TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Thursday, September 20, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Empangan Ulu Jelai

Mungkin ada yang agak pelik kenapa saya memasukan kisah pembinaan ini sebagai salah satu tips ke Cameron Highlands kerana tiada apa-apa yang istimewa. 

Ini mungkin tidak nampak keistimewaan bagi ramai orang namun bagi segelintir yang meminati fotografi mungkin projek ini boleh dijadikan sebagai satu projek hobi jangka panjang iaitu mengambil gambar sebelum, semasa dan selepas sesuatu disiapkan sebagai transisi masa yang boleh dikoleksikan bagi 10 tahun mendatang. 


Projek Empangan Ulu Jelai dikatakan dirancang seawal penghujung 70 an sebagai antara blueprint Lembaga Lektrik Negara (LLN) untuk jangkamasa panjang pembekalan tenaga elektrik seperti yang sebagaimana Empangan Bakun di Sarawak yang dirancang seawal 1960 an lagi sebelum direalisasikan sepenuhnya pada tahun 2012 ini selepas 30 tahun.

Petikan dari laman web TNB bertarikh 1 Mac 2011 memperincikan projek ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengadakan Majlis Pecah Tanah Projek Hidroelektrik Ulu Jelai, Cameron Highlands, Pahang yang disempurnakan oleh K.D.Y.M.M. Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'azam Shah.

Projek Hidroelektrik Ulu Jelai berjumlah RM2.15 billion berkapasiti 372 MW ini akan digunakan untuk menjana kuasa elektrik bagi memenuhi keperluan elektrik pada waktu puncak. Ia meliputi beberapa komponen utama iaitu pembinaan dua Terowong Pengalihan Air, Empangan Susu, Stesen Janakuasa Bawah Tanah, Terowong Tenaga, Lapangan Suis, Bangunan Kawalan dan Jalan Masuk.
Pembinaan Projek Hidroelektrik Ulu Jelai ini meliputi dua fasa.  Fasa 1 telah pun bermula pada Oktober 2010 yang lalu manakala Fasa 2 dijangka  bermula pada Mac tahun ini.

Tiga perkampungan masyarakat Orang Asli iaitu Kampung Susu, Kampung Giat dan Kampung Pinang dipindahkan ke kawasan penempatan baharu yang lebih teratur dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi pembinaan projek berkenaan.
Ini kerana, katanya pembinaan takungan Empangan Susu dijangka menenggelamkan kawasan seluas 124 hektar iaitu kawasan tiga kampung berkenaan.
Penduduk kampung-kampung yang terlibat akan ditempatkan ke kawasan penempatan baru dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang telah dikenalpasti dan juga telah dipersetujui oleh mereka sendiri dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), kata beliau.

Stesen hidroelektrik ini dijangka mula beroperasi pada bulan Disember 2015. Penakungan air dijangka  bermula pada Oktober 2015 menerusi dua Terowong Pengalihan Air sepanjang 8.4 km dan 7.5 km untuk menyalurkan air mentah secara aliran graviti dari Sungai Telom dan Sungai Lemoi ke kawasan takungan seluas 124 hektar.
Saya akan cuba mengumpulkan beberapa gambar keadaan kawasan lembah ini sekitar 2009 yang pernah saya rakamkan dan sedikit gambar terkini yang saya rakamkan awal bulan yang lalu.

Insyallah kalau umur panjang , mungkin ketika siapnya nanti akan dikongsikan pula gambarnya. Bagi anda yang datang ke Cameron Highlands melalui Jalan Pos Betau yang pernah saya kongsikan melalui catatan DI SINI saya syorkan anda berhenti seketika dan bergambar berlatarkan pembinaan emapangan ini.

Insyallah bila anda datang semula lain kali mungkin dalam tempoh 5 atau 10 tahun dari sekarang suasananya akan berbeza... 

Juga anda boleh dokumentasikan tiga buah kampung Orang Asli yang akan tenggelam dan dipindahkan ke penempatan yang baharu apabila takungan air bermula kelak.  

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock