Apa kata anda klik info ini.. saya tak marah ...

Gambar terkini di Facebook mrkumai.blogspot.com

TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, January 10, 2014

Cameron Highlands : Bukan ini yang anda inginkan menyambut anda ke sini

Saya pasti, Tahun Melawat Malaysia 2014 menjadikan Cameron Highlands pasti bertambah meriah.
 
Anda pasti teruja untuk sampai ke daerah tanah tinggi ini untuk berehat dan melancong kelak.
 
Apapun, saya pasti bukan situasi atau pemandangan ini yang anda bayangkan untuk menyambut anda kelak sebaik sahaja lebih 70 km mendaki laluan Tapah dan tiba di Pekan Tanah Rata...
 
Photo: Saya tertanya tanya apakah persiapan pihak berwajib di Cameron Highlands atau agensi berkaitan dgn perlancongan untuk memeriahkan tahun melawat Malaysia 2014. Bukan sahaja acara tambahan ttapi juga fasiliti yg menyambut tahun tema ini.... 

Masih kelihatan.... ini yg menyambut anda tatkala anda tiba di Bandar Tanah Rata...
 
Saya telah mengajukan aduan berkenaan papan tanda lokasi percutian ini kepada pihak berwajib.
 
Jom , sama-sama kita ajukan supaya sedikit tekanan diberikan untuk menunjukan rasa kekesalan kita terhadap mutu yang diberikan kepada pelancong yang akan tiba kelak...

Cameron Highlands : Tahun melawat Malaysia 2014

Tahun Melawat Malaysia ... 2014... tahun ini kan?


Saya terfikir bertambah meriah Cameron Highlands... Mestilah kan sebab Cameron Highlands pasti akan menjadi antara lokasi tumpuan ...
 
Saya mula mencari maklumat acara atau kalendar perlancongan di Negeri Pahang dengan harapan dapat mengetahui kalendar bagi Daerah Cameron Highlands... namun gagal.
 
Apapun saya telah berkongsikan pertanyaan ini kepada MTPB Pahang untuk maklumat berkenaan melalui email mereka.
 
Jika ada maklumat diterima akan saya kongsikan dengan anda pembaca kelak.
 
Apapun kepada yang memilih daerah ini sebagai destinasi perlancongan domestik anda bagi tahun 2014, selamat melancong...


Saturday, January 4, 2014

Nostalgia ; Menjelang persekolahan .. siri 2

Siri kedua catatang mengenai menjelang persekolahan ini sekitar pengalaman saya pula membuat persiapan persekolahan anak saya sendiri. Juga saya akan berkongsikan kisah yang sama dikalangan rakan-rakan saya.
 
Biarpun anak saya sekadar masuk pra sekolah di sekolah kebangsaan dan adiknya pula tadika Majlis Agama Islam di Cameron Highlands, persiapan yang dibuat oleh kami suami isteri mengalahkan macam masuk darjah satu sudahnya.
 
 
Seawal cuti sekolah saya dan isteri sudah membeli belah kelengkapan sekolah dan tentunya kami melakukannya di bawah kerana mahukan pilihan yang lebih dan harga yang mungkin sedikit murah.
 
Antara pasaraya yang kami kunjungi adalah seperti Hari-Hari, Mydin dan juga Tesco yang menjalankan Promosi Balik Ke Sekolah.
 
Beria-ria kami memilih uniform ringkas, kasut, stokin, beg, botol air sebelum anak-anak lebih pula excited bila ke kawasan alat tulis.
 
Kami mengambil peralatan yang berkenan dan harganya pula selepas itu baharu dibandingkan. Teringat juga saya ketika membeli belah hari itu kepada kenangan saya bersama ayah dan mak 28 tahun yang lalu.
 
Kami tidak membantah dan memilih tetapi sekadar menguji saiz baju dan seluar serta kasut. Malah ada dikalangan rakan-rakan yang kasut mereka diukur dengan lidi atau tali di rumah sebagai tanda saiz untuk dibeli oleh ayah mereka di pekan kelak.
 
Kami tidak menunjuk-nunjuk baju itu dan ini untuk dibeli. Bagnya pula sekadar yang murah dan mampu beli dan ketika zaman saya tiada bag sekolah berlatarkan watak kartun dan sebagainya. Hanya warna yang berbeza.
 
Sejumlah wang dibelanjakan dan ketika dan selepas membayarnya saya terkenang-kenang benar bagaimana ayah saya membayar semua kelengkapan sekolah kami adik beradik biarpun bergaji kecil dan berkat mereka berdua menyimpan wang lebih awal.
 
Jangan terperanjat , ada di masa saya kecil dahulu ibu dan bapa yang pergi ke kedai pajak gadai untuk mendapatkan sedikit wang tambahan buat membeli kelengkapan sekolah anak-anak mereka.  
 
Kini saya sendiri mengalami pula pengalaman ini dan saya bersyukur kerana diberikan rezeki untuk kemudahan anak-anak saya ini tanpa mengalami kesusahan yang perlu dihadapi sebagaimana yang diharungi oleh ayah dan mak dengan begitu tabah.
 
Terima kasih mak .. terima kasih ayah...
 
Menjelang hari persekolahan, ingatkan membeli belah tempohari sudah mencukupi tetapi bila diamati semula masih ada yang belum dibeli. Maka sekali lagi kami membeli belah peralatan yang masih tertinggal.
 
Pada hari persekolahan pula, selepas sesi taklimat, kami menghantar anak ke kelas masing-masing. Di akhirnya saya membayar pula semua yuran dan caj berkaitan.
 
 
Sejumlah wang dibayar dan saya tidak mempunyai masalah untuk tersebut kerana berniatkan dengan ikhlas untuk pendidikan anak-anak.
 
Namun ada juga kenalan yang sedikit mengomel kerana jumlahnya dikatakan terlalu besar. Saya memahami kerana bukan seorang anak beliau tetapi 4 orang semuanya termasuk yang di asrama.
 
Mujurnya cikgu tidak mendesak untuk dibayar pada hari yang sama tetapi boleh secara ansuran mengikut kemampuan. Mereka memahami beban yang ditanggung untuk persekolahan anak-anak ini.
 
Saya bersyukur kerana di Cameron Highlands, jumlah yang perlu dibayar masih murah. Malah peluang untuk menghantar anak-anak ke pra sekolah, tadika dan juga pusat asuhan mudah kerana populasi penduduk yang kecil.
 
Komposisi kaumnya seperti Melayu, India, Cina dan Orang Asli. Jumlah yang kecil ini dibantu lagi dengan jumlah sekolah yang banyak untuk sekolah rendah seperti Sekolah Kebangsaan Tanah Rata, SKJC Tanah Rata, SJKT Tanah Rata, Sekolah Kebangsaan Convent , SJKC Brinchang, SK Brinchang yang membantu membuat pilihan dan menjadikan kepadatan pelajar yang lebih kecil di dalam kelas memberikan lebih tumpuan oleh guru-guru kelak.
 
Teringat sembang-sembang dengan adik beradik ketika bercuti yang tinggal dibandar besar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam yang perlu menghantar anak-anak ke sekolah pra milik swasta kerana pendapatan sekeluarga yang melebihi had ditetapkan bagi membolehkan mereka yang berada dibawah had pendapatan diutamakan.
 
 
Untuk sekolah swasta ini pula bukan kecil belanjanya dan perlu diselesaikan lebih awal.
 
Sebab itulah saya gemar dan suka menetap di daerah kecil ini kerana kelebihan yang ada walaupun sesetengah menganggap jauh dari bandar. Bukan setiap hari kita nak bershopping sakan. Ok lah tu...
 
Kelas fardu ain juga ditawarkan di sekolah yang sama pada sesi petang dan ini memudahkan kami untuk menghantar dan menjemput anak-anak kerana berada di sekitarnya sahaja.
 
Bila saya menghitung kembali jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan untuk anak-anak kecil saya, saya sekali lagi bersyukur kerana diberikan kemampuan yang seadanya ini untuk memberi peluang kepada mereka mendapatkan ilmu dunia dan akhirat dengan lebih selesa.
 
Cuma harapan saya mereka memanfaatkan peluang yang terhidang ini sebaik mungkin dan mendapat keberkatan dalam ilmu mereka.
 
Jauh di sudut hati, mungkin inilah juga doa dan harapan yang diberikan oleh mak dan ayah saya ketika mereka bertungkus lumus dan mengerah keringat untuk memastikan kami adik beradik mendapat ilmu yang boleh membantu kami di masa hadapan...
 
Tanpa pengorbanan mereka dan juga iltizam mereka menghadapi semua kesusahan, kami belum tentu dapat berdiri seperti mana sekarang ini...
 
Hargai mereka... di kala anda menghantar anak-anak ke sekolah.... sampaikan pula berita gembira dan syukur anda kepada mereka .... permulaan yang tiada ternilai ...
 
Terima kasih mak dan ayah.....

Nostalgia : Menuju ke sekolah ... 1

Catatan kali ini sedikit lari dari biasa. Namun bukanlah terlalu luarbiasa pula. Sekadar untuk berkongiskan pengalaman dan sedikit nostalgia di alam persekolahan atau lebih tepatnya persiapan ke alam persekolahan.
 
Cuma zamannya berbeza. Yang pertama saya terkenang-kenangkan zaman ketika saya, adik beradik dan rakan-rakan sekitar tahun pertengahan 1980an dan dibandingkan sedikit dengan zaman kini.

agak-agak mana satu saya .. TADIKA FELDA KUMAI 1985
 
Individunya juga berbeza yakni saya ketika bergelar anak dan kini ayah kepada anak saya.
 
Saya anak kepada salah seorang peneroka Felda Kumai, Bera Pahang. Seawal pembukaannya pernah saya kongsikan dalam catatan terdahulu.
 
Menjadi seorang kanak-kanak yang kemudian menjejak alam persekolah masih segar dalam ingatan biarpun telah lebih 28 tahun berlalu.
 
Bersekolah di kawasan felda bukanlah sesukar di kampung tradisional. Biarpun awal pembukaan, kemudahan pendidikan sedikit kurang kerana baru dibuka penempatan namun dalam tempoh 5 tahun sahaja, sekolah tadika dan sekolah kebangsaan didirikan segera.
 
Kepayahan melingkari kisah tersebut. Ketabahan pula datang memimpin langkah perjalanan.
 
Berada sekitar pertengahan tahun 1980 an memang mengujakan. Ekonomi dunia meleset.
 
Harga minyak kelapa sawit jatuh merundum bukan sahaja ke lantai malah sudah ke dalam tanah ibaratnya. Serangan dan propaganda keburukan minyak sawit dicanangkan oleh pihak Amerika Syarikat yang berusaha mempertahankan industri soya mereka.
 
Begitu juga dengan industri getah yang terhimpit dengan kemajuan getah sintetik serta kejatuhan ekonomi yang mengurangkan permintaan terhadap hasil komoditi ini.
 
Melihat wajah ayah ketika mengambil gaji di rumah ketua blok ketika itu Arwah Pak Long memang jelas dan mudah dibaca. Sugul. Risau. Hampa. Antara yang terpapar jelas.
 
Bukan sekadar ratusan yang diterima tetapi ada sekadar RM 2 sahaja baki gaji bulanan diterima. Mujurlah, untuk sara diri keluarga, "Kantin" menyediakan barangan secara akaun kredit yang ditolak gaji kelak.
 
Lebih perit ketika zaman persekolahan hendak dibuka. Persiapan perlu dilakukan dan ketika itu anak-anak semakin ramai yang menjejak kaki di alam persekolahan.
 
Bayangkan dengan jumlah anak sekitar 3 orang mahu ke sekolah. Membeli barangan persekolahan amat sukar untuk dilakukan.
 
Saya beruntung kerana ayah saya berniaga dan pengalaman membeli barangan persekolahan tidaklah seperit rakan yang lain.
 
Namun masih terhad pembelian kami. Sekadar sepasang kasut bata, sepasang stokin, baju dan seluar sekolah dan beg yang murah.
 
Tetapi ayah tetap ayah. Dengan penuh tanggungjawab dalam keperitan sedaya upaya memastikan persiapan sekolah anak-anaknya tetap tersedia.
 
Manakala ibu atau mak tetap sama berusaha. Bagi yang mempunyai kemahiran menjahir, baju sekolah dan seluar sekolah dijahit sendiri. Saya pasti kalau saya bertanya berapa ramai dikalangan kita yang menjahit baju untuk anak sendiri? Mungkin hanya tukang jahit sahaja yang akan mengangkat tangan.
 
haaa.. cari saya ... ketika darjah 4 ... berkabung untuk Almarhumah Sultanah Tengku Afzan ..cikgu Norbimah
 
Ketika mendaftar hari pertama yuran sekolah, buku latihan dan tulis serta PIBG perlu dijelaskan. Bayangkan dalam ekonomi yang meleset, tangungan anak pula ramai dan bayaran ini perlu dijelaskan serentak. Namun masih ada toleransi dari pihak sekolah yang membenarkan secara ansuran.
 
Namun saya memerhatikan ramai dikalangan rakan-rakan saya yang memakai baju dari tahun yang sudah. Yang masih elok dipakai untuk tahun baharu.  Malah kasut yang kurang putih walaupun dibasuh juga masih dipakai.
 
Tiada rungutan. Tiada rasa malu. Tiada rasa kecewa terpamir di kalangan rakan-rakan saya ini. Mereka seperti ibu dan bapa mereka menerima seadanya kerana yang penting setiap hari persekolahan mereka tidak akan gagal untuk hadir menuntut ilmu.
 
Ke sekolah pula setiap hari hanya berjalan kaki dari rumah. Baik hujan atau panas tetap diredah. Tiada bas, tiada kereta ibu dan bapa menghantar kecuali hanya sebilangan yang dijemput ayah yang pulang dari ladang.
 
Tidak kurang juga yang berbasikal seperti saya.berbondong-bondong kami adik beradik setiap hari ke sekolah. 
 
Ketika saya melanjutkan pelajaran ke Asrama Felda Kuantan, saya berkesempatan berkongsi kisah di alam persekolahan dari rakan-rakan felda yang lain.
 
Antaranya bagaimana mereka  membantu ayah dan ibu di ladang getah mengutip susu dan scrap setiap hari untuk mengumpul duit saku buat belanja di alam sekolah nanti.
 
Ada juga yang mencari kulat atau cendawan untuk dijual malah ada yang mencari besi buruk bersama adik dan abang masing-masing untuk membantu keluarga.
 
Saya teringat kisah rakan saya yang menceritakan abangnya pernah ditangkap oleh Polis Bantuan Felda atau kami panggil Felsco kerana membawa keluar getah scrap untuk dijual diluar bagi buat belanja pulang ke asrama kelak.
 
Dan banyak lagi kisah lain yang saya dengar dari rakan-rakan felda saya.
 
Benarlah, zaman persekolah kami sekitar tahun 1980 an mencabar ketabahan diri kami untuk menuntut ilmu namun mendengar pula cerita dari ayah dan mak mengenai kesusahan mereka ketika muda dan juga kisah abang dan kakak saya yang lebih tua menjadikan kisah kami ini terlalu kecil untuk dibandingkan dan dijadikan alasan untuk tidak ke sekolah.
 
Anda juga pasti mempunyai kisah yang berharga ini juga... 

Friday, January 3, 2014

Cameron Highlands: Dulu EQ kini Copthorne ...

Ini bukan catatan yang baharu tetapi sekada nak "update" mengenai pertukaran nama hotel .
 
1387880729926
 
Kalau dahulu Equatorial Hotel.. kini diambil alih oleh Copthorne Hotel ...
 
Lokasi masih sama, hotel yang sama, malah pengurusan pun masih yang sama buat masa ini.
 
Ada promosi penginapan di bawah pengurusan baharu ini untuk anda mencubanya : http://getaways.groupon.my/deals/717906851
 
Jangan tanya saya kenapa diambil alih..itu urusan mereka... selamat bercuti ...
 

Mengisi 2014

 
Saya rasa masih belum terlewat untuk mengucapkan SELAMAT BERADA DI TAHUN 2014.
 
Apa matlamat pengisian blog ini untuk tahun 2014? Masih lagi tercari-cari...
 
Mmmmm... Saya rasa untuk tahun ini, mrkumai.blogspot.com akan cuba mengisi blog ini dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku di Cameron Highlands di samping cuba menjawab soalan-soalan yang diterima daripada pembaca sebagai pengisian utama selagi masih bertapak di daerah ini.
 
Juga saya akan cuba untuk mengisi blog ini dengan catatan perjalanan yang saya tempuhi dan juga memperbanyakan info mengenai pertanian.
 
Tahun ini cadangnya nak bergiat lebih aktif dalam arean MTB.. Insyallah... jika diizinkanNya...
 
Apapun jika anda mempunyai cadangan, sila berkongsi bersama saya .. saya mendahuli dengan ucapan terima kasih. Tepu otak kalau nak fikirkan sendiri...
 
Semoga laman blog ini membantu anda sedikit sedikit yang termampu...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

10 CATATAN TERKINI:

KOLEKSI CATATAN: