TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, April 8, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Lagi cabaran gunung ganang...

Cabaran gunung ganang di Cameron Highlands telah mempunyai beberapa catatan yang dimuatnaik sebelum ini dan antaranya menjadi rujukan untuk persiapan pendakian yang saya terima melalui email oleh pembaca.
 
Namun saya sendiri tidak mengetahui terdapatnya Gunung Siku di Cameron Highlands. Membaca catatan ini dari petikan berita Kosmo  menyebabkan saya tertanya-tanya di mana arahnya gunung ini.
 
Insyaallah akan saya cuba bertanya rakan-rakan di sini tetapi sementara itu, ayuh kita baca pengalaman Kelab Kembara MSU yang ditulis oleh MUHAMMAD ZAKIR MUHAMMAD

Kelab Kembara MSU menguji ketahanan mental dan fizikal pelajar untuk menawan dua puncak gunung sekali gus dalam satu ekspedisi di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.

PANORAMA indah kawasan pergunungan yang dilihat dari puncak gunung.TANGGAL 18 dan 19 Julai 2008, sekumpulan pendaki dari Kelab Kembara MSU (Universiti Sains dan

Pengurusan/Management & Science University) Shah Alam, Selangor telah melakukan pendakian ke Gunung Siku dan Gunung Berembun di Cameron Highlands, Pahang.

Tidak ramai pendaki mengetahui tentang kehadiran Gunung Siku dalam senarai gunung-gunung di Malaysia. Pendakian yang diketuai jurupandu jalan yang kami panggil Abang Mat berjalan lancar.

Lebih-lebih lagi, Abang Mat mempunyai pengalaman luas dalam ilmu pendakian. Jadi, kami yakin ekspedisi ini tidak akan ditimpa masalah jika para peserta mengikut dan patuh pada arahan yang diberikan Abang Mat. Berikut catatan ekspedisi kami.


PARA pendaki bersorak gembira di puncak Gunung Berembun, Cameron Highlands.

17 Julai 2008: Perjalanan yang mengambil kira-kira empat jam dari Shah Alam ke Cameron Higlands ternyata meletihkan dan menjejaskan tenaga kami. Apatah lagi laluan jalan yang berliku menyebabkan ada dalam kalangan kami yang terasa pening kepala.

Kami tiba pada awal pagi di lokasi perkhemahan di Jabatan Hutan, Sungai Pauh, Cameron Highlands, Pahang. Kawasan perkhemahan yang dijaga serta lengkap dengan surau dan tandas memudahkan kami mendirikan khemah dan urusan lain. Kami melelapkan diri seketika untuk menghilangkan penat dan mengantuk sebelum subuh menjelma.

18 Julai 2008: Tepat pukul 10 pagi, kami seramai 36 orang bergerak menuju ke kaki Gunung Siku. Tatkala tiba di kaki gunung itu, kami melakukan sedikit aktiviti memanaskan badan untuk mengelakkan sebarang kecederaan otot.

Kami mula mendaki pada pukul 11 pagi. Terasa kelainan apabila melalui bekas ladang teh yang ditanam dengan sayur kobis. Kami meniti jambatan kayu untuk menyeberangi sebatang sungai.

Airnya begitu jernih, namun sayang kerana airnya mengandungi racun dan baja sayuran.
Kami mula melalui trek yang agak sukar dan dipenuhi pokok tumbang, selain keadaan trek yang agak menegak, licin dan sempit sehinggakan ramai dalam kalangan kami yang luka dan tercalar terkena duri.

Sepanjang pendakian, kami langsung tidak menemui sesiapa. Kami asyik dengan sajian mata melihat spesies bunga dan orkid, serta batu karang gunung yang jarang ditemui.

ANTARA spesies flora yang boleh dilihat sepanjang pendakian.

Setelah dua jam mendaki dan sebelum sampai ke puncak, kami dapat melihat sebuah kawasan tanah merah yang gondol mengelilingi kawasan kaki Gunung Siku. Patutlah ada sungai yang keruh airnya dan mengalir lesu.

Rupa-rupanya kawasan tadahan hutan hujan ini rakus diteroka atas nama pembangunan oleh manusia yang hilang pertimbangan akibat tamakkan wang semata-mata. Terasa sakit hati memandangnya.

Kami kesal kerana kawasan ini telah dicabul sewenang-wenangnya. Namun begitu, udara segar dan sejuk masih mampu kami rasai tatkala tiba di puncak pada pukul 1.30 petang. Syukur kerana puncak gunung setinggi 1,916 meter (6,284 kaki) dari aras laut ini masih dibiarkan dara.

Setelah selesai bergambar dan menghilangkan penat, kami bertolak pulang dengan secalit kenangan yang disertai kesalan kerana memikirkan penerokaan hutan tanpa kawalan di kaki Gunung Siku tersebut.

Ketika perjalanan pulang, kami sempat singgah di pasar malam. Pelbagai aneka sayuran dan buah-buahan segar mudah ditemui. Sempat kami membeli buah cinta yang jarang ditemui sebagai pemanis mulut selepas makan malam nanti.


BUNGA mawar mekar di taman MARDI.

19 Julai 2008: Sejuk masih menyelubungi diri, namun kami gagahkan diri untuk bersiap menawan puncak Gunung Berembun pula. Kami mula mendaki pada pukul 9.00 pagi dengan menyeberangi anak sungai dan menyusuri trek yang agak lecak. Selang lima minit kemudian, trek menjadi lebih pacak dan agak menyukarkan perjalanan, namun tidak sesukar yang disangka kerana keadaan trek yang bersih dan baik.

Sepanjang pendakian ke puncak Berembun, kelihatan pokok-pokok yang dipenuhi lumut menghijau hingga menutupi lantai hutan. Meskipun matahari memancarkan sinar, suhu sejuknya tetap terasa hingga ke tulang. Keadaan trek agak mudah kerana perjalanan naik dan turun tidak terlalu sukar.

Saujana mata memandang tatkala kelihatan puncak Gunung Brinchang dan Gunung Irau sewaktu melalui kawasan lembah. Dua jam setengah kemudian, kami tiba di puncak Gunung Berembun.

Puncak setinggi 2,078 meter (6,817 kaki) dari aras laut ini agak luas dan mempunyai pemandangan yang menarik.

Seperti menjadi satu rutin, jari jemari 'jurugambar' mula rancak menekan butang kamera. Pelbagai gaya dirakamkan sebagai kenangan. Kami sempat memasak untuk mengalas perut sebelum turun menyusuri trek yang berlainan. Trek tersebut menuju terus ke MARDI. Sebaik tiba di situ, pemandangan kami terpukau dek keindahan taman botani serta pokok bunganya yang mempunyai kepelbagaian spesies hidupan renek tanah tinggi.

Masa amat mencemburui kami. Jadi, kami tidak dapat menikmati sepuas-puasnya keindahan taman bunga di sini. Kami terpaksa bergegas pulang kerana akur dengan jadual program yang mengkehendaki kami tiba di Shah Alam sebelum tengah malam.

Setelah semuanya selesai, jelas terpancar kepenatan di wajah para pendaki. Namun, terserlah kepuasan yang tidak terhingga kerana berjaya menawan dua puncak gunung dalam tempoh dua hari tanpa berlaku kejadian yang tidak diingini.
MENEMPUH kebun sayur dan meniti jambatan kayu, antara laluan pendaki ke puncak Gunung Siku, Cameron Highlands.


Masing-masing dalam kalangan kami berhasrat dan menanam semangat agar lebih mencintai alam sekitar dan berusaha untuk memeliharanya kerana khazanah alam ini sangat tidak ternilai harganya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0802&pub=kosmo&sec=Rekreasi&pg=re_01.htm#ixzz2Ppty7n3v
Hakcipta terpelihara

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock