TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Thursday, April 11, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Maslinda Samad , Graduan Orang Asli kebangaan Cameron Highlands.

Kisah ini mungkin kisah yang biasa jika melihat majlis graduasi dI mana-mana universiti. Tetapi kisah yang saya kongsikan ini adalah kisah istimewa yang boleh dibanggakan kerana graduan yang dimaksudkan, Maslinda Samad merupakan salah seorang Kaum Orang Asli yang berasal dari Cameron Highlands.
 
Saya telah berkongsikan beberapa catatan mengenai kampung-kampung Orang Asli serta koleksi wajah-wajah Orang Asli dari yang kanak-kanak sehinggakan kepada golongan dewasa.
 
Malah kisah sedih peristiwa tanah runtuh di Kampung Sungai Ruil juga saya muatnaikkan dan kini kampung tersebut dalam proses pembinaan semula supaya lebih selamat.
 
Apapun kisah mengenai Maslinda Samad ini saya kongsikan untuk kita berkongsikan kebanggaan mereka... Syabas Maslinda...

.

Oleh LOKMAN ZAINAL ABIDIN
KUANTAN: Empat tahun lalu, ramai yang seakan tidak percaya kehadiran sekumpulan Orang Asli dari Kampung Renglas, Pos Pelanduk, Cameron Highlands di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang adalah untuk menghantar anak seorang daripada mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi itu.
 
Walaupun ada yang melemparkan pandangan sinis, tidak kurang juga yang kagum sebaik mengetahui Maslinda Samad - anak Orang Asli pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke UMP - mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ketika belajar di SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Cameron Highlands.

“Memang ramai yang tidak percaya saya anak Orang Asli dan kebanyakan kawan menyangka saya berasal dari Sabah atau Sarawak,” kata graduan Fakulti Teknologi berusia 24 tahun itu.

Maslinda yang juga anak kedua daripada tujuh beradik itu adalah antara 2,075 graduan UMP yang menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen UMP yang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah merangkap Canselor UMP.

Majlis konvokesyen ketujuh itu berlangsung di Kompleks Sukan UMP kampus Gambang, di sini, semalam.

Maslinda yang kini sedang bekerja secara sambilan untuk menampung perbelanjaan keluarganya, menyimpan hasrat untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman di luar Cameron Highlands sekali gus mahu membuktikan bahawa anak Orang Asli juga mampu berjaya seperti kaum lain.


“Saya mahu anak-anak Orang Asli di seluruh negara menjadikan kejayaan saya sebagai contoh kerana jika kita berusaha dengan gigih, tidak mustahil kita juga mampu berjaya,” katanya yang mencatat gred kumulatif 3.11 dalam pengajiannya itu.

Sementara itu, bapa Maslinda, Samad Padang, 48, berkata anaknya itu adalah individu pertama dari Kampung Renglas, Pos Pelanduk, yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan langkah cemerlang itu dijejaki seorang sepupunya yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Kejayaan Maslinda memang membanggakan kami sekeluarga dan mengharapkan supaya adik-adiknya dapat mengikut jejak langkahnya,” kata kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands itu.
 
Sumber : Harian Metro dan dan Gambar NST

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock