TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, April 15, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands; Kisah si pemetik teh...

Industri teh bermula seawal 1930A bilamana A.J Russel membuka ladang teh yang pertama di Cameron Highlands.
 
Menggunakan pengalaman pakar teh British yang telah lama bertapak di Sri Lanka, mereka membuka lembaran dan langkah pertama dalam industri ini.
 
Bukan sekadar pengalaman dan pengetahuan mengenai teh yang dibawa ke Malaysia tetapi turut serta adalah segerombolan pekerja berpengalaman dari negara India dan Sri Lanka.
 
Kisah mereka bermula sebaik bertapak di bumi Malaysia. Perit dan getir pengalaman mereka tidak berdendang kerana hampir sudah tiada lapisan yang pertama. Yang tinggal adalah generasi mereka yang mungkin masih di dalam industri teh ini ataupun kini telah meninggalkan legasi moyang mereka.
 
Kisah yang dikupas oleh BERNAMA tampak ringkas tetapi menyelitkan sesuatu yang tidak mudah dicari kini. Gambar di ambil dari beberapa laman web.
gambar pinjam dari carian internet

Jumaat April 25, 2008
Kehidupan di ladang teh memberi kepuasan kepada Kolandan

CAMERON HIGHLANDS: Kolandan, 69, tiba di Boh Estates di Cameron Highlands pada lewat 1930an bersama keluarganya yang berhijrah untuk mencari kehidupan lebih baik di Malaya.

Mereka merupakan antara beratusratus orang dari benua India yang tiba di Cameron Highlands untuk membanting tulang di sebuah ladang teh perintis yang diusahakan oleh seorang usahawan Inggeris.

Kolandan pada masa itu masih di zaman kanakkanak, masih mentah dengan ragam hidup. Bagi beliau, jikapun ada yang tidak kena ialah cuaca dingin tanah tinggi.

Tetapi semua itu berubah pada 1948 apabila bapanya Kandasamy dengan tiba-tiba meninggal dunia.
Pada usia yang begitu muda, belum pun mencapai usia 12 tahun, Kolandan mula bekerja di ladang yang sama untuk membantu menyara kehidupan keluarganya.

Kolandan ketika itu mungkin tidak menyedari ia adalah permulaan satu kehidupan yang berlegar di ladang yang sama untuk lebih separuh abad.

Hidup yang mencabar
Kolandan, yang kehidupannya sebati dengan rutin ladang teh, mendirikan rumahtangga dengan seorang daripada saudaranya Ponama Sengoda Kaunder, kini berusia 62 tahun. Kolandan memandu traktor sementara Ponama bekerja sebagai pemetik daun teh di ladang yang sama.

Keduaduanya kini sudah bersara. Ketiga-tiga anak mereka sudahpun dewasa dan menetap di tempat lain tetapi pasangan itu bertegas untuk meneruskan sisa-sisa hidup mereka di ladang berkenaan.

Kerja harian di ladang meletihkan dan ganjarannya pula cukup ala kadar tetapi pasangan ini tetap berbangga dengan kerja mereka selama lebih lima dekad. Apa sahaja yang mereka lakukan setiap hari masih segar dalam ingatan.
     
"Mereka perlu memetik dengan tangan tiga helai daun daripada pucuk teratas yang dikatakan sebagai daun yang terbaik," kata Kolandan semasa mengenang semula bagaimana daun teh dipetik pada masa itu.

Tetapi kemudian gunting diperkenalkan dan dengan itu timbullah zaman kegemilangan industri teh dengan setiap pekerja boleh mengutip sehingga 100 kg dalam sehari.

Ia membawa keuntungan besar tetapi semua sibuk mengejar wang sahaja, kata Kolandan secara bersoloroh.

Ponama berkata pernah sekali beliau dengan tanpa sengaja mencengkam seekor ular yang kepalanya disangka daun teh. Ia suatu pengalaman yang begitu menakutkan.

Nasib baik sehingga kini tiada yang maut akibat patukan ular tetapi ramai juga yang kehilangan jari kaki dan tangan akibat diserang oleh reptilia itu.

 

Keceriaan di sebalik kehidupan daif
"Pada masa dahulu untuk memetik daun teh pekerja wanita akan keluar dalam kumpulan 20 atau 30 orang walaupun pada hari hujan.

"Kami akan menyanyi lagu diiringi korus untuk meniupkan semangat," kata Ponama yang masih boleh menyanyikan lagulagu itu sehingga hari ini.

"Semasa waktu makan tengah hari kami akan berkongsi makanan dan akan berbual mengenai keluarga dan filem," kata Ponama yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenarnya.

"Kami hidup sebagai satu keluarga besar dan seringkali terbabit dalam permainan tradisional seperti kabbadi, manja neer dan kummi attam," Kolandan, yang masih kelihatan bertenaga, mencelah.
Seminggu sekali filemfilem akan ditayangkan di ladang tersebut dan mereka semua akan pergi menyaksikan bintangbintang pujaan mereka, kata Ponama.

Menurut Kolandan, pemandangan pada masa itu seperti pesta di mana lebih kurang 200 hingga 300 wanita dengan sari berwarna-warni berjalan keluar dari deretan rumah rumah menuju ke padang di mana filem ditayangkan.

"Kehidupan pada masa itu serba daif. Kami mencari kayu api, menanam sayursayuran dan berkongsi makanan bersama jiran semangat setiakawan yang jarang ditemui hari ini," jelas Ponama.

Kolandan berkata tempoh yang benar-benar mencabar ialah pada 1957 apabila perintah Darurat dikuatkuasakan di Cameron, pada masa itu beras sukar diperolehi dan penduduk tempatan terpaksa bergantung pada ubi kayu.

Bagaimanapun Kolandan menanam sayursayuran bagi menampung keperluan keluarganya.
Yang menjadi tanda tanya ialah mengapa pasangan ini mahu kekal di ladang itu walaupun mereka terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan?

Adakah kerana rasa puas hati dan semangat jati diri kehidupan di ladang itu ataupun mungkinkah ini satu-satunya sahaja dunia yang mereka kenali.

Apapun, Kolandan dan Ponama bersyukur kerana mereka tetap hidup bahagia walaupun mereka hidup sederhana.

Apa yang kita boleh belajar daripada pasangan ini ialah seseorang masih boleh hidup bahagia selagi berpuas hati dengan apa yang ada. BERNAMA

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock