TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, April 30, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Pasar Tani Agro Tourism

Jika anda malas dan rasa rimas untuk membeli belah di Pasar Malam Brinchang yang dibuka setiap hujung minggu, ataupun mungkin terlepas membeli sesuatu ketika waktu malam ataupun anda tidak mahu melayan kesesakan teruk di Kea Farm, saya mencadangkan anda untuk mengunjungi pasar tani perlancongan di tapak pasar malam Brinchang pada hari Ahad.
 
Ianya sama seperti di pasar malam sebelumnya cuma lebih berskala kecil dan lebih menumpukan produk tanaman dan produk hilirannya.
 
Pasar Malam Brinchang di bawah pengawasan Majlis Daerah Cameron Highlands tetapi untuk pasar tani ini dibawah kelolaan FAMA.
 
Saya mengesyorkan anda untuk singgah di Pasar Tani Perlancongan ini di kala lawatan hari akhir anda di sini...
 
Lebih mengenainya saya petik catatan Oleh ALI MAHMOOD utusanktn@gmail.com yang penuh dengan kisah dan pendapat umum.
 
Pasar Tani Pelancongan Cameron Highlands menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara pada setiap Ahad. 
 
CAMERON HIGHLANDS 23 April - Pasar Tani Pelancongan Cameron Hihglands kini semakin popular apabila dikunjungi lebih tiga juta pelancong tempatan dan luar negara sejak dibuka pada 2007.

Pasar tani berhadapan Ibu pejabat Polis Daerah Cameron Highlands itu hanya beroperasi pada setiap Ahad bermula pukul 7 pagi hingga 2 petang.

Namun terdapat sebanyak 100 gerai menjual produk utama keluaran pertanian seperti bunga, strawberi, sayur-sayuran, buah-buahan tempatan, madu dan cenderamata berkonsepkan produk tempatan sekali gus menjadi tumpuan pelancong.

Selain memenuhi barangan keperluan pelancongan, penglibatan pelbagai golongan petani dan peniaga daripada kaum Melayu, Cina dan India serta lain-lain kaum mencerminkan pasar tani itu sebagai pasar tani 1Malaysia.

Bagi memenuhi cita rasa pelancong, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan hanya produk berkualiti dijual di pasar tani itu.
Pasar berkenaan adalah antara tiga pasar tani pelancong yang terdapat di negara ini selain di Seremban, Negeri Sembilan dan Kuching di Sarawak.

Seorang peniaga, Normah Rashid, 57, yang berniaga di situ sejak lima tahun lalu berkata, jualan di gerainya amat menggalakkan berikutan kehadiran para pelancong sentiasa meningkat saban tahun.
Dia yang menjual sayur-sayuran seperti jagung, kobis dan kacang panjang tidak menyangka sambutan diterima amat baik.

"Saya juga mengambil bekalan sayur-sayuran daripada beberapa petani lain di sini bagi mempelbagaikan hasil jualan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Normah yang turut berniaga di Kia Farm sejak tujuh tahun lalu yakin pasar tani itu akan terus popular memandangkan FAMA sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan produk dijual berkualiti selain harga berpatutan.

Seorang lagi peniaga, Chuah Kheng Wooi, 29, berkata, perniagaannya semakin berkembang apabila permintaan kepada hasil jualannya terus meningkat kerana kehadiran ramai pelancong.

"Saya menjual hasil ladang yang diusahakan sendiri dan turut mengambil sayur-sayuran daripada petani lain di sekitar kawasan ini," katanya.

Bagi seorang lagi peniaga, Wong Pei Yin, 34, kewujudan pasar itu membantu menambah pendapatan keluarganya apabila diberi peluang berniaga di situ.

Selain itu katanya, dia juga dapat membantu memasarkan hasil petani-petani lain yang tidak mempunyai gerai di pasar tani tersebut.

"Sebelum ada pasar tani ini saya hanya berniaga di pasar malam sahaja tetapi kini rezeki semakin bertambah apabila FAMA memberi peluang membuka gerai bagi memasarkan strawberi dan sayur-sayuran di situ," katanya.

Dalam pada itu, seorang pelancong tempatan, Mohd. Yatim Mohd. Yunus, 63, memberitahu, dia sudah lebih 20 kali mengunjungi pasar tersebut dengan menginap di hotel berhampiran untuk membeli sayur-sayuran lebih awal.

"Usaha FAMA menguruskan pasar tani di sini bukan sahaja mewujudkan golongan usahawan tani tetapi membantu pelancong membeli barang seperti sayur serta buah-buah dengan harga lebih murah dan segar," katanya.

Bagi R. Ramasamy, 59, yang datang dari Mentakab, dengan adanya pasar berkenaan ia memberi lebih banyak peluang kepada pelancong membuat pilihan di samping membantu taraf ekonomi petani tempatan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20120424/wp_01/Pasar-tani---produk-pelancongan#ixzz2RwJcfYVg
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock