TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, May 10, 2013

PRU 13: Suasana mengundi @ Felda Kumai ... 2

Dipetik dari catatan saya di laman feldakumai.com: Klik
 
Catatan kedua mengenai hari mengundi ini saya lebihkan pula suasana semasa pusat mengundi dibuka. Selepas bersiap di rumah, saya bergerak ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Felda Kumai ini bersama bapa saya yang uzur.
 
PRU 13 @ Kumai6 
 
Sebenarnya bapa saya dari pagi telah menunggu kenderaan peraih undi untuk menjemput beliau ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawabnya. Namun sehingga pukul 8.30 pagi masih belum muncul. Ini mungkin kerana kereta peraih undi menjemput pengundi yang lain dahulu.
 
Bercakap mengenai kereta peraih undi ini, rasanya saya akan berkongsikan sedikit nostalgia lama ketika hari mengundi di catatan ketiga nanti. Biarpun saya sempat mengikuti beberapa pru sebagai kanak-kanak yang tidak paham akan politik ketika itu, namun terdapat beberapa kenangan yang mungkin boleh saya kongsikan.
 
Berbalik kepada kisah hari mengundi, ketika dalam perjalanan ke sana, saya hanya menemui dua kumpulan pengundi wanita yang berjalan kaki. Selebihnya seolah-olah berkonvoi dengan pengundi yang lain dengan menaiki kereta dan motorsikal masing-masing.
 
Tiba di pusat pengundian, kami terus ke hadapan pintu pagar sekolah sebelum memasuki kawasan sekolah. Kelihatan mereka yang telah menunaikan undian mula keluar dan kelihatan beberapa pengundi yang kurang sihat dibawa dengan kerusi roda.
 
5 saluran disediakan. Saluran 1 dan 2 berada berhampiran dengan bangunan hadapan. Saluran 1 rasanya untuk mereka yang berumur 60 ke atas dan saluran 2 untuk berusia 50 tahun ke atas. Kedua-dua saluran ini penuh dan beratur panjang.
 
PRU 13 @ Kumai7
 
Namun petugas SPR memantau dan membantu mana-mana pengundi yang uzur dan kurang sihat diberi laluan hijau untuk terus mengundi. Antaranya ayah saya sendiri yang turut mendapat laluan hijau.
 
Di saluran kedua saya lihat agak ramai dan juga sesak di pintu masuk dan kelihatan tidak terurus seketika sebelum Polis bertugas membetulkan keadaan.
 
PRU 13 @ Kumai8
Saluran 1 dan 2

Di bahagian bangunan baharu di belakang pula untuk Saluran 3 yang rasanya pengamatan saya untuk golongan berusia 40 tahun ke 49 tahun. Mereka tenang beratur biarpun agak panjang.
 
Saya segera pula ke bangunan di sebelah kantin sekolah dimana terletaknya saluran 4. Saluran empat untuk pengundi berusia 30-39 tahun dan sebelah hujungnya adalah saluran 5 untuk pengundi 21 tahun hingga 29 tahun.
 
Saluran mereka agak lengang kerana belum bangun tidor barangkali ataupun belum mendaftar.
 
Mengikut pecahan umur pengundi, golongan pengundi berusia diantara 30-39 tahun melebihi 24 % dan paling ramai.
 
PRU 13 @ Kumai 10
 
Ketika beratur di sini, memang seronok walaupun barisannya agak panjang. Ini kerana di sini peluang bertemu rakan-rakan lama yang sudah berkurun tidak ditemui. Antaranya saya sendiri dengan beberapa rakan lama yang sudah lebih 10 tahun tidak bertemu. Selain menanti giliran, kami bersembang panjang malah bertukar nombor telepon.
 
Sebaik sahaja selesai mengundi saya berjalan-jalan ke kawasan luar pusat mengundi dan bertemu dengan pak cik makcik yang masih mengenali saya. Sememangnya peluang sebegini tidak dapat dilepaskan.
 
PRU 13 @ Kumai 11
Cikgu Nazri, walaupun sudah berpindah ke sekolah lain tetap pulang mengundi. Gembira
berjumpa dengan cikgu semasa PRU.

Namun begitu mata saya tidak terlepas pandang kepada gerak kerja petugas SPR yang membantu menunjukan arah saluran mengundi. Bagi mereka yang kurang pasti di mana saluran mengundi mereka, terdapat dua buah khemah SPR untuk membuat semakan.
 
Di bahagian luar, petugas parti masing-masing sibuk membantu dan mengalu-alukan kehadiran pengundi. Manakala bagi yang uzur, bantuan seperti memapah, kerusi roda disediakan. Namun pemerhatian saya jumlah 2 buah kerusi roda tidak mencukupi untuk membawa pengundi yang uzur.
 
Selepas berlegar sekitar sejam lebih, saya beredar pulang kerana telah berjanji untuk minum pagi bersama rakan-rakan lama di kedai Wak Leman…
 
Apapun saya berbangga dengan hari pengundian di Felda Kumai. Tiada yang bermasam muka, bergaduh dan melakukan provokasi biarpun melihat di laman FB warga felda kumai terdapat sentimen tegang dalam berkempen khasnya dikalangan pengundi di saluran 4 dan 5.
 
Saya pasti dengan pengamatan saya ini, pengundi di Felda Kumai matang dalam membuat keputusan dan menghargai peluang untuk mengundi sebaik mungkin. Dilaporkan, peratus keluar mengundi melebih 80 % di peti undi ini.
 
PRU 13 @ Kumai9
Pak Cik Ramli kata ... saya pilih mengundi....
 
Apapun keputusan PRU telah diketahui dan untuk calon yang berjaya, SELAMAT MENUNAIKAN TUGAS sebaiknya.
 
Majoriti telah memilih anda…

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock