TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, December 26, 2011

Kaya, berpengaruh sebelum 30 tahun




JUSTIN Bieber terus mencipta fenomenanya yang tersendiri walaupun baru berusia 17 tahun.


MENJADI seorang yang berjaya, kaya dan berpengaruh pada usia muda adalah sesuatu yang menjadi impian hampir semua orang walaupun mungkin episod itu telah lama berlalu.

Sememangnya kekayaan menjadi kayu pengukur utama kebanyakan kita dalam menilai kejayaan seseorang. Dalam erti kata lain harta, kereta yang dipandu, saiz rumah yang diduduki menjadi pengukur status dan kejayaan di mata orang lain.

Sudahlah muda, kaya, menjadi tumpuan dan dikenali ramai. Bukankah itu antara impian yang pernah diangankan kebanyakan kita ketika masih muda remaja.

Namun hakikat hidup yang sebenar meletakkan kita berada pada kehidupan sekarang dan apabila usia semakin lanjut kita sudah semakin mampu menerima kenyataan bahawa hanya beberapa orang yang terpilih sahaja yang diberikan peluang sedemikian.

Memang kalau diikutkan senarai, ramai di antara orang muda yang boleh tersenarai namun kebanyakannya bukan hasil dari titik peluh mereka sendiri tetapi diwarisi.

Prospek

Berdasarkan carta orang muda bawah 30 tahun keluaran terbaru majalah Forbes, lebih ramai orang muda yang dilihat mempunyai prospek untuk lebih berjaya pada masa hadapan.

Pastinya yang paling menarik perhatian ialah pengasas bersama dan pemilik Facebook, Mark Zuckerberg. Beliau juga merupakan bilionair termuda dalam senarai bersama dengan Dustin Moskovitz.

Kedua-dua mereka baru berusia 27 tahun namun jumlah kekayaan Zuckerburg adalah AS$6.9 bilion (RM22 bilion) dan Moskowitz bernilai AS$1.4 bilion (RM4.4 bilion). Kisah mengenai kejayaan Facebook ini merupakan satu mimpi yang menjadi realiti indah kepada empat sekawan ini.

Forbes telah menyenaraikan 12 bidang utama bersama dengan 30 orang muda berusia di bawah 30 tahun dalam setiap bidang.

Bagaimanapun penulis hanya dapat memasukkan beberapa orang yang terbaik dalam setiap bidang.

Tenaga
Bidang-bidang tersebut adalah polisi dan undang-undang, hiburan, muzik, hartanah, media, sains, kewangan, teknologi, sosial, makanan, seni dan rekaan serta tenaga.

Tenaga yang boleh diperbaharui merupakan antara bidang yang paling diteroka sekarang. Maka tidak hairanlah daripada 30 orang yang disenaraikan, Danielle Fong merupakan orang yang paling diperkatakan. Beliau yang berusia 24 tahun merupakan Ketua Pegawai Sains LightSail Energy, sebuah syarikat penjimatan tenaga menggunakan teknologi hijau.

Beliau yang pernah melanjutkan pelajaran doktor falsafah di Universiti Princetown dalam bidang pelakuran nuklear, namun berhenti kerana mahu menubuhkan syarikat itu. Ideanya mengenai penggunaan meluas teknologi boleh diperbaharui seperti angin dan solar dilihat sebagai antara perniagaan utama untuk masa hadapan.

Beberapa orang muda yang tersenarai dalam bidang ini juga mempunyai potensi untuk menjadi antara bilionair terkemuka dunia seperti Vivek Nair, Ketua Pegawai Eksekutif Damascus Fortune, yang membangunkan teknologi menukar karbon yang terhasil dari industri pengilangan kepada karbon nano.

Selain itu beberapa orang di antara mereka masih berusia belasan tahun tetapi telah mencipta nama melalui ciptaan teknologi masa depan. Mereka adalah Johnny Cohen, 16, Javier Fernandez-Han, 17, Param Jaggi, 17 dan Eden Full, 19 yang berjaya mencipta teknologi baru selain menubuhkan syarikat berasaskan teknologi hijau.

Muzik
Bidang muzik sememangnya industri yang sering menjadi perhatian selain memberikan pulangan sangat lumayan. Bagi tahun ini artis seperti Justin Bieber, 17, terus mendapat perhatian ramai bukan sahaja kerana albumnya tetapi kisah sensasi dan kontroversinya. Namun beliau berjaya mengutip pendapatan sebanyak AS$45 juta (RM140 juta) pada tahun ini sahaja.

Begitu juga penyanyi kontroversi, Lady Gaga , 25, yang terus mendapat perhatian kerana cara berpakaian dan pertunjukannya yang dilihat melampau. Namun kekayaannya terus meningkat apabila mencecah AS$90 juta (RM280 juta) melalui jualan album, konsert dan penajaan.

Selain dua nama besar ini artis sensasi lain seperti Bruno Mars, 26, Katy Perry, 27, Rihanna, 23, dan ramai lagi turut meraih pendapat berjuta dolar.

Media baru
Penggunaan media baru dan lama web sosial telah memberi impak yang besar dalam bagaimana manusia berfikir dan berfungsi. Maka dengan itu adalah tidak menghairankan kenapa berduyun-duyun manusia cuba membuka blog sendiri untuk berperanan sebagai pengganti media lama.

Namun bukan semuanya berhasil tetapi bagi mereka yang berjaya keuntungannya sangat lumayan. Ini yang berlaku kepada Pete Cashmore, 26, pengasas laman web berita berkaitan teknologi, Mashable dengan jumlah pelayar melebihi 20 juta orang sebulan.

Dari hanya beroperasi berseorangan di Aberdeen, Scotland, kini beliau mengupah 40 orang pekerja selain masih terus beroperasi tanpa membenarkan mana-mana pihak mengambil alih media miliknya.

Menarik untuk diperkatakan juga adalah pemilik sebuah laman web fesyen, Style Rookie, Tavi Gevinson yang hanya berusia 15 tahun. Beliau telah mula menulis di dalam blog sejak 11 tahun dan pengkritik fesyen pada usia 13 tahun.

Lebih menarik lagi laman web tersebut yang tertumpu mengenai fesyen remaja telah menjadikan Gevinson popular di kalangan pencipta fesyen. Malah beliau boleh berbangga kerana kini bertindak sebagai ketua pengarang laman web tersebut dengan petugas separuh masa berjumlah 49 orang.

Tuah yang sama juga berlaku pada Daniel Fletcher yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Media Sosial di syarikat media berpengaruh, Bloomberg News dan Businessweek.Beliau yang hanya berusia 24 tahun dilihat sebagai 'budak bijak' yang bakal mengepalai dunia media baru satu hari nanti.

Dalam bidang teknologi, Jeff Hammerbacher yang merupakan pengasas syarikat Cloudera dilihat sebagai pemangkin kepada teknologi untuk syarikat menggunakan sebaiknya data-data yang di perolehi.

Seorang lagi yang dilihat berpotensi cerah dalam bidang teknologi adalah Robert Nay. Walaupun baru berusia 15 tahun, namun beliau telah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Nay Game, yang mencipta permainan Bubble Ball, yang telah dimuat turun oleh sembilan juta orang.

Undang-undang
Mereka yang tersenarai dalam bidang ini dilihat mampu pergi jauh atau pelapis politik AS dan dunia.
Anak kepada pelakon dan pengarah terkenal Mia Farrow dan Woody Allen, Ronan Farrow, 24, tersenarai antara mereka yang berjaya sebagai pemain dasar utama AS.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai penasihat khas mengenai belia antarabangsa kepada Setiausaha Negara, Hillary Clinton juga dikenali sebagai pejuang hak asasi serta merupakan lulusan Universiti Yale.

Selain itu Yohannes Abraham, 25, yang berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Politik Kebangsaan AS serta Karin Agness, 27, pengasas pertubuhan Network of Enlightened Women dilihat sebagai antara pemimpin muda yang mempunyai masa depan cerah.

Hiburan hartanah
Senarai Forbes turut membariskan penerbit filem, David Ellison yang juga anak lelaki Ketua Pegawai Eksekutif Oracle, Larry Ellison yang membiaya filem True Grit dan World War Z.

Selain itu penyanyi dan pelakon, Donald Glover, Jonah Hill, Jennifer Lawrence dan Jaden Smith, 13, anak kepada pelakon Will Smith tersenarai sebagai mereka yang berjaya pada usia muda dalam kategori hiburan.

Dalam bidang hartanah, Forbes menyenaraikan Alex Hodara, 24, yang telah menjadi broker hartanah sejak zaman di universiti sebelum berjaya mengembangkan perniagaan yang bernilai ratusan dolar setahun.

Anak kepada bilionair terkemuka dunia, Donald Trump juga semakin bersinar bintangnya dan dilihat sebagai pengganti kepada bapanya satu hari nanti. Eric Trump, 27, kini menjawat jawatan Naib Presiden Kanan di Trump Organization serta telah mengawalselia lebih 70 projek hartanah antaranya Chicago's Trump Hotel & Tower serta perluasan pelbagai padang golf milik bapanya.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock