TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, September 9, 2011

11 September 2001...

Aku masih ingat lagi malam 11 September 2001, ketika itu aku masih dalam tempoh latihan di sebuah pusat latihan di Port Dickson, malam yang membosankan menyebabkan aku mula bergerak ke rumah salah seorang peneyelia yang masih bujang dan seperti biasa, rumahnya adalah rumah aku ... kih kih ..sebabnya si bujang ini tidak akan ada di rumah setiap malam kecuali sudah mahu tidor.

Maka aku menonton TV di NTV7 kalau tak silap aku dan tiba-tiba di kejutkan dengan Berita Tergempar di TV dengan kes serangan ini. Sepanjang dua jam kemudiannya aku terus melekat di depan TV. 

Masa itu, capaian internet masih kurang dan bukan mudah sangat tambahan lagi di kawasan perladangan. Esoknya, aku lah menjadi tukang berita kepada kawan-kawan yang yang terpinga-pinga melihat berita dan mula diperkatakan. 

Kini sedar tak sedar sudah mencapai 10 tahun dan pelbagai versi pula keluar dan dijaja dan menjadi bahan cerita malah dilihat US begitu bijak mengambil kesempatan melangkaui sempadan negara mereka sehinggakan Aghanistan dan Iraq menjadi sasaran. 

Cerita sebenarnya.. masih menjadi simpulan ikatan yang kelihatan boleh terurai tetapi sukar rupanya.. Kosmo mengajak kita mengimbau dan memikirkan sedikit kisah ini...


Tiket AS kekal polis dunia



SALAH seorang penulis laman rasmi blog bual bicara NPR, Talk of the Nation pernah mengungkapkan kata-kata berikut: “Memang tidak dapat dinafikan bahawa tragedi 11 September 2001 telah mengubah Amerika Syarikat (AS). Dalam apa cara dan sejauh mana ia berubah bergantung di mana anda pada hari itu (kejadian).”
Apa yang dinukilkan penulis bernama Scott Cameron itu ada kebenarannya. Tragedi serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York menyebabkan kedua-dua bangunan berkembar yang menjadi kebanggaan rakyat negara Uncle Sam itu runtuh menyembah bumi.
Malah, dunia langsung tidak menyangka negara sekuat AS bakal berdepan dengan tragedi yang mencatat sejarah hitam dalam kalendar antarabangsa.
Rempuhan pesawat Boeing 767 American Airlines Flight 11 di Menara Utara WTC pada pukul 8.46 pagi waktu tempatan dan pesawat United Airlines Flight 175 di Menara Selatan WTC pada pukul 9.03 pagi itu dikatakan didalangi oleh sekumpulan pengganas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian Al-Qaeda.

ASAP dan debu panas memenuhi ruang angkasa bandar raya New York sejurus serangan berlaku.


Ironinya, kejadian yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa itu menyebabkan AS bertekad melancarkan perang menangani keganasan secara besar-besaran dan menuduh Osama bin Laden sebagai ketua pengganas yang bertanggungjawab terhadap tragedi tersebut.
Malah, kerajaan AS di bawah pimpinan Presiden George W. Bush ketika itu menjadikan insiden 11 September 2001 sebagai alasan kuat untuk mengebom Afghanistan dalam usaha mereka memburu Osama dan pengikutnya hingga membunuh ramai orang awam termasuk wanita serta kanak-kanak yang tidak berdosa. Situasi itu juga menyebabkan umat Islam di AS diselubungi kebimbangan terutamanya pada tanggal 11 September itu sendiri.
“Meskipun masa berlalu begitu pantas, saya sentiasa berasa susah hati apabila munculnya tarikh keramat itu. Pada tarikh 11 September, apabila saya keluar rumah sambil memakai tudung, masyarakat akan memandang serong dan menyalahkan saya kerana kejadian yang berlaku,” kata Nancy Rokayak dari Charlotte, North Carolina sewaktu ulang tahun kelapan tragedi serangan itu.
Wanita kelahiran AS yang memeluk Islam dan mempunyai empat cahaya mata dengan suaminya yang berasal dari Mesir itu akan memastikan dia memakai pin bendera AS pada setiap 11 September dan mengakui berasa lebih selamat berada di rumahnya pada waktu berkenaan.

PARA petugas keselamatan bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa kejadian runtuhan WTC.


Tapak Ground Zero
Dalam pada itu, tapak WTC yang dikenali sebagai Ground Zero kini sedang rancak dibangunkan semula sejak tahun 2008. Menurut pemilik tapak itu, memorial WTC akan dibuka secara rasmi kepada umum pada tarikh 11 September 2011 sempena ulang tahun ke-10 tragedi serangan pengganas ke atas bangunan tersebut.
Proses pembinaan semula Ground Zero yang akan dijadikan hab pengangkutan kereta api itu menelan belanja sebanyak AS$3.2 bilion (RM11.09 bilion). Ia dijangka siap menjelang tahun 2014.
Selain itu, pembinaan sebuah masjid dan pusat Islam yang diilhamkan pemimpin Cordoba Initiative, Feisal Abdul Rauf di sebelah tapak WTC turut mengundang kontroversi dan provokasi daripada pelbagai pihak.
Bagi yang menentang, mereka merasakan rancangan membina masjid itu dianggap sebagai ‘monumen kejayaan Islam’ dalam membunuh lebih 3,000 mangsa yang berada di bawah runtuhan tersebut.
GAMBAR lakaran artis bagi projek pembangunan semula di tapak WTC atau Ground Zero.


Sebaliknya kumpulan penyokong pula menuduh Barat sengaja tidak mahu memahami kesucian Islam dan hanya melihat agama syumul itu sebagai pengganas seperti Al-Qaeda, Taliban dan Parti Baath di Iraq sebelum kejatuhan Saddam Hussein.
Impak Osama
Sementara itu, pada awal Mei lalu beribu-ribu rakyat AS membanjiri tapak Ground Zero tersebut semata-mata untuk meraikan kematian Osama yang terbunuh dalam satu serangan di lokasi persembunyiannya di sebuah rumah agam di Abbotabad, Pakistan.
Kejayaan AS membunuh ketua pengganas paling dikehendaki negara Uncle Sam itu disifatkan oleh Presiden Barack Obama sebagai satu pencapaian yang paling signifikan dalam usaha negaranya memerangi rangkaian Al-Qaeda.
Namun Pengerusi Nahdatul Ulama (NU), sebuah pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Said Aqil Siradj berkata, kematian Osama masih belum cukup untuk terus menghapuskan fahaman radikal dari muka bumi.
SELEPAS hampir sedekad tragedi 11 September, barulah AS berjaya membunuh Osama yang dituduh menjadi perancang utama serangan tersebut.


“Kita perlu sentiasa berwaspada kerana fahaman radikal sudah lama wujud dan tidak akan hilang. Justeru, komitmen kita yang berterusan untuk bertindak memerangi fahaman radikal tidak boleh luntur,” tegasnya terhadap reaksi kematian Osama.
Perkara itu turut diakui oleh Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Politik, Kementerian Luar Negara dan Integrasi Eropah Republik Crotia, Dr. Mario Nobilo di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujar beliau, kematian pemimpin Al-Qaeda itu tidak menjamin masalah keganasan antarabangsa akan turut berakhir.
“Walaupun Osama terbunuh dalam operasi yang digerakkan oleh tentera AS itu, namun kumpulan berkenaan tetap wujud walaupun tidak sekukuh dahulu,” katanya.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock