Apa kata anda klik info ini.. saya tak marah ...

Gambar terkini di Facebook mrkumai.blogspot.com

TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, November 30, 2012

Peristiwa: Cameron Bike Week 2012

Catatan ini sekadar berkongsikan program 'Cameron Bike Week' yang dilangsungkan baru-baru ini di Tanah Rata. 


Sepanjang saya menetap di Cameron Highlands, konvoi bermotorsikal samada sekecil-kecil kapcai, skuter, antik sehinggalah ke motorbike yang besar seringkali kelihatan mengunjungi Cameron Highlands di hujung minggu. 

 

Malah mereka seringkali membuat perjalanan pergi dan balik pada hari yang sama kerana jarak pemanduan dari Kuala Lumpur ataupun kawasan sekitarnya yang ideal untuk berbuat demikian. 



Mengambil inisiatif dan senario aktiviti ini, beberapa orang penduduk Cameron Highlands telah mengambil  langkah ke depan dengan menganjurkan aktiviti mengumpulkan pemilik-pemilik ini dari seluruh negara. 

Mereka berusaha mendapatkan sokongan Kerajaan Negeri Pahang dan juga sokongan tempatan untuk menjayakan program ini. 

Bertemakan 'Ride to the Top" program tiga hari dua malam ini benar-benar menguji kecekalan mereka untuk mengumpulkan seramai mungkin pemilik hobi yang unik dan mahal ini.


Hasilnya, usaha tersebut mendapat sambutan di mana dianggarkan lebih 500 buah motorsikal berkuasa tinggi hadir di Cameron Highlands pada cara ini dari seluruh negara dengan bayaran RM 100 seorang untuk pelbagai aktiviti. 




Lebih manis lagi bilamana Menteri Besar Pahang sendiri merasmikan serta beramah mesra dengan peserta-peserta ini. Malah YB Menteri Besar sempat membeli sama barangan pemanduan motorsikal seperti kasut boot yang berharga RM 200 sepasang. 

Dalam ucapannya terlebih dahulu mengalu-alukan peminat motorsikal besar ini untuk menjadikan Negeri Pahang ini sebagai destinasi pemanduan yang menarik dan lebih diutamakan adalah keselamatan dan contoh kepada penunggang motorsikal yang lain.'


Yang berhormat Menteri Besar juga mengingatkan supaya dalam beriadah dan berseronok menunggang motorsikal besar ini, ibadat juga dilaksanakan kerana pengisian sebegini lebih membawa aktiviti yang bermakna kepada semua bukannya sekadar menunggang semata-mata.   

Pada pemerhatian saya, acara ini berlangsung dengan begitu ringkas tetapi berjaya mencapai matlamatnya. Malah dianggarkan lebih dari 500 buah pemlik motorsikal sebenarnya telah hadir dalam tempoh tiga hari ini. 



Mereka mendaftarkan diri dan dibawa ke beberapa lokasi yang menarik untuk bersantai dan ini menyebabkan ruang meletak motorsikal seperti tidak penuh sepanjang masa. 

Apapun tahniah kepada penganjur program ni... Saya bukannya peminat motor besar atau memiliki hobi ini tetapi sekadar membawa anak-anak berjalan di hujung minggu...  

Tips Melawat Cameron Highlands: Sri Juliana Chalet

Catatan berikutnya adalah mengenai Sri Juliana Chalet yang terletak di Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang. Chalet ini sebenarnya sudah lama saya lihat dan teringin sebenarnya untuk singgah setiap kali saya melalui jalan ini ataupun ke Pekan Brinchang.


Namun niat tersebut tidak kesampaian kerana tidak mempunyai urusan yang berkaitan di sini. Maka saya tidak membuat catatan mengenainya biarpun ada yang bertanya pendapat untuk menginap.

Sudah menjadi ketetapan kepada saya hanya menulis dengan pengalaman sendiri samada berkunjung atau menginap di sesuatu tempat sebelum saya kongsikan di sini.

Cuma untuk chalet ini saya berkesempatan singgah sebentar sambil meninjau kemudahan yang disediakan semalam selepas hampir 6 tahun sejak hari pertama saya sekadar melihat dari luar. 

Jom kita lihat apa yang ada di sini. 

Saya bertemu dengan Shah, penjaga kaunter di chalet ini sambil bersembang-sembang kemudahan yang disediakan. Katanya terdapat 5 jenis penginapan yang ditawarkan. 


Pertama Standard Room yang boleh mengisi 2 orang dewasa tanpa katil tambahan. Harganya sekitar RM 100-160 mengikut musim seperti off season, Low Season dan Peak Season. 

Keduanya Deluxe Room yang boleh mengisi 3 orang dewasa dengan dibenarkan untuk menambah 1 katil tambahan bermula dari harga RM 120.00 hingga RM 200.00 semalam. 


Ketiganya Quad Room untuk keluarga yang bileh mengisi 4 orang dewasa dengan boleh menambah 1 katil tambahan bermula dengan harga RM 260.00- RM 360 semalam.

Juga terdapat Family Suite Room yang boleh mengisi 7 orang dewasa beserta 1 katil tambahan. Harga yang ditawarkan bermula RM280- RM 380.

Setiap katil tambahan berharga RM 35. Anda boleh meminta bilik bersambung jika datang berkeluarga.

Pakej ini ditawarkan tanpa sarapan pagi namun tidak menjadi masalah kerana kedai makan di bandar Brinchang berdekatan sahaja. 

Bagi rombongan sekolah, pakej istimewa berasaskan perkongsian bilik berharga RM 28 seorang beserta sarapan pagi.



Itu pakej yang ditawarkan. Saya sempat diberi peluang untuk meninjau kemudahan yang contoh bilik Deluxe Room yang bagi saya cukup selesa. 

Susun atur chalet ini adalah amat menarik kerana diambil ilham dari susun atur rumah panjang yang terdapat Bornea di mana kaki limanya adalah bersambung di setiap anjung  bilik.


Ruang kaki lima di jadikan tempat bersantai dengan kemudahan kerusi dan meja untuk berehat dan menjamu selera. 

Kemudahan di blok bersebelahannya dengan laman yang luas untuk aktiviti BBQ ataupun sukaneka kecil yang ringkas. Anda juga boleh menempah perkhidmatan katering dan BBQ dari mereka jika inginkan aktiviti yang sedemikian.


Menariknya di sini adalah pemandangan di hadapannya yang jelas memperlihatkan bandar Brinchang dan lebih istimewanya dibahagian bawah adalah kebun sayur yang bertingkat- tingkat yang amat menarik untuk dilihat dan jika kena pada musim pengeluaran tentunya lebih menarik. 




Ruang letak keretanya luas dan selesa untuk membawa ahli keluarga usia emas dan kanak-kanak.

Selain itu juga Sri Juliana Chalet mempunyai unit Villa yang terletak di bahagian bawah yang baru dibuka untuk sewaan keluarga. Memang cantik dan menarik villa ini. Namun saya tidak berkesempatan untuk memasukinya. Cuma difahamkan harganya bermula RM 550 hingga RM 750 . Klik SINI.

Yang paling utama, Sri Juliana Chalet ini dimiliki dan diuruskan oleh pengusaha bumiputera.
Untuk lebih lanjut, apaka kata anda klik untuk laman web mereka di SINI atau boleh menghubungi mereka di talian 054914461, talian FAX 054911461 dan bagi yang ingin memasukkan alamat ke dalam unit GPS anda boleh menggunakan alamat Sri Juliana Chalet, Jalan Sultan Abu Bakar, 39100 Brinchang , Cameron Highlands. 

Lokasi di pinggir bandar Brinchang yang mempunyai pemandangan yang menarik... Kalau anda sudah mempunyai pengalaman di sini, apakata anda kongsikan pengalaman anda mengenainya di ruangan ulasan. 

Tips Melawat Cameron Highlands: Misteri Jim Thompson

Kisah yang saya ingin kongsikan ini amat popular dan masih menjadi misteri bagi ramai pihak bukan sahaja di Malaysia tetapi melangkau ke Thailand dan Amerika malah sudah berdekad dekad lamanya masih gagal ditemui penyelesaiannya. 

salah banglo ni.. patutnya MOONLIGHT ..bukan SUNLIGHT... tak perasan...
Kisahnya adalah misteri kehilangan seorang saudagar suterea yang jutawan dan terkenal di Asia iaitu Jim Thompson. Sedikit berkenaan Jim Thompson, beliau adalah rakyat Amerika Syarikat yang dikatankan mempunyai pelbagai latar belakang yang tersirat. 


Zahirnya beliau merupakan saudagar atau pedagang kain sutera yang terkenal di Thailand. Nama penuhnya James Harrison WilsomThompson yang dilahirkan di Greenville, Delaware, Amerika Syraikat pada 21 Mac 1906.
asalnya gambar Jim Thompson saya letakkan di sini namun mendapat email yang meminta saya membuang
gambar tersebut kerana status "copyright",   maka saya akur.
Namun saya tidak dapat mengantikan dengan gambar yang lain.
Untuk mengelakkan ruangan ini kosong, saya kira gambar ini sekadar suka-suka diletakan.
Jika anda ingin melihat gambar Jim Thompson sendiri klik link yang diberikan oleh pihak yang
tidak saya kenali di SINI .
Ingat gambar di atas bukan Jim Thompson atau ada kaitan dengannya.

 
Beliau dikatakan seorang perisik kententeraan Amerika Syarikat ketika perang dunia di Perancis dan dikatakan kehilangan kali 'kedua' ini merupakan teori penyamaran beliau. 

Pada tarikh 26 Mac 1967, Jim dikatakan hilang dan tidak pulang ke banglo rakannya yang merupakan seorang warga Singapura setelah berjalan-jalan di kawasan sekitar. Tujuan mereka ke Cameron Highlands adalah untuk meraikan majlis perkahwinan anak rakan mereka di sini  di samping berehat.

Ketika ini, Jim merupakan saudagar tekstil dan sutera yang berjaya membangunkan dan mempopularkan semula industri ini di Thailand  dengan menubuhkan  Thai Silk Company pada tahun 1947 dan masih sehingga kini mendapat sanjungan diatas usahanya itu. 

Usahanya bukan sahaja membantu memperkenalkan semula seni sutera Thai tetapi sebenarnya atelah memberi impak yang amat besar kepada industri ini yang berjaya membangunkan semula senitangan ini dan juga membantu mengeluarkan beribu-ribu penenun tradisional ini dari kancah kemiskinan.

Di Thailand terdapat Muzium Tekstil dan Sutera yang dinamakan di atas namanya sebagai penghargaan kepadanya dan digelar sebagai Raja Sutera.

Kehilangannya masih menjadi misteri, Kehilangannya mencipta sejarah di Malaysia dalam operasi pencarian yang terbesar dikerahkan oleh kerajaan ketika itu. 

Namun sehingga kini masih tiada tanpa positif berbanding teori-teori kehilangan yang diutarakan tanpa alasan yang konkrit. 

Banglo Moonlight
Banglo MoonLight menjadi sejarah kepada kehilangannya. Banglo ini masih wujud dan masih dimiliki oleh pemilik yang sama kalau tidak silap saya.  Dari Jalan Sultan Abu Bakar, anda boleh menuju ke banglo Sunglight yang terletak bersebelahannya.

Banglo Sunglight 
Malangnya kedua-dua kawasan ini tidak membenarkan dan menerima pelawat. Jika nasib tidak baik, anda boleh dimarahi oleh penjaga banglo ini kerana ianya merupakan kawasan persendirian. 

Malah laluan menuju ke sini hanya untuk ke dua banglo ini sahaja tanpa boleh menembusi mana-mana laluan lain. Suasananya agak sedikit kelam dan menimbulkan sedikit misteri apatah lagi dilalui ketika waktu malam ataupun ketika berkabus. 

laluan ke banglo Moonlight 

Untuk mengetahui kisahnya, terdapat satu sudut di Galeri Time Tunnel di Brinchang yang mengkhususkan kisahnya dan jika anda ingin membeli bukunya, boleh mengunjungi Strawberry Park Resort.

Tips Melawat Cameron Highlands: Jalan Sultan Abu Bakar





Catatan seterusnya mengenai Cameron Highlands saya panjangkan pula ke laluan yang mungkin jarang dilalui oleh pengunjung ke sini kecuali mereka yang menginap di Strawberry Park Resort dan Sri Juliana Chalet ataupun yang menginap di banglo persendirian dan syarikat seperti HSBC. 


Jalan yang saya maksudkan adalah Jalan Sultan Abu Bakar yang bermula dari persimpangan di hadapan padang golf sehingga ke Persimpangan Komplek Bilik Sejuk FAMA sejauh 3 km. 


Apakah keistimewaan di laluan ini? Sebenarnya laluan ini menghubungkan anda ke resort yang saya maksudkan di atas serta ke banglo-banglo persendirian dan yang paling istimewa adalah Istana KDYM Sultan Pahang. 

Mungkin kerana laluan ini menghubungkan kawasan istana, maka kualiti laluan ini amat dijaga rapi dan sementelahan lagi daerah ini merupakan daerah yang amat digemari Tuanku Sultan untuk datang setiap tahun malah kadangkala beberapa kali setahun. 


Selain itu juga terdapat beberapa persingahan yang boleh anda lakukan di sini seperti di Kasimanis Strawberry Park dan juga Strawberry Park Resort. 

Namun yang masih menjadi misteri utama di laluan ini adalah Moonlight Bangalow yang mana kisah kehilangan misteri Jutawan Sutera Amerika, Jim Thompson yang berlaku pada tahun 26 March 1967  yang mana sehingga kini masih lagi gagal ditemui. 

Saya akan membuat catatan mengenai sejarahnya dan sedikit gambar yang saya rakamkan ke banglo yang dimaksudkan semalam. 

Berbalik kepada laluan ini, jika anda berbasikal dan ingin berkayuh dalam suasana yang tenang tanpa kesesakan lalulintas dan melihat pemandangan yang menghijau, saya mencadangkan anda melalui laluan ini dengan sedikit pendakian. 




Di bahagian utaranya pula terdapat deretan bengkel-bengkel kereta dan pertukangan yang merupakan nadi aktiviti membaiki kenderaan di sini. 

Monday, November 26, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Kedai Gambar dan Kamera


Catatan yang baru sahaja saya kongsikan sebelum ini berkenaan aktiviti mengambil gambar di Cameron Highlands dan saya memahami kadangkala ada yang terlupa dan alpa membawa perkakasan kamera anda terutamanya pengecas bateri.


Maka terpaksalah anda membeli pengecas bateri yang baru di sini untuk membolehkan anda merakamkan gambar ketika melancong di sini. 

Mungkin ada yang akan tercari-cari di mana kedai kamera yang boleh anda kunjungi untuk keperluan terdesak ini.

Kalau ada berada di Brinchang, hanya terdapat sebuah kedai menjual peralatan dan mencuci gambar iaitu Kedai Foto Tridi yang terletak berdekatan dengan Pasaraya Jimat.

Manakala kalau anda berada di Tanah Rata terdapat 3 buah kedai yang berkaitan dengan kamera ini iaitu yang pertama Carina Photo yang terletak bersebelahan dengan Agro Bank di Persiaran Camilia 3 yang membawa jenama Kedai Kodak. 

Jika anda tidak kisah dengan jenama, Jenama Fuji ataupun sebenarnya terdapat banyak pilihan yang lain juga boleh anda perolehi dengan mengunjungi Kedai Foto Tridi yang terletak bersebelahan dengan Bank Simpanan Nasional (BSN). 

Manakala terdapat sebuah lagi kedai gambar di Tanah Rata iaitu bersebelahan dengan Hong Kong Shanghai Bank atau HSBC tetapi saya sudah terlupa nama kedainya. Kalau tak silap saya berjenamakan Konica. Tetapi kedai ini cukup mengelirukan ramai orang kerana kedai ini bukan semata kedai gambar tetapi juga kedai pakaian, kasut dan juga peralatan lain. Dahulu asalnya kedai gambar tetapi kini di pelbagaikan.

Cuma untuk mendapatkan peralatan gantian yang mungkin diperlukan jenama kamera anda belum pasti terdapat di sini. Apapun tidak salah untuk bertanya, mana tahu ada rezeki anda...

Kalau tidak beli sahaja kamera yang baharu... asalkan dapat merakamkan gambar di sini...

Monday, November 19, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Peralatan Kamera yang sesuai

Ada seroang kawan yang sama 'kaki' dengan saya telepon semalam mengenai rancangan dia bercuti di sini hujung bulan ini. Di samping mintakan saya menempah apartment percutian, kami sembang-sembang mengenai Cameron Highlands ketika ini. 

Antara komen ringkas saya .. 'sesak teruk di hujung minggu'.

Dia kata dia sanggup sebab di KL pun sesak setiap hari. Topik lain yang menjadi perbualan kami mengenai yang menyebabkan kami 'sekaki' .. iaitu hobi mengambil gambar.. maklumlah kawan saya itu baru sahaja membeli D600.. itu yang sebenarnya tujuan dia ke sini.. nak cuba kamera baru. 

Pertanyaan mengenai cuaca menjadi topik seterusnya. Apakah hujan di sini dan bilamana saya nyatakan sudahpun musim hujan dia mengeluh. Maklumlah .."bini muda barunya" .. mana boleh kena hujan...

Dan seterusnya kami bersembang antara selitan lokasi yang boleh kami masukkan untuk melampiaskan "nafsu hobi" kami hujung bulan ini sekitar 15 minit.

Saya terfikir. Ada baiknya saya turut berkongsikan tips untuk mereka yang kaki fotografi.. cuma saya amatur dan jika pandangan saya ini boleh diikuti, baguslah..kalau salah tu..maafkanlah... kan senang aje syaratnya.. 

Pertama : Kamera dan peralatan yang sesuai ... 

Semua kamera adalah amat sesuai di sini. Baik yang ringkas ataupun yang lebih hebat boleh dibawa. Bagi pengemar DSLR pastinya sudah tersiap senarai keperluan peralatan yang akan dibawa.

Juga jangan lupa membawa peralatan dan akeseori yang diperlukan seperti tripod, pengecas bateri dan sebagainya. 

Untuk membeli pengecas bateri yang diperlukan oleh kamera anda agak terhad di sini dan sukar untuk menepati keperluan sebenar. 

Dicadangkan membuat senarai semak peralatan anda. Soal keselamatan kamera anda pula saya tidak berani menjanjikan apa-apa. 

Mungkin ada yang bertanya jika ditinggalkan di bilik hotel atau dalam kereta adakah ianya selamat. Namun pengalaman saya sendiri, suasana keselamatan di sini agak selesa berbanding di bawah sana namun bukannya satu yang dijamin sepenuhnya. 

Sebaiknya, anda sentiasa memastikan peralatan kamera anda dalam keadaan yang selamat dan terjamin. Cuma diingatkan... "Malang tidak berbau"... sediakan payung sebelum hujan.

Kedua: Genre fotografi.
Sudah datang ke Cameron Highlands, pastinya genre fotografi lanskap menjadi keutamaan kerana pemandangan ladang teh, straweberry dan juga suasana berkabus mendekatkan anda kepada genre ini. 

Namun masih ada peluang untuk mereka yang gemarkan macro dan fotografi jalanan malah mungkin juga boleh melihat burung-burung yang terdapat di pergunungan ini. Saya pernah melihat dan menyertai sekumpulan peminat burung yang merakamkan gambar burung-burung di jalan sekitar menuju Gunung Brinchang. 

Yang susah nak cari adalah mereka yang gemarkan water scene kerana tiada lokasi yang menarik untuk dirakamkan sebagai ikon seperti tasik, air terjun ataupun sungai kecil yang cantik. 

Ketiga: Lokasi menarik.
Pastinya ladang teh perlu dalam senarai lokasi anda. Pemandangan yang menhijau dan lanskap tea yang merenek rendah sukar dilepaskan.

Bangun di awal pagi untuk melihat dan merakamkan gambar pemandangan matahari terbit di Sungei Palas perlu dimasukkan walaupun bukan sesuatu yang pasti anda akan dapat melihat matahari terbit itu kelak. 

Suasana kabus dan hujan di awal pagi boleh membantutkan niat anda tetapi masih berbaloi dengan mendekati pula kumpulan pemetik daun teh yang seawal pagi telah memulakan kerja memetik daun teh.

Kemudian anda boleh pula bergerak naik ke Mossey Forest untuk merakamkan keunikan hutan dan pokok berlumut di puncak gunung setinggi 2000 meter dari aras laut sebelum memanjat menara tinjau di puncak Gunung Brinchang untuk melihat lanskap besar Cameron Highlands. Catatan mengenai lokasi-lokasi ini telah saya muatnaikkan. taip kata kunci carian anda.

Ladang atau kebun strawberry dan bunga-bungaan harus juga dimasukkan dalam senarai lokasi anda. Juga jangan lupa untuk singgah di ladang sayur-sayuran yang boleh anda kunjungi.

Lengkapkan kunjungan anda dengan rakaman candid di pasar sayur-sayuran seperti di Kea Farm.

Sudah datang ke Cameron Highlands, pastikan anda merakamkan juga pemandangan yang berlatarkan bangunan-bangunan yang bercirikan tudor dan Enggeris. Jika suasana berkabus pasti merupakan bonus tambahan kelak.

Cuaca dan persediaannya:
Cuaca di Cameron Highlands tidak menentu. Ada masanya panas terik dan selalunya hujan baik pagi, petang ataupun malam. Kalau tak hujan sekalipun, suasana kabus dan gerimis boleh muncul secara tiba-tiba. 

Sebaiknya untuk mereka yang sudah mempunyai hobi ini, pastinya keselamatan peralatan kamera diutamakan. Bak kata orang.. "bini kena hujan tak ape, tapi jangan kamera".

Persediaan seperti bag kamera kalis hujan, payung besar, poncho dan juga beberapa lagi kelengkapan utama yang lain untuk situasi ini perlu sentiasa ada. Jangan pula disangka ketika di hotel cuaca amat cerah maka, ditinggalkan payung dibilik hotel kerana kadang-kala mengikut pengalaman saya di sini , hujan boleh turun secara tiba-tiba.

Mencari dan menunggu matahari terbit selalunya tidak menjanjikan pasti akan dapat melihatnya. Kadang-kala kabus tebal atau hujan menyebabkan matahari kelihatan tiada di lokasi yang sering dilihat. 

Sebaik-baiknya jika menghabiskan masa di sini untuk tiga hari, perlu memulakan dari hari pertama lagi. Kalau tiada peluang matahari terbit hari pertama, mungkin hari kedua atau ketiga akan muncul dengan sempurna. Kalau sekadar menterjah hari ketiga sahaja, dan malangnya cuaca tidak menentu, tentunya hampa berpanjangan pula nanti.

Apa-apapun, bergantung kepada nasib anda untuk mencari gambar yang menarik dan sebenarnya di mana-mana sahaja boleh menjadi subjek yang menarik dengan hasil 'setting' dan juga 'art of seeing' tersendiri yang lebih utama.

Selamat 'menembak-nembak'... 

Felda Kumai... kebanggaan kami...

 Felda Kumai jika anda telah membaca catatan awalnya menghimpunkan 1 MELAYU se MALAYSIA. Cuma yang tiada asal peneroka dan penerokawatinya mungkin dari Sabah dan Sarawak. Namun bagi negeri yang berada di Semenanjung, saya pasti mempunyai wakil anak negeri masing-masing ke bumi permai ini.
 
Himpunan anak-anak negeri dalam satu kawasan tanah rancangan sebegini membawa kepada pelbagai adat dan resam yang tersendiri dan juga amalannya. Antaranya, seni silat yang pelbagai telah diamalkan serta diajar.
 
Saya masih ingat dahulu ada Seni Silat Gayong, Seni Silat Pulut, Seni Silat ... (saya terlupa, insyallah saya masukkan jika sudah teringat) malahan seni Tomoi juga diajar dan membuka gelangganya di sini.
 
Antara yang amat aktif dan menjadi kebanggaan warga felda ini adalah Seni Silat Gayong yang dari zaman saya masih kecil lagi sudah terbangun gelanggangnya dan aktif mendidik pelajarnya bersilat.
 
Namun tanpa warga Felda Kumai sedari, salah seorang pengasasnya merupakan Mahaguru Silat Gayong yang amat disegani dan tersohor di negeri Pahang.
 
Kisah yang saya ingin kongsikan adalah mengenai Pak Long Zali... saya petik dari laman blog anak-anak silat gayong ini sendiri...
 

Cikgu Ghazali bin Mat Tahir (Paklong Zali) 


Paklong Zali merupakan seorang peneroka di Felda Kumai, Bera yang mana telah berpindah ke sana pada 11.08.1986.(saya rasa tarikh atau tahun ini salah, 1986 saya dan anak Pak Zali, Khairul Nizam dah masuk tadika dan bersekolah sama-sama dah).
 
Pada saat tersebut dan ikhlas perjuangan Gayong, beliau menubuhkan gelanggang silat seni Gayong di Felda Kumai. (Gelanggangnya bersebelahan rumah Bilal Osman).
Kini bukan sahaja di Felda Kumai tetapi selain daripada Daerah Bera, beliau telah menubuhkan gelanggang di sekitar Temerloh, Kuantan, Muadzam dan beberapa kawasan di Pahang dengan bantuan guru-guru latih PSSPGM luar dan anak-anak murid beliau.
 
Kesungguhan perjuangan dan kepimpinan beliau cukup disegani di Pahang dan terpilih menjawat jawatan Pengerusi PESAKA di sana.

 
Selain daripada seorang individu yang pernahh mendapat asuhan daripada tangan ADMAR di gelanggang Gurun serta asuhan Pakandak Majid Mat Isa, beliau dikatakan mempunyai susur galur persaudaraan dengan beberapa tokoh Gayong yang lain. Ini memberikan beliau beberapa kelebihan dalam menuntut ilmu ditambahkan lagi dengan kesungguhan beliau.
 
Pada amatan peribadi saya (Cikgu Shams) beliau seorang yang terdidik dengan amalan kerohanian dan diasuh oleh beberapa tokoh yang dikatakan mahir dan pakar amalan kebatinan dan kerohanian Gayong. Daripada perbualan dan cerita-cerita perjuangan beliau dalam Gayong dan beberapa cerita tambahan daripada pihak lain, boleh dikatakan pengamatan tersebut benar. Maka rugi sekiranya guru lama sebegini tidak dilawati dan dikenali dengan lebih dekat.
 
Namun yang pastinya, Paklong merupakan orang yang mudah mesra dan diajak berbual. Malah orangnya amat-amat tidak kedekut pengalaman dan ilmu.
 
 
Pihak kami amat berharap semangat Gayong ini dapat diserapkan kepada pejuang Gayong muda di negeri Pahang serta sikap merendah diri dan islamik beliau dapat dijadikan contoh kepada Anak Gayong Pahang.

Saturday, November 17, 2012

Info Tani: Tanaman Herba Garuda

Kita mungkin mengetahui nama Garuda adalah sejenis burung yang menjadi lambang negara Indonesia. Namun dari sudut pertanian, garuda juga merupakan tanaman herba yang mendatangkan manfaat dan khasiat kepada kesihatan namun awas kerana ianya boleh memudaratkan jika diambil secara berlebihan.


Pokok Garuda ataupun pokok inggu ialah sejenis tumbuhan yang berasal dari negara Eropah namun mampu hidup dengan persekitaran tropika. Terdapat 8-10 jenis pokok ini yang dikesan disekitar beberapa negara menjadikan pokok yang dari keluarga Rutaceae ini mampu hidup di persekitaran yang berbeza.


Pokok ini mempunyai aroma yang kuat mampu mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter. Ianya mempunyai batang berkayu yang kecil dan mempunyai cabang yang banyak. Daunnya berwarna hijau muda dan bunganya akan muncul di ranting yang mempunyai warna hijau muda.

Buahnya kecil berwarna coklat dan berbentuk lonkjong yang mempunyai biji benih yang berbentuk buah pinggang. Ia mampu membiak melalui dua cara samada keratan batang ataupun biji benih.


Kegunaanya boleh dijadikan pokok penghalau serangga perosak dan boleh diolah menjadi racun serangga semulajadi.

Untuk faedah kesihatan, pokok garuda digunakan untuk mengubat penyakit gilababi (epilepsi), hernia, histeria, radang pembuluh darah dan athritis. Ia juga mampu menurunkan kepanasan badan bagi mereka yang mengalami deman panas yang tinggi.


Penggunaan dengan dos yang terkawal boleh meransang otot uterus dan mengalalkkan pengeluaran haid dan boleh digunakan untuk menjarakkan kehamilan. Namun awas kerana pengunaan tanpa kawalan dos yang sesuai boleh mengakibatkan keguguran kandungan bagi wanita hamil.

Juga amat merbahaya untuk mereka yang memakan terus pokok ini kerana risiko pendarahan dalaman sehinggakan boleh membawa maut. (Sumber olahan dari Melur.com).


Di Stesen MARDI, anda boleh membeli anak pokokk garuda ini dengan harga sekitar RM 7 sepasu untuk dibawa pulang dan ditanam di rumah anda. 

Info Tani: Tanaman Herba Lemon Verbena

Aloysia citrodora adalah sejenis spesis tumbuhan berbungan dalam keluarga verbenaceae dan berasal dari barat laut Argentina dan Selatan Bolivia. Juga dikenali dengan nama lemon verbena atau limau beebrush.


Lemon Verbena adalah tanaman herba renek yang berkembang pada 2-3 meter tinggi. Daunnya sekitar 8 cm dengan panjang dan tajam di hujungnya dan sedikit kasar. Apabila menyentuh daun ini, anda akan dapat merasa baunya seperti bau kulit limau. 


Di dalam masakan, daunnya digunakan untuk menambah perisa lemon untuk hidangan ikan dan ayam serta boleh diadunkan dengan sayur salad. 

Perisanya boleh ditambah di dalam kuah sos salad, jem, puding, yogurt dan minuman. Juga digunakan untuk membuat teh herba serta teh biasa untuk mendapatkan perisa lemon. 

Ianya mampu meredakan sakit kepala biasa dan migran disamping menjadi losyen penyembuhan untuk kulit yang sensitif. 


Di Stesen MARDI, anda boleh membeli anak pokok ini yang dijual sekitar RM 7 sepasu dan tanaman herba ini boleh di tanam di bawah dengan penjagaan yang minima. 

Info Tani: Tanaman Herba Oregano

Pokok Oregano (Origanum vulgare) adalah sejenis pokok yang tumbuh di Eropah, kawasan Mediterranean dan selatan serta tengah Asia. Kebanyakkan yang mudah tumbuh di Malaysia ialah jenis Cuban Oregano.


Oregano dikatakan berasal dari kawasan sederhana panas di barat daya Eurasia dan rantau Mediterranean yang merupakan tanaman herba. Mempunyai ketinggian sekiat 20-80 cm dengan daun bersaiz kecil dan panjang sekitar 1 -4 cm.


Di dalam masakan, Oregano merupakan herba penting dibahagian daun yang boleh menjadi perisa apabila dikeringkan. Ia mempunyai rasa aromatik ,panas dan sedikit pahit dan boleh berubah-ubah rasanya mengikut jumlahnya. 


Oregano yang baik kualiti boleh mengkebaskan lidah maka tidak hairanlah jika ianya juga digunakan dalam perubatan tradisional seperti menjadikannya antiseptik, penawar sakit perut dan penyakit penafasan. Juga dikatakan mampu merawat sakit tekak. 


Anda boleh membeli anak pokok oregano ini di Stesen Mardi dan boleh ditanam di dalam pasuan sahaja tanpa perlu memindahkan ke tanag. Pembiakannya amat mudah dengan memisahkan anak pokok yang baru tumbuh diperdunya dan memerlukan air yang banyak tanpa cahaya matahari yang terus ke atasnya. 

Oregano juga terdapat dijual di pasaraya besar dan juga serbuk oregano juga berada di pasaran. 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

10 CATATAN TERKINI:

KOLEKSI CATATAN: