TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Saturday, August 27, 2011

Perkahwinan kanak-kanak : Amalan atau penindasan...

070214_sinclair_nepa#3BD658Di Malaysia, had umur untuk boleh berkahwin adalah 18 tahun seperti Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang digubal selepas merdeka memperuntukkan usia minimum 18 tahun untuk berkahwin dan mereka yang belum mencecah usia tersebut perlu memohon kepada Mahkamah Syariah jika mahu berkahwin.

Namun di kebanyakan negara ketiga seperti India, Pakistan, Bangladeshi, Nepal malahan menjangkau ke benua Afrika dan negara latin, terdapat amalan perkahwinan seawal usia 14 tahun malah menjadi tradisi yang dipertahankan sedari dahulu lagi.  

Pelbagai tanggapan dan alasan dinyatakan bagai meneruskan tradisi ini sehingga kini dan salah satunya adalah kemiskinan keluarga.

Anda boleh meninjau koleksi dari laman ini untuk gambaran perkahwinan bawah umur ini..

Memetik laporan dari Kosmo, aku lanjutkan kisah seterusnya...


Ragut kebebasan kanak-kanak


PERKAHWINAN kanak-kanak, yang meragut kebebasan jutaan kanak-kanak tidak berdosa di seluruh dunia hingga menyebabkan mereka hidup dalam kemiskinan, kejahilan dan tahap kesihatan yang buruk merupakan salah satu daripada halangan terbesar kepada pembangunan.


Demikian kenyataan yang dikeluarkan sebuah kumpulan hak asasi manusia yang mementingkan kebajikan kanak-kanak, Plan UK baru-baru ini.
Menurut kenyataan tersebut, kanak-kanak perempuan di bawah usia 18 tahun akan dikahwinkan setiap tiga saat iaitu kira-kira 10 juta setahun. Seringkali ia dilakukan tanpa persetujuan mereka dan dijodohkan dengan pasangan yang jauh lebih berumur.
Kebanyakan perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak tersebut berlaku di Afrika, Asia Barat dan Asia Selatan.
“Ini merupakan antara isu pembangunan terbesar masa kini dan kami komited untuk meningkatkan suara berjuta-juta kanak-kanak perempuan yang berkahwin tanpa kerelaan mereka,” kata ketua Plan UK, Marie Staunton dalam ucapan pengenalannya kepada Breaking Vows, laporan global terkini mengenai perkahwinan kanak-kanak.
Daripada kecederaan teruk sewaktu melahirkan anak hingga menyentuh rahsia di mana sebenarnya kanak-kanak perempuan dijual demi mendapatkan wang dengan cara berkahwin, kesan akibat perkahwinan kanak-kanak dit dalam dokumentari multimedia oleh TrustLaw, perkhidmatan berita undang-undang yang dijalankan oleh Thomson Reuters Foundation (childmarriage).
Kecewa dalam hidup

MEREKA yang tidak mendapat pendidikan tinggi berisiko berkahwin pada usia muda.


“Pada usia masih muda saya telah mempunyai anak. Hidup saya musnah, pelajaran saya entah ke mana. Apa yang pasti, anda akan berasa kecewa dengan semua yang berlaku dalam hidup,” ujar Kanta Devi kepada TrustLaw. Devi berusia 16 tahun ketika dipaksa berkahwin di perkampungan Badakakahera, Rajasthan, India.
Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-Kanak menganggap perkahwinan sebelum mencapai umur 18 tahun adalah melanggar hak asasi manusia.
Tetapi, menurut Pusat Kajian Wanita Antarabangsa (ICRW), terdapat lebih daripada 50 juta pengantin kanak-kanak di seluruh dunia. Jumlah itu dijangka meningkat sehingga 100 juta menjelang dekad seterusnya.
Aktivis hak asasi berkata, enam daripada lapan Matlamat Pembangunan Milenium PBB yang perlu dicapai menjelang tahun 2015 secara langsung dipengaruhi oleh kelaziman perkahwinan kanak-kanak.
Ia melibatkan pembasmian kemiskinan dan kelaparan, pencapaian pendidikan rendah yang universal, menggalakkan kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita, pengurangan kadar kematian kanak-kanak, peningkatan dalam kesihatan ibu serta memerangi HIV/AIDS, malaria dan penyakit lain.
Pakar mengatakan kesan daripada perkahwinan sebegini amat buruk. Kanak-kanak perempuan yang dipaksa berkahwin pada usia muda jarang meneruskan pelajaran sekali gus menafikan harapan mereka untuk hidup berdikari, berkeupayaan untuk mencari sumber pendapatan atau membuat sumbangan ekonomi kepada isi rumah mereka.
Tamatkan sekolah
Amalan ini juga secara tidak langsung mengukuhkan lagi konsep kanak-kanak perempuan sebagai beban yang tidak bernilai pada keluarga mereka dan perlu dibuang secepat mungkin.
Kebarangkalian kanak-kanak perempuan yang berjaya menamatkan sekolah menengah adalah enam kali kurang untuk menjadi pengantin kanak-kanak daripada rakan seusia yang tidak mendapat pendidikan, jelas ICRW, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Washington.

WANITA yang berkahwin pada umur terlalu muda boleh meningkatkan risiko kecederaan semasa melahirkan anak.


Bagaimanapun jarak yang jauh dari sekolah dan kekurangan yuran sekolah sering menjadi menghalang pendidikan untuk kanak-kanak perempuan yang miskin. Situasi itu menyebabkan mereka lebih berkemungkinan untuk berkahwin muda berbanding anak-anak daripada keluarga kaya.
Berdasarkan analisis data demografi dan kesihatan ICRW tahun lalu, lebih daripada 70 peratus kanak-kanak perempuan di Niger, Chad dan Mali telah berkahwin sebelum usia mereka mencapai 18 tahun.
Malah, data itu juga menunjukkan kadar perkahwinan kanak-kanak di Bangladesh, Guinea, Republik Afrika Tengah, Mozambique, Burkina Faso dan Nepal melebihi 50 peratus.
Negara-negara lain seperti Habsyah, Malawi, Madagascar, Sierra Leone, Cameroon, Eritrea, Uganda, India, Nicaragua, Zambia and Tanzania semuanya mencatat kadar melebihi 40 peratus.
“Kebanyakan keputusan perkahwinan seseorang kanak-kanak dibuat oleh ahli keluarga terdekat mereka. Tetapi kami mendapati, bagi sebahagian besar, bahawa orang yang membuat keputusan ini kerana mereka rasa ia satu perkara terbaik untuk anak-anak perempuan mereka.
“Ibu bapa sudah tentu menyayangi anak-anak mereka dan hanya mahukan yang terbaik untuk mereka. Cuma, mereka tidak pasti apakah perkara terbaik itu,” Jeffrey Edmeades, seorang demografi sosial dengan ICRW, memberitahu TrustLaw.
Risiko kesihatan
Edmeades, yang bekerja dengan agensi bantuan CARE dalam projek untuk menangani perkahwinan kanak-kanak di Habsyah, memberi contoh kanak-kanak di negara itu ditunangkan sebelum kelahiran untuk mengukuhkan pakatan strategik antara keluarga.
Dalam kes-kes lain, kanak-kanak perempuan dipaksa berkahwin awal semata-mata untuk memastikan keperawanan mereka terpelihara. Sehubungan itu, nilai ekonomi mereka sebagai pengantin, masih utuh dan maruah keluarga dilindungi.
Sementara itu, hutang dan bencana alam, seperti tsunami dan kemarau, boleh membawa kepada kanak-kanak perempuan dijual sebagai pengantin perempuan bagi sesebuah keluarga meneruskan kelangsungan hidup.
Menyentuh permasalahan itu, pakar perunding Obstetriks dan Ginekologi Hospital Pantai Ampang, Dr. Suhaimi Isa memberitahu, perkahwinan bawah umur boleh menyebabkan kanak-kanak atau remaja perempuan akan hamil dalam usia terlalu muda.
Keadaan itu sekali gus memberi kesan buruk terhadap tubuh mereka terutama berhadapan dengan banyak komplikasi, antenatal iaitu masalah kesihatan ketika hamil, intrapartum (sewaktu melahirkan) dan post-partum (selepas melahirkan).
“Gadis yang berusia kurang 15 tahun, tubuh mereka masih dalam proses membesar dan pelvis mereka sempit. Justeru, mereka berisiko lima kali lebih tinggi meninggal dunia sewaktu hamil atau melahirkan berbanding wanita yang hamil pada usia 20 tahun ke atas.
“Apatah lagi, jika mereka tidak mendapat kemudahan optimum seperti pemeriksaan kesihatan di hospital, pengambilan ubat-ubatan dan suplemen ketika hamil, sudah pasti ia akan meningkatkan lagi risiko kematian,” jelas Dr. Suhaimi.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock