami melawan arus melakukan pendakian.
 
Namun ketika sampai di Sungai Sengam kami sedikit terhibur kerana airnya jernih walaupun saiz kelebaran sungainya tidak lebar mahupun dalam.
 
 
Menuruni alurnya kami menemui Air Terjun yang tidak bernama di dalam peta topografi sebelum ini.
 
Tanpa persediaan kami tidak berani untuk turun ke bawah melalui tebing curam dan sekadar hanya melihat dari tebingnya sahaja.
 
Jadi niat hendak mengambil gambar secara keseluruhan tidak tercapai dan sekadar dari sisi tepinya sahaja.
 
 
Ini bukan seperti kawasan air terjun yang sudah ditemui lama dan sering dikunjungi oleh orang awam yang membentuk denai-denai sekitarnya.
 
Biarpun ringkas alur airnya, ianya mempunyai 4 atau 5 tingkat sebelum membentuk sebuah kolam kecil di tingkat bawah. 
 
Insyallah dalam kungjungan yang lain kami akan cuba menyelinap ke tingkat terbawahnya.
 
 
Cuma dalam sedang berehat menguyah biskut mencari sedikit tenaga sebelum mendaki pulang, kami berempat berangan-angan alangkah baiknya kalau Parit Waterfall atau Robinson fall bersih seperti alur sungai ini kerana tanpa perlu mengerah penat mudah dikunjungi.
 
 
Dan pastinya Lata Iskandar di Jalan Pahang menuruni Tapah menjadi kawasan air terjun terbaik untuk dikungjungi semua lapisan umur tanpa perlu mendaki dan menelusuri denai kerana cabaran sebenar di situ adalah mencari tempat meletak kereta sahaja dicelahan selekoh dan tebing jalan yang sempit.
 
Apapun 4 jam lebih yang kami peruntukan untuk ke laluan ini rasanya masih berbaloi....
 
Jadi kalau anda tanya saya apakah nama air terjun ini... saya tak tahu... tetapi kalau nak gatal-gatal menjawab.. "Jack Waterfall".... kih kih ..
 
Jangan marah ...
 
Klik album FB saya untuk koleksi gambar yang selebihnya.
 
Insyallah kalau saya menemui koleksi gambar lama saya sekitar 2009 dahulu, akan saya kongsikan pula cerita satu lagi air terjun air sungai ini di bahagian huluannya...  
 
 

Pilihan Penginapan Homestay di Cameron Highlands

Juga berkongsikan catatan saya di blog Cameron Riders 2014 yang berkongsikan peluang penginapan di Homestay yang terdapat di Kg Taman Sedia pada bila-bila masa anda ke sini kelak...

Untuk catatan kali ini Cameron Riders akan berkongsikan mengenai peluang menginap ala Homestay di sekitar Cameron Highlands.
 
Namun ini tiada sebarang kaitan penajaan kepada pihak penganjur.


Sebelum itu perbezaan antara Homestay dan Holiday Apartment adalah homestay adalah program penginapan bersama pemilik rumah cuma di Cameron Highlands lebih kepada unit yang berasingan seperti motel berbanding dengan homestay di kawasan yang lain.

Cuma rumah induk pemilik adalah bersebelahan.

Manakala holiday apartment pula adalah unit apartment yang disewa secara harian kepada penyewa dan pemiliknya tidak berada bersebelahan.

Di Cameron Highlands, perkampungan homestay yang terkenal adalah di Kampung Taman Sedia, Tanah Rata.

Jadi kami kongsikan nombor-nombor perhubungan mereka untuk anda hubungi sendiri dan membuat urusan tempahan.


a. Homestay Dahlia
Tel : 013 2211 547 atau 05 491 2605

b. Ros Chalet
Tel: 05-491 2787 atau 019 578 2044

c. Marina Chalet
Tel : 05-491 1295 atau 019 506 6759

d. Lily Homestay
Tel : 054911477 atau 0125552822

e. Neeza Chalet
Tel : 012 267 7287 atau 05 491 1932

f. Aiza Chalet
Tel: 019 756 0991

g. Orchid Homestay
Tel: 054911 958

h. Melati M&Z
Tel: 019 5480129 atau 013 524 1077

i. Mala Homestay
Tel : 019 540 3474 atau 019 944 5757

j. Anggerik Homestay
Tel ; 05 491 1896 atau 019 641 4857

Lagi catatan mengenai perkhidmatan homestay. Klik

Anda perlu hubungi mereka untuk membuat urusan selanjutnya.  

Wednesday, August 6, 2014

Senarai Rasmi Peserta Cameron Highlands Thomspon Trail MTNB Jamboree 2014

Dikongsikan dari catatan saya di Blog Cameron Rider 2014:
 
 
SENARAI RASMI PESERTA
CAMERON HIGHLANDS THOMPSON TRAIL MTB JAMBORE
6 SEPTEMBER 2014



Senarai Mengikut Pasukan dari abjad # hingga F : Klik

Senarai Mengikut Pasukan dari abjad G hingga K : Klik

Senarai Mengikut Pasukan dari abjad L hingga Y : Klik

Jika terdapat sebarang pertanyaan dan juga pembetulan, sila hubungi Urusetia Pendaftaran melalui email:


TERIMA KASIH KERANA MENYERTAI CHTTMJ 2014.

* Untuk ringkasan senarai nama peserta mengikut kategori akan kami kongsikan dalam sedikit masa nanti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

10 CATATAN TERKINI:

KOLEKSI CATATAN: