TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, April 8, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: YZ Agrofarm ...

Kisah mengenai YZ Agrofarm antara koleksi catatan mengenai tanaman dan pengusaha tanaman strawberry yang pernah saya kongsikan di dalam catatan terdahulu.
 
Terletak di Kg Taman Sedia, YZ Agro Farm diusahakan secara dua sahabat dan kini menjadi antara lokasi tumpuan pelancong ke Cameron Highlands khasnya yang mencari produk strawberry yang diusahakan oleh pengusaha bumiputera.
 
Kisahnya di petik dari Harian Metro yang bersiaran 26 February 2012 oleh Roselan Abd Malek.


pix_topright

SIAPA yang mengunjungi kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, pasti tidak melepaskan peluang melawat ladang teh atau strawberi.

Pusat peranginan yang diterokai seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron pada tahun 1885 itu turut terkenal dengan produk sayur-sayuran, teh, bunga-bungaan serta buah-buahan iklim sederhana.
Faktor iklim sederhana dengan suhu sekeliling antara 10 hingga 24 darjah celsius menjadikan kawasan tanah tinggi itu sesuai untuk tanaman strawberi.

Usaha penanaman strawberi secara ladang turut diusahakan dua sahabat, Mohd Yusoff Abdul Satar, 44, dan Zulkefli Zahari, 52, menerusi pembukaan ladang strawberi, YZ Agrofarm di Taman Sedia, Tanah Rata.
Foto
Daya kreatif YZ Agrofarm menghasilkan produk hiliran dari ladang strawberi.
Pengunjung begitu teruja melihat buah strawberi yang merah menyala.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian, berkat minat dan usaha gigih, kini mereka antara usahawan strawberi berjaya di Cameron Highlands.

Mohd Yusof pernah berkhidmat dengan institusi perbankan dan Zulkifli pula bekas kakitangan Risda.

Dengan bermodalkan wang simpanan dan pinjaman bank, mereka memberanikan diri menceburkan diri dalam bidang baru itu.

Mereka bernasib baik kerana mendapat bimbingan seorang pengusaha, Khairani Mohamad yang 12 tahun menceburkan diri dalam penanaman strawberi, selain khidmat nasihat Jabatan Pertanian dan MARDI.

Katanya, terdapat 30 pengusaha ladang strawberi dengan keluasan kira-kira 32 hektar dan hanya sembilan pengusaha Bumiputera mengusahakan ladang itu.

“Kami mempunyai dua kawasan ladang dengan tanaman kira-kira 18,000 pokok strawberi.

“Kebanyakan strawberi itu dijual segar kepada pengunjung yang turut dibenarkan mengutip sendiri,” katanya.

Menurutnya, tumbuhan strawberi amat sensitif dan memerlukan penjagaan rapi.

Rakannya, Zulkifli berkata, selepas dua tahun berkecimpung dalam tanaman strawberi, teknik fertigasi adalah kaedah penanaman terbaik bagi pokok itu.
Foto

“Sistem fertigasi tidak memerlukan kawasan yang luas selain tiada masalah dengan tahap kesuburan tanah.

“Kami menanam varieti strawberi jenis ‘festival’ kerana ia lebih sesuai dengan iklim Cameron Highlands dan hasilnya boleh dikutip dalam masa tiga bulan,” katanya.

Katanya, bagi meningkatkan pendapatan, mereka turut menghasilkan produk hiliran strawberi terutama dalam mempelbagaikan kegunaan buah itu seperti penghasilan kordial, buah kering, jem, halwa, jus, acar dan jeli.

Mereka juga me­nyediakan gerai makanan bagi membolehkan pengunjung menikmati pelbagai juadah dalam suasana nyaman di ladang strawberi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock