TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Thursday, October 31, 2013

Bayi 9 hari di Lembah Bertam

Ketika saya meninjau kawasan sekolah yang turut mendapat kesan bencana, pandangan saya tertumpu pada seorang jururawat yang sedang mengendong bayi melalui kawasan berlumpur.
 
 
Segera saya menghampirinya dan bertanya. Rupanya bayi ini adalah anak kepada seorang guru sekolah SJKC Lembah Bertam.
 
Dan kata jururawat tadi, bayi ini baru berusia 9 hari dan ibunya masih berpantang.
 
Saya mendekati kawasan sekolah dan melihat ibu dan bapa bayi ini sedang menuruni tangga untuk dipindahkan ke pusat pemindahan.
 
Dengan si bapa (yang saya kemudian diberitahu bernama Cikgu Hazrul) berkaki ayam, perlahan-lahan memimpin isterinya yang sedang dalam hari.
 
Kelihatan kasutnya dipakai oleh si isteri dan saya rasa pengorbanan dan kasih sayang seorang suami yang lebih rela berkaki ayam.
 
 
Mereka bergerak perlahan. Mencari laluan yang kurang berlumpur.
 
Kelihatan juga bantuan kesihatan diberikan oleh pihak penyelamat dengan seorang doktor memeriksa bayi dan sebuah ambulan di tempatkan di kawasan berhampiran untuk memindahkan mereka.
 
Dua hari kemudian, saya mengunjungi semula sekolah ini dan ketika ini saya sempat menemui Cikgu Hazrul.
 
Ceritanya pada saat kejadian amat mendebarkan.
 
Setelah rumah mereka dilanda banjir, dan perlu berpindah ke rumah (atau sekolah, saya tak pasti sangat)  yang lain, beliau memimpin isterinya yang masih dalam hari itu meranduk air separas lutut dan paha.
 
 
Ketika beliau bergerak ke rumah tersebut, bayinya dibawa oleh rakannya ke kawasan yang lain. Selepas menghantar isteri dan berada dalam keadaan selamat, beliau kembali untuk mengambil bayinya dan ketika ini air sudah mendekati paras pinggang.
 
Air yang melimpah diharungi bersama bayinya. Namun air bertambah deras dan ketika ini kereta hanyut mula menghampirinya.
 
Saya yang mendengar cerita turut gerun.
 
Bayangkan, beliau menerangkan ketika itu beliau memegang bayinya dengan sebelah tangan dan sebelah tangan yang lain sedang menahan kereta yang sedang menghimpitnya.
 
Bak katanya seperti menjadi sandwich kerana di bahagian belakang terdapat sebuah landrover dan kini mereka dihimpit oleh kereta hanyut.
 
Dengan kekuatan tangan, beliau berjaya menolak kereta tersebut dan keluar dari himpitan untuk menyelamatkan diri dan bayinya lantas mengharungi air untuk kembali ke tempat isterinya berada.
 
Untuk yang terkini, isterinya sudah dihantar pulang ke Kelantan dan beliau masih perlu berada di sekolah untuk menyelesaikan tugas membersihkan sekolahnya.
 
Saya pasti, ini adalah kisah bayi bertuah dalam bencana ini.
 
Klik untuk gambar yang lain.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock