TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, February 4, 2013

Nostalgia Jalan Raya @ Felda Kumai

Jalan raya di Felda Kumai kini cukup cantik. Cukup selesa dengan lapisan tar yang memberikan perjalanan dan pemanduan yang cukup lancar baik menunggang motorsikal ataupun kereta.

Setiap jalan samada jalan utama ataupun jalan mati telah diturap dengan kemasan tar sepenuhnya sejak 1989. Namun ceritanya tidaklah seindah sekarang jika saya mengundurkan sedikit suasana sebelum jalan raya ini diturap.
jalan di Felda Kumai kini..
Antara jalan di Felda Kumai minggu lepas...
Saya pasti, bagi generasi yang lebih tua dari saya mampu untuk menceritakan lebih lanjut mengenainya. Namun untuk berkongsi sedikit catatan dari pengalaman saya yang masih saya ingat, saya akan cuba mengambarkan suasana secara ringkas.

Laluan utama dari Simpang Kerayong ke Felda Kumai hanyalah 29 km dan kini sekadar 30 minit untuk sampai di persimpangan tersebut. Namun pada tahun 1979 an sehingga 1983, laluan tersebut tak ubah seperti laluan balak yang sekadar bertanah merah dan batu kasar. (betulkan fakta saya ini..)

Warnanya tidak mungkin berwarna biru dan hijau sebaliknya merah menyala kerana batuan laterit digunakan. Ketika panas, debunya berterbangan setiap kali dilalui dan ketika hujan becak dan lumpur menjadi tetamu. Mujurnya, jumlah kenderaan ketika itu tidaklah banyak seperti sekarang ini. Kemudian jalan raya ini diturap dengan tar.

Berbalik ke Felda Kumai, jalan raya yang menanti ayah dan ibu ketika melapor diri adalah jalan raya berbatu laterit. Sama keadaanya ketika panas dan hujan. Lebih teruk di musim hujan, terdapat sesebahagian jalan yang rosak teruk dan menjadi lubang perangkap kepada kenderaan.
Koleksi Karbonkopie,blogspot.com. Katanya jalan masuk ke Lepar Utara
Koleksi karbonkopie.blogspot.com ..katanya jalan masuk ke Lepar Utara 1
Kalau tak silap saya, laluan bertar adalah dari jalan masuk sehinggalah ke persimpangan masuk blok satu yang memanjang sedikit sehingga ke pembentung pertama sebelum tiba di persimpangan blok 10 atau kedai minyak Radhi.

Yang menjadi mangsa selalunya adalah kenderaan lori atau van yang menghantar barang ke kedai. Contohnya saya masih ingat bagaimana lori dan van barang selalunya akan terbenam dan sangkut di laluan di hadapan rumah Pak Su Jaafar di blok 13 selepas menghantar barang ke kedai Pak Ku. Selalunya kami akan beramai-ramai menolak lori tersebut dari terperangkap. Kadangkala terpaksa memanggil lori koperasi untuk menariknya keluar.

Pada tahun 1989 dan tahun 1990, jalan raya di Kumai mula dinaiktaraf. Bukan diturap dengan tar seperti sekarang tetapi dengan lapisan 'crusher run' yang kemudiannya disembur lapisan minyak tar untuk melekatkan batu crusher run tersebut. Permukaan jalan tidak rata tetapi mengerutu malah kesannya kepada tayar basikal dan motor yang cepat dan mudah pancit.

Saya dan rakan-rakan di blok 13 amat berbangga kerana laluan dihadapan rumah kami adalah laluan pertama yang dinaiktaraf di Felda Kumai ketika itu malah ketika ke sekolah, kami galak menceritakan kebanggaan kami. Tidak semua jalan dinaik taraf sebegini kalau tak silap saya kerana masih ada jalan di blok-blok tertentu yang tidak berturap lagi.
koleksi karbonkopie.blogpsot.com .. Rumah Guru di Lepar Utara ..
koleksi karbonkopie.blogpsot.com .. Rumah di  Lepar Utara ..
Pada tahun sekitar 1993 atau 1994, saya mendapati jalan di Felda Kumai telah mula diturap dengan tar sepenuhnya. Saya tidak pasti bila tahun yang tepat kerana ketika itu berada di asrama. 

Namun saya masih ingat jalan masuk utama ke Pejabat Felda sehingga ke kawasan perumahan kakitangan adalah yang pertama diturap dengan tar. Kemudian diikuti dengan jalan-jalan di blok yang tidak berturap lagi. Hanya selepas itu, jalan-jalan yang telah diturap crusher run dinaik taraf dnegan turapan tar.

Semua ini merupakan transisi yang cuba kami kongsikan di Felda Kumai buat generasi muda yang mungkin tidak menyedari perubahan yang ada di Kumai...

(juga boleh dibaca di feldakumai.com )

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock