TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, June 26, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Sepetang di Puncak Brinchang

Selalunya anda akan melihat beberapa catatan mengenai melihat matahari terbit di Cameron Highlands seperti yang telah saya kongsikan dalam catatan terdahulu.

Cuma kali ini, saya inginkan berkongsikan mengenai menanti detik matahari terbenam di Cameron Highlands. 


Sebenarnya lebih sukar untuk ke sini di waktu petang berbanding bangun awal pagi menanti matahari kerana kesibukan kerja. 

Kalau di hari cuti pula untuk melepasi pasar malam Brinchang sekitar pukul 5 ke atas memang merenyahkan. 

Jadi selalunya niat ini terpendam begitu sahaja. 

Cuma kadangkala melihat gambar matahari terbenam yang ditangkap oleh agensi perlancongan memang amat mengamit rasa untuk ke sini. Terang dan menakjubkan.

Tahun lepas, saya berkesempatan ke sini tanpa dirancang.

Saya mendaki puncak ini dengan kereta saya dengan harapan matahari terbenam dapat dirakam. 

Malangnya hujan di tengah jalan sudah membayangkan tiada detik yang terbaik. 


Namun alang-alang dah separuh jalan, saya teruskan juga bak kata orang alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.  

Berseorangan ke atas puncak setinggi 6666 kaki ini tidaklah mengerunkan cuma di waktu hari bekerja sebegini memungkinkan tiada orang lain di atas sana dan benarlah tekaan saya kerana saya sorang sahaja di atas puncak ini. 


Namun ketakutan sedikit berkurangan kerana saya pasti terdapat kakitangan TELEKOM yang bertugas di Stesen Mikro mereka ini. Jadi kalau apa-apa hal, saya gegarkan sahaja pintu pagar mereka. 

Saya tiba sekitar pukul 6.25 petang dalam hujan renyai. Melihatkan tiada petir dan kilat, saya mendaki pula menara pandang setinggi 20 meter untuk memasangkan tripod dan kamera dan menanti detik matahari terbenam.

Benar, sehingga pukul 7.15 petang masih belum kelihatan kerana kabus tebal selepas hujan. 


Yang dicari tak dapat maka saya melihat pula suasana selepas hujan sekitar kawasan kawasan puncak. Gambar sayup Hotel Equatorial dan kebun sayur menjadi pilihan saya. 

Bak kata orang tiada rotan akar berguna juga.. daripada pulang kosong. 


Hanya sekitar 7.30 malam sinaran lemah matahari terbenam mula menampakan riak di permukaan awan. 

Alhamudillah masih berpeluang mengambil beberapa detik ketika ini sebelum beransur turun untuk mengejar waktu maghrib pula. 

Beberapa hari yang lepas remang rona kemerahan matahari terbenam terlihat jelas di Tanah Rata sekitar pukul 6.45 petang yang membayangkan suasana di puncak Brinchang pasti lebih menakjubkan cuma kesempatan pula tiada... 

Insyallah di lain kali... Koleksi gambar yang selebihnya di sini. KLIK

Peristiwa : Supermoon @ Cameron Highlands

Fenomena Supermoon atau Lunar Perigee telah berlaku pada hari Ahad yang lalu dan boleh dilihat di serata dunia.

Saya petik info dari wikipedia untuk lebih jelas fenomena ini;
Supermoon atau lebih dikenali dengan nama saitifiknya iaitu Lunar Perigee adalah satu fenomena bulan penuh yang kelihatan lebih besar dan terang. 
Bulan akan dilihat 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah daripada hari biasa. Istilah supermoon pertama kali dikemukankan oleh ahli astronomi, Richard Nolle pada tahun 1979.
Fenomena ini hanya berlaku sekali dalam setahun. Hal ini sangat dinantikan oleh para penggemar astronomi. Pada 23 Jun 2013 fenomena ini dijangkakan akan berlaku.
Fenomena ini mengakibatkan kedudukan bulan menjadi lebih dekat dengan Bumi berbanding biasa. 
Bulan sebenarnya berputar dalam paksinya yang berbentuk bujur dan bukannya bulat. Ada masanya bulan akan berada dekat dengan Bumi dan kejadian ini akan mencetuskan fenomena supermoon.
Jarak yang dekat dengan Bumi dipanggil perigee dan jarak yang jauh dengan Bumi dipanggil apogi. Apabila bulan berada pada kedudukan perigee, bulan akan berada lebih dekat dengan Bumi dan kesannya bulan akan nampak lebih besar dan lebih bercahaya.
Namun, saiz sebenar bulan masih sama cuma apa yang berlaku adalah kesan ilusi yang juga dikenali sebagai ilusi bulan yang akan menyaksikan bulan menjadi besar ketika menghampiri horizon

Bulan dikatakan pada malam 23 June 2013 berada pada kedudukan 356,989 kilometer dari bumi.


Saya juga berkesempatan menangkap gambar supermoon ini walaupun dalam keadaan berjerebu di sekitar Cameron Highland.

Berbekalkan camera D90 saya serta lensa 70-300 mm yang dipasang kukuh pada tripod, saya mula mencari detik yang sesuai untuk menangkap gambar bulan ini. 

Lokasinya agak dekat iaitu di anjung balkoni apartment saya. 

Kru yang terlibat dua anak kecil saya yang berebutkan remote untuk menekannya bila mengambil gambar. 


Saya mula melihat di luar rumah saya sekitar pukul 8 malam namun suasana berkabus tebal tidak mengizinkan saya untuk menangkap gambar. 

Cuma sekitar 9 malam, kabus tebal beransur dan mula menampakan sepenuhnya supermoon. Tanpa berlengah saya menangkap gambar bulan ini sekitar 10 minit sebelum kembali berkabus. 

Begitulah keadaanya sehingga pukul 11.00 malam di mana bulan mulai jelas kelihatan kerana sudah berada di kedudukan menegak.



Tips untuk mengambil gambar Bulan?

Saya bukan pakar dalam menangkap gambar namun pembacaan saya melalui internet banyak membantu. 

Saya gunakan sekitar f10-20 dengan kelajuan shutter sekitar 1/125 hingga 1/320 serta ISO 200 malah kadangkala sehingga L.03. 

Saya menggunakan WB Auto dengan beberapa percubaan daylight, cloudy dan juga fluroencent untuk mendapatkan beberapa kelainan. 

Lensa yang saya gunakan adalah 70-300 mm pada kedudukan maksimum. Tripod yang saya gunakan amat membantu disamping remote kabel.

Cuma supermoon ini agak dekat dan lebih terang dari keadaan bulan penuh yang biasa dan memerlukan beberapa percubaan.  

Jangan takut dan malas membaca rujukan di internet. Saya menggunakan blackberry saya untuk membaca tips-tips berkaitan gambar bulan sepanjang sessi mengambil gambar ini. 


Koleksi gambar selebihnya di laman fb mrkumai. klik ingat ... saya amatur sahaja.. jangan bandingkan dengan yang pakar ya....

Tuesday, June 25, 2013

Peristiwa : Ceramah Umum Ustaz Kazim @ Cameron Highlands


21 Jun yang lalu seperti yang dijanjikan, Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands membawakan Ustaz Kazim Elias (Saya singkatkan dengan akronim UKE ) ke Cameron Highlands.


Tajuk ceramah UKE adalah Keluarga Bahagia.

Seperti yang dijangka, Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan  Sultan Ahmad Shah penuh dengan kariah di Cameron Highlands.

Kalau awal tahun, Pejabat Agama membawakan Ustaz Dato Kamaruddin, dewan tidaklah sepenuh malam yang lalu.

Mungkin kerana penangan dari UKE melalui Youtube dan juga siri ceramah "Kalau dah Jodoh" di Astro Oasis , UKE mempunyai ramai peminat.  


UKE seperti biasa membawakan topik ini dengan membawa kisah-kisah yang beliau alami sendiri serta pelbagai rujukan yang lain.

Antaranya kalau memilih pasangan mengikut yang dianjurkan oleh Islam dengan 4 kriteria tetapi utamakan kerana Agama.

Cuma yang datang rata-ratanya telah beristeri dan mungkin boleh digunakan untuk pencarian seterusnya.

Selain itu UKE juga membawakan kisah-kisah bagaimana hendak menambat hati isteri dan suami. Jangan malu untuk bersikap romantis dengan isteri sendiri.

Bagaimana hendak membentuk keluarga yang bersama bukan hanya melalui solat berjemaah tetapi juga makan berjemaah, aktiviti berjemaah dan sikap romantis.


Pelbagai lagi pesanan yang disampaikan oleh UKE dan pastinya disampaikan dalam bentuk yang ringan di selang-seli dengan contoh dan kisah yang bersahaja.

Yang pastinya tidak ketinggalan selingan beberapa buah lagu yang menjadi hiasan ceramah beliau.

Beliau menjemput kariah yang hadir untuk meraikan sama ulangtahun ke 7 Pusat Pendidikan Barakah yang diuruskanya dengan kemuncak adalah Forum Perdana bersama Ustaz Badlishah dan Bekas Mufti Johor, Dato Noh Gadut di Manjoi Perak.


Jualan untuk mengutip dana Pusat Pendidikan Barakah juga diadakan dengan jualan kitab, buku, makanan sunnah dan pelbagai lagi.

Moga-moga program ceramah sebegini dapat diteruskan di masa hadapan.

Kami bukan nak konsert dan hiburan tetapi aktiviti sebegini..

Gambar yang lain di SINI... Klik

Tahniah penganjur.. . kami nak lagi ..

Friday, June 21, 2013

jom bantu lagi.. Adik Iqram...

Jom bantu lagi ...
Adik Muhammad Iqram Hashim...
 

Jom bantu.. Adik Iqram...

Jom bantu membantu ...
Adik Muhammad Iqram..

Tips Melawat Cameron Highlands: Ceramah Perdana; Ustaz Kazim...

Jika anda berada di CH pada 21 Jun 2013 ini, apa kata masukkan program Ceramah Perdana Ustaz Kazim ini dalam senarai aktiviti anda di Cameron Highlands...
 
 
Sambil melancong, sambil menambah ilmu... kan bagusssss,....

Monday, June 17, 2013

Felda Kumai: Tubuhnya ditumbuhi ketulan daging... jom bantu!!!

Semalam, TV9 menayangkan kisah sedih adik Muhammad Iqram yang menderita akibat ketulan daging yang tumbuh semakin hari semakin banyak selepas kemalangan kecil melibatkan percikan api.
 
Tubuh dipenuhi ketulan daging
 
Kisahnya telah mrkumai kongsikan sebelum ini.
Klik di SINI & Sini
 
Dan bagi yang ingin membantu .. anda boleh menghulurkan derma terus kepada keluarga mereka ini.
 
 
Jom Bantu ... INSYALLAH...

Felda Kumai: Tubuhnya ditumbuhi ketulan daging...

Kisah ini saya panjangkan dari laman feldakumai.com yang telah saya kongsikan lebih awal di sana. Jom bantu ..
 
Kelmarin, kisahnya keluar di TV9 ...
 
Saya memanjangkan kisah menyayat hati ini mengenai insan kecil yang menderita kerana tubuhnya ditumbuhi daging selepas luka kebakaran.
 
Saya tidak mengenali keluarga ini dan jika ada mana-mana pembaca dari Felda Kumai yang boleh berkongsi maklumat mengenai keluarga ini di ruangan ulasan.
 
Tubuh dipenuhi ketulan daging - Pahang - Sinar Harian - Windows Internet Explorer 060613 091731.bmp

FELDA KUMAI – Usianya baru mencecah tiga tahun, namun terpaksa menanggung penderitaan walaupun tidak memahami apa yang sedang ditanggung.
 
Hampir seluruh anggota badan adik Muhammad Iqram Hashim ditumbuhi daging baru selepas peristiwa badannya melecur akibat terkena percikan api, kira-kira dua tahun lalu.
 
Kejadian berlaku semasa ibunya, Suraya Hassan, 32, sedang membakar sampah dan secara tiba-tiba, ada sesuatu meletup dan terpelanting masuk menerusi tingkap bilik lalu terkena Muhammad Iqram yang sedang tidur.
 
Bapanya, Hashim Hassan, 34, berkata, daging baru yang tumbuh di bahagian melecur anaknya semakin membesar dari hari ke hari.
 
Menurutnya, pada awalnya, hanya ada ketulan daging kecil tumbuh di telinga kiri, tetapi lama kelamaan ia tumbuh di seluruh badan anaknya.
 
“Dia (Muhammad Iqram) tidak pernah mengadu sakit, tetapi selalu rasa gatal kerana daging yang tumbuh itu bertindih-tindih dan berkumpul.

Tubuh dipenuhi ketulan daging
 
“Sekarang, kalau rasa gatal, dia akan ambil putik kapas dan membersihkan sendiri di bahagian gatal,” katanya.
 
Difahamkan, adik Muhammad Iqram tidak boleh berada di kawasan panas kerana akan membuatkan dia cepat berasa gatal.
 
Hashim berkata, selepas anaknya dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), dia diminta untuk mendapatkan rawatan susulan setiap minggu.
 
Bagaimanapun dengan pendapatan harian, dia tidak mampu berbuat demikian dan kali terakhir membawa Muhammad Iqram pada Januari tahun lalu.
 
“Bukan tidak mahu bawa untuk rawatan, tetapi saya tidak mampu. Sekali pergi sahaja, saya terpaksa bayar upah pemandu kereta, petrol dan makan, sedangkan pihak hospital periksa sekejap sahaja.
 
“Dulu saya menoreh, sekarang saya ikut orang bertukang. Kalau tak kerja, tak dapatlah gaji. Jadi saya beritahu doktor, hanya kalau saya ada duit, saya akan ke HKL,” katanya.
 
Menurutnya, sebelum ini dia ada memohon kes anaknya dipindahkan ke Hospital Temerloh, tetapi permohonannya tidak diterima.
 
Katanya, sekiranya kes itu dipindahkan, dia masih mampu membawa anaknya untuk rawatan susulan seperti diarahkan.
 
Tubuh dipenuhi ketulan daging - Pahang - Sinar Harian - Windows Internet Explorer 060613 091839.bmp
 
Sementara itu, isterinya, Suraya berkata, mereka dimaklumkan oleh HKL, anaknya juga perlu menjalani pembedahan plastik untuk memulihkan fizikalnya.
 
Katanya, walaupun tidak diberitahu tarikh pembedahan, tetapi dia percaya ia akan menelan kos yang besar.
 
“Masa mula-mula dulu, doktor akan ambil bahagian kulit yang elok untuk ditampal di bahagian melecur.
 
“Tapi bila ada daging tumbuh di bahagian sudah ditampal, anak saya perlu jalani pembedahan,” katanya.
 
Suraya berkata, dia akan berusaha supaya anaknya boleh menjalani pembedahan plastik itu kerana bimbang, apabila memasuki alam persekolahan, dia akan berasa rendah diri.
 
“Memang anak saya tidak kisah dengan apa yang berlaku pada badannya. Tetapi sebagai ibu, ada juga rasa sedih. Saya harap, anak saya boleh kembali normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.
 
Klik untuk ke SINAR HARIAN.

Sunday, June 16, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands : Down Memory Lane... oldies 2

Untuk catatan ini, saya masih berkongsikan catatan dari Album Oldies 2 Cameron Highlands yang saya muatnaikan di laman FB mrkumai..
 
 
Cuma catatan kedua mengenainya lebih kepada persekitaran bangunan lama yang ketika itu didirikan dan menjadi ikon dan berfungsi kepada perkembangan sosial dan juga budaya masyarakat setempat.
 
Lebih menarik adalah komen dan ulasan beberapa pembaca sahabat FB mrkumai yang pernah mempunyai kenangan dan pengalaman bersama lokasi-lokasi ini...
 
Jom kita lihat dan baca komen-komen mengimbau kenangan mereka... seronok...
 
Komen-komen yang dikongsikan ini adalah komen-komen kisah peribadi mereka yang dicungkil tanpa sedari bilaman menyaksikan setiap gambar lama ini.
 
Mengimbau kenangan pastinya tidak dapat lari bilamana dibawa semula kembali ke alam yang telah berlalu.
 
Kisah-kisah mereka ini tidak akan anda temui dari mana-mana sumber bertulis yang lain kecuali the 'walking museum' ini...
 
Bangunan Pejabat POS Tanah Rata yang dirasmikan oleh Tuanku Abdul Rahman
Masjid Sultan Abu Bakar, 1970, saya ada koleksi pecah
tanah, pembinaan  dan perasmiannya.
Insyallah saya kongsikan kemudian.
 
Masjid Daerah CH ini sebenarnya agak kecil berbanding daerah yang lain sehingga kini. Namun sudah mencukupi untuk menampung keperluan dan jumlah kariah di Tanah Rata.
 
Saya melihat tapak simpanan Masjid Daerah adalah dihadapan Hospital Sultanah Hajjah Kalsom seperti dalam pelan pembangunan Cameron Highlands.
 
Bila ? Saya tidak tahu...
 
 
Panggung Wayang Globe...
Saya menyangkakan ini adalah panggung wayang Cameron Highlands yang dinamakan Highlands Theater, namun rupanya adalah panggung wayang untuk askar-askar British seperti kata ;
 
Azmi AbdAziz Bukan. Nama tertera Globe. Sekarang ini ia sebahagian dari SRJK Convent, Tanah Rata. Dulu army orang putih ramai di Cameron. Panggung ini untuk mereka. Kini menjadi Dewan Sekolah Kebangsaan Convent...
 
 
Zainab Muhammad Itu saja tempat hiburan yg ader masa tu.....bila ader Malay movies berpusu pusu org dtg. selain tu ader satu lagi tempat ditepi Pdg: besar tanah rata... club house bukan night club... open club... bila ader events atau functions exp majlis tari menari... puiii memang penuh terutama mass sultan Abu bakar memerintah
Zainab Muhammad Sultan tu memang suka buat majlis tari menari utk rakyat nya....siap bawak putri joget lagi. kaau tak tak buat kat club tu buat kat PDF besar dng pentasbesar
Azmi AbdAziz Lagu favorite SAB ialah joget negeri Pahang lagu PRamlee. Bila Sultan berangkat, kami dapat makan sedap. Masa tu dapat rasa masakan yang pelik seperti telur penyu,satay etc.
 
Ini adalah pemandangan berlatarkan Pekan Tanah Rata. Tangga yang anda lihat adalah tangga untuk ke Panggung Wayang untuk orang awam.
 
Azmi AbdAziz Tak ingat nama panggung ni. Boleh tanya Pak Uda di Taman Sedia. Dia yang mainkan (operator) wayang disana.
 
(Pak Uda masih boleh anda temui jika makan tengahari di gerai dihadapan Maybank. Sudah amat berusia tetapi alhamdulillah masih sihat- Insyallah akan saya temui jika berkesempatan).
 
Zainab Muhammad Panggong Wah Lee.....amboiiiii......bukan main segak nya pakcik kau ni posing mie ha ha ha .... Tapi akak tak kenai la..... 
 
 
 
Azmi AbdAziz Menurut cerita bapak, dia sampai di Cameron pada tahun 1950. Naik ke Cameron dengan bag bakul rotan. Kawan nya aruah pakcik Osman pun ada satu bag yang serupa. (Pakcik Suman, ayah kepada Yam yang dulu berniaga sebagai cobbler di pekan Tanah Rata.)
 
Mereka ketika itu remaja belasan tahun. Asalnya bapak bekerja di sebuah ladang ayam di Ringlet bersama pakcik Ibrahim Pendek. Ibrahim kemudian berhenti, dia beritahu bapak dia nak main wayang.
 
Tak lama kemudian bapak berhijrah ke Brinchang. Kerja di Ramphil Nursery. Sekarang ini tapak balai Polis Brinchang. Nursery tu perkongsian pakcik Ramli (orang kaya melayu masa tu) & Philips, anak taukeh kedai burung di Ipoh.
 
Untuk koleksi gambar yang lain dalam album Oldies 2 ini anda boleh ke Laman FB mrkumai dengan klik di SINI.
 
Insyallah, koleksi Oldies 3 akan saya kongsikan kemudian. Kali bersumberkan beberapa lokasi dan koleksi peribadi.

Friday, June 14, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Santai @ jungle walk Pejabat Hutan

Selepas satu jam bersantai kembara di ladang Teh, rupanya tidak mencukupi bagi anak-anak saya.
 
Mereka meminta pula untuk jungle walk dan kali ini saya membawa mereka ke laluan Jabatan Hutan ke Kg Taman Sedia sekitar 1.5 km pergi balik,
 
 
 
Treknya tidaklah sukar dan dalam keadaan baik.
 
Sambil-sambil itu, boleh juga melencongkan ke Taman Sedia untuk rehat di kebun strawberry sebelum berpatah balik selepas zohor di surau Taman Sedia.
 
Walaupun sudah sekitar 1 petang selepas menghabiskan masa ketika hujan di Time Tunnel, kami masih lagi ingin meneruskan jungle walk ini.
 
Laluan dari pejabat hutan ini bermula di tempat meletak kenderaanya.
 
Kami berjalan melalui kawasan rehat mereka sebelum menuruni tangga.
 
 
Di sini terdapat sebuah jambatan kayu yang untuk melintasi parit.
 
Perjalanan seterusnya lebih kepada jungle walk yang dibina dengan trek batu bata.
 
Laluan agak ringkas dan mudah. Sekali sekala melangkah dibawah pokok yang tumbang namun menambah cabaran kecil kepada anak-anak.
 
 
Cuma untuk keselamatan, kerana laluan ini tidak berpagar, pastika anak-anak kecil anda tidak terlalu kehadapan ketika melalui kawasan yang sempit dan terus bertebing tinggi.
 
 
 
Selain merasai kesegaran terdapat pelbagai jenis pokok hutan yang menarik untuk dilihat terutamanya bagi anak kecil.
 
Lumut, anak pokok, pakis dan pelbagai lagi menjadi hidangan mata buat anda.
 
 
Trek ini boleh terus ke Parit Fall tetapi kami memilih untuk melencongkan ke Taman Sedia melalui jambatan besi di Balora sebelum menghala ke Ros Chalet untuk rehat sambil menikmati buah strawberry.
 
Sambil-sambil itu kami bergilir sembahyang di surau yang baharu diubahsuai.
 
 
Selepas itu kami berpatah balik menggunakan laluan asal. Sebenarnya anda boleh meneruskan dengan melalui laluan ini sehingga ke hujungnya yang terdapat Aiza Chalet sebelum melintasi Sungai Telom dengan jambatan gantung.
 
Dari sini anda boleh kembali ke Pejabat Hutan dengan mudah.
 
Perjalanan singkat ini masih lagi sesuai untuk anda yang berkeluarga kecil seperti kami.
 
 
Koleksi gambar kami di SINI... dan SINI

Tips Melawat Cameron Highlands: Santai @ Sungei Palas Tea Plantation..

Dah selalu ke Ladang Teh Sungei Palas rasanya jemu jugak. Cuma dah tak ada tempat yang lain nak pergi , kami melangkah juga ke sana.
 
 
Cuma kali ini misi kami mencari sisi pandangan yang berbeza dan sudut yang mungkin tidak pernah kami pergi.
 
Rasanya kalau sekadar tempat tumpuan yang biasa, mungkin reaksinya agak dingin tetapi bila dapat melihat sisi lain, seronok pulak.
 
Kali ini kunjungan kami lebih kepada cardio walk di sekitar tea centre ini.
 
Dari tempat meletak kenderaan, kami berjalan ke puncak tea centre sebelum terus sahaja ke bahagian belakang kilang mereka.
 
Laluan ini memang popular untuk ke puncak Tea Centre namun bagi yang berusia emas, ibu mengandung dan bayi, agak sukar untuk mendaki.
 
Apatah lagi ada yang membawa ahli keluarga yang OKU samada berkerusi roda atau peralatan khas ataupun tidak. 
 
Anda boleh minta pengecualian untuk bermula dari laluan ini di pintu masuk ke pusat tea ini dengan alasan sedemikian.
 
Ternyata terdapat sebuah rumah yang berwarna merah dengan bumbungnya berlumut memberikan pemandangan yang menarik untuk bergambar.
 
 
Dikatakan rumah ini adalah dihuni oleh Pengurus atau jurutera Kilang Ladang Teh disebelahnya.
 
Lewat ke belakangnya pula anda boleh melihat pokok bunga kertas yang bersaiz besar dan bewarna merah bunganya.
 
Untuk melihat pokok bunga kertas bersaiz sebegini di Cameron Highlands agak mudah sebenarnya malah ada yang saya temui lebih daripada saiz ini.
 
 
Kami turun semula dan kali ni kami melencong ke sebelah kanan menghala ke seed garden mereka untuk berjalan di laluan jalan ladang.
 
Di sini sambil-sambil santai berjalan di permukaan landai kami melihat beberapa jenis bunga liar yang dipetik sepanjang jalan.
 
Malah di sini juga anda boleh melihat pemandangan anjung tea centre dari arah bawah.
 
 
Juga lebih menarik adalah rimbunan pokok teh yang menghijau dan lebih natural berbanding di laluan naik ke tea centre yang telah pun terkesan bentuknya akibat pengunjung yang bergambar.
 
Menghabiskan masa di laluan ini amat menyeronokkan cuma jangan biarkan anak kecil anda berlari terlalu jauh di hadapan terutamanya melibatkan selekoh yang memungkinkan ada kenderaan ladang datang.
 
Kami menghabiskan sekitar satu jam di awal pagi ahad sebelum bergerak pula ke lokasi kedua. Tak terasa penat kerana cuaca redup dan sejuk.
 
 
Jadi, kalau anda ingin bersantai.. apa kata anda memilih sisi yang berbeza ini untuk kelainan. Juga jika anda mempunyai basikal, pastinya jangkauan anda lebih melebar ke sisi yang lain pula.
 
Kami dah berangan-angan kan basikal.....
 
Koleksi gambar yang lain .. di sini.. dan selebihnya di SINI..

Tips Melawat Cameron Highlands: pembinaan Jalan Pahang

Cameron Highlands dibuka seawal 1924, setelah ditemui seawal 1985 ileh William Cameron yang bertugas sebagai jurukur British.
 
Hanya pada tahun 1920, Sir Maxwell datang untuk meninjau sendiri keadaan dataran puncak tanah tinggi yang dilaporkan oleh William.
 
Dikatakan, Sir Maxwell mengambil arah Tapah untuk menghubungkan laluan ke sini berbanding William Cameron yang memudik hilir Sungai Kinta ketika kerja-kerja mengukurnya. 
 
Untuk catatan kali ini kisah mengenai pembukaan dan pembinaan Jalan Pahang ini saya kongsikan bersama. 
 
 
Pada awalnya, laluan ini dibina secara rentas hutan menggunakan kudrat manusia sepenuhnya.
 
Namun hasil tinjau ini, British bersetuju untuk membuka Cameron Highlands sebagai Stesen Tanah Tinggi mereka yang antara lainnya menjadikan kawasan sejuk ini sebagai kawasan rehat bagi golongan Ekspartriat Eropah.
 
Hasilnya juga mengikut perancangan mereka,  sepanjang 64 km laluan baharu akan dibina melalui tebing bukit dan curam gaung menembusi kawasan hutan belantara iaitu Hutan Simpan yang saya lupa namanya.
 
Namun membina laluan ini ditahun 1920 an sememangnya diluar jangkauan pemikiran kita dan mungkin teknologi yang ada hanyalah untuk tulang empat kerat.
 
Tetapi bagi pihak British ianya bukan mustahil kerana mereka telah maju ke depan dalam bidang kejuruteraan dan berbekalkan pengetahuan dan kemahiran kejuruteraan, mereka mampu merialisasikan perancangan ini.
 
 Apapun mungkin anda akan turut kagum dengan kegigihan dan kehebatan kejuruteraan yang dibawa dan digunakan oleh pihak British ketika itu pada tahun 1928.
  
Saya menemui beberapa keping gambar dari koleksi buku yang menarik.
 
Barulah saya dapat bayangkan dengan jelas bahawa pihak British bukan menggunakan sepenuhnya cangkul dan tenaga buruh yang ramai untuk membuka laluan dengan memotong bukit, memecahkan batu serta membina jambatan.
 
 
 
Mereka menggunakan 'Water Canon' yang menggunakan enjin keretapi untuk menembak bahagian berbatu dan cerun bukit dengan kuasa air.
 
Landasan keretapi yang sementara dibina untuk membolehkan lokomotif digerakkan ke hadapan dan kebelakang sepanjang kerja-kerja ini dilakukan.
 
Kuasa air yang ditembak dengan kelajuan tinggi berupaya memecahkan tanah dan batuan keras untuk membuka laluan.
 
 
 
Kaedah yang sama digunakan dalam sektor perlombongan moden untuk perlombongan terbuka bagi memecahkan batuan sebelum memisahkan logam atau bijih dengan menggunakan palung.
 
Mereka merentas laluan mengikut tepian bukit dan membina jambatan konkrit pada setiap parit dan sungai yang besar yang masih digunakan sehingga kini. 
 
 
Apapun bagi mereka bukan ancaman binatang buas yang menghantui mereka selain berada di tengah belantara yang tidak terusik tetapi serangan penyakit malaria amat ditakuti.
 
Cuma sekitar tahun 1940 an, laluan ini agak berisiko dengan serangan hendap pengganas komunis dan ada catatan merekodkan 5 orang pengguna laluan ini telah diserang hendap dan terbunuh.
 
Dikatakan selepas serangan itu, setiap konvoi ke sini akan disertai dengan pasukan pengiring keselamatan.
 
Pembukaan jalan ini telah merancakkan perkembangan dan pembangunan di Tanah Tinggi dengan pembukaan pekan-pekan penempatan.
 
Manakala di sepanjang laluan ini, penempatan Orang Asli juga dikatakan mula berpindah dari kawasan pendalaman dan telah lebih dekat dengan laluan ini.
 
Jadi ingatlah, setiap kali anda melalui jalan Pahang ini, tersimpan keringat dan kisah kegigihan yang dicurahkan sebelum ini oleh mereka yang tidak terdendang namanya.  

Thursday, June 13, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands :Oldies....

Saya rasa, seronok untuk berkongsikan catatan kali ini kerana ianya agak unik khasnya bagi anda yang baharuy sahaja mengenali Cameron Highlands dan bagi yang sudah seperti saya lebih tertarik dengannya.

Manakala bagi mereka yang lebih mengenalinya,  perasan terimbau dengan kenangan suatu ketika dahulu akan mudah tergapai.

Saya terlebih dahulu berkongsikan koleksi gambar klasik Cameron Highlands ini di laman FB mrkumai dan reaksi dari beberapa rakan yang terkenangkan kisah silam mereka amat menyentuh rasa saya.

  
Azmi AbdAziz : Sayang. Bapak dah pergi. Tentu dia boleh cerita banyak perkara kalau ditunjukkan gambar ini.

Ini kerana selain menambah info yang tidak tercatat dari mana-mana tinta dan catatan yang ada oleh mereka, terusik juga bilamana sedikit kenangan yang diimbau mengusik jiwa.

Apapun koleksi gambar ini  bukan koleksi peribadi saya tetapi diperolehi ketika berkunjung ke Time Tunnel dan juga perpustakaan daerah yang juga anda semua boleh kunjungi.

Jom kita kongsikan bersama...

Pekan Tanah Rata 1950 an
Azmi AbdAziz Di belakang tu British Military Hospital, sekarang Sekolah Convent.

Pekan Tanah Rata sekitar 1950-60 an

Azmi AbdAziz Kedai dulu-dulu, muka pintu nya tertutup. Tempat sejuk, perlulah bertutup. Sekarang tak lagi. Pekan Tanah Rata singkat waktu berniaganya. Jam 6 dah lengang.
 
Waktu petang sebegitu apik-apik & aya-aya (Etikkan, Perumal, Kumaran & 1 lagi -- tak ingat, yang Chettiar tu) akan keluarkan kepingan papan buat melindungi muka pintu dan tingkap hadapan kedai mereka.
 
 
 
Azmi AbdAziz Caravan tu Hon Chong yang punya.Buat jual rokok Benson & Hedges
 
 
Azmi AbdAziz Sebelah kiri Stesyen Taxi (Banyak Mercedes Benz) dan Stesyen minyak Shell.
 

Azmi AbdAziz  Bas badan bulat. Bas 'Regal"? Ini awal 70'an, kalau tak lewat 60's. Dihujung pekan ada Tourist Information Center. Sah awal 70'an. Ada persidangan PATA 1972 di Cameron.
 
Tak jauh dibelakang stesyen ESSO ada sebuah pintu gerbang. Bermula dari situ kami anak-anak sekolah berbaris menyambut keberangkatan Tuanku Sultan Pahang dan tetamu baginda. Dengan memegang bendera di tangan melaungkan "Daulat Tuanku." Masa tu kesekolah berseluar pendek. Tak sejuk.
 

Azmi AbdAziz Pernah tinggal di quarters MARDI. Masih ingat ditinggalkan di nursery, anak-anak disitu (termasuk saya) minum susu dari botol 1/2 kati.
 
Aunty yang menjaga bancuh susu guna koleh diperbuat dari ayan. Susu tarik...sedap! Emak kerja dengan Suparshads, kutip daun teh.
 

Azmi AbdAziz Jalan Tengkolok, ini laluan kami (short cut) balik dari sekolah. Belok kekanan di simpang ke rumah DO, melalui denai hutan.
 
Keluar di Thai Rata dan sampai ke rumah. Bagi hari-hari yang lebih adventurous lagi, jalan terus lagi, lalu menongkah bukit yang tersangat curam, terus sampai ke rumah. Fatty (Ho Kam Wah) anak asoh Hailam di Lee Lian Lian Cottage jadi teman pulang ke sekolah.
 
 
Azmi AbdAziz Market Brinchang, tempat emak mula berniaga. Mengimbau kenangan. Early 70's.
 
Aznah Abdul Aziz emak yang gigih dan sabar dalam membesarkan kita. saaaaaayang emak....
 
Insyaallah , saya akan menambah lagi yang mana patut dan ada dalam koleksi saya.
 
Klik sini untuk album penuh di Laman FB. Klik.

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock