TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Sunday, May 29, 2011

P. Ramlee...

Tanpa sedar , hari ini P. Ramlee telah 38 Tahun meninggalkan kita secara jasad atau lahiriahnya tetapi tidak pada karyanya. Sedikit 'copy and paste' artikel mengenai P. Ramleee.

Untuk artikel yang lebih terperinci , kunjungi
http://seniman-pramlee.tripod.com/ 

Ramlee - Lagenda Sepanjang Zaman.

"Aku nak hidup sampai 1000 tahun lagi." Itulah katanya kepada salah seorang sahabatnya. Namun begitu apa yang telah dikatakan itu secara gurauan, kini beransur-ansur berubah menjadi realiti.

Sesungguhnya tiada siapa yang tidak mengenali beliau. Pengenalan kepada seniman agung Allahyarham Tan Sri Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih. Beliau yang lebih dikenali dengan nama P.Ramlee bukan sahaja berbakat tetapi juga sebagai ikon seniman sepanjang zaman.

Siapa yang tidak tertawa apabila melihat jenakanya? Siapa yang tidak asyik apabila mendengar lagu-lagunya? Siapa yang tidak sedih apabila melihat lakonan menyayat hatinya? Siapa yang tidak terpana dengan filem arahannya?

Amat sukar untuk mencari insan yang boleh menandingi kehebatan beliau. Apatah lagi untuk mencari mereka yang boleh menggantikan P.Ramlee. Sehingga kini, tiada siapa yang mampu menggantikan tempat beliau sebagai seniman yang serba boleh. Biarpun dari seniman seangkatan dengannya atau pun dari generasi baru seniman yang lebih dikenali sebagai artis pada masa kini.

Tidak ramai yang mengetahui akan kisah dan juga penghidupan seniman agung ini. Rata-rata cuma mengetahui apakah filem yang dilakonkan dan diarahkannya ataupun lagu yang didendangkannya. Tetapi ramai yang tidak tahu akan perjuangannya yang penuh liku dan ranjau. Marilah kita sama-sama menghayatinya.

Sejarah P. Ramlee
Hasil perkongsian hidup Teuku Nyak Putih Teuku Karim dengan Che Mah Hussein sejak tahun 1925, P.Ramlee telah dilahirkan pada 22 Mac 1929 di pagi Hari Raya Aidilfitri. P.Ramlee telah dilahirkan di rumah neneknya di 40A, Counter Hall, Penang, Malaya.
P.Ramlee memulakan pendidikan awal beliau di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudiannya ke Francis Light School. Sebelum perang meletus, P.Ramlee sempat menyambung pelajarannya ke Penang Free School tetapi tidak sempat menamatkannya. Semasa Perang Dunia Ke 2, P.Ramlee telah mendapat pendidikan di Japanese Navy School.

Bermula dengan bermain ukele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School). Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio
Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.

Pada tahun berikutnya, P.Ramlee bersama sahabatnya Mohd Yusop telah menubuhkan sebuah pancaragam bernama Pancharagam Mustika. Beliau telah mendapat undangan menyanyi di atas pentas di Agricultural Show di Bukit Mertajam. B.S Rahjans kebetulan berada di situ untuk mencari bakat baru. Setelah menyaksikan persembahan P.Ramlee, beliau menawarkan P.Ramlee untuk datang ke Singapura.

Dalam tahun itu juga P.Ramlee telah pergi ke sana. Filem pertama lakonan P.Ramlee adalah CHINTA pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan penyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakun di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955.

P.Ramlee buat pertama kalinya mendirikan rumah tangga dengan anak salah seorang seniman ketika itu. Isterinya yang dimaksudkan ialah Junaidah Daeng Haris. Melangsungkan perkahwinan mereka pada tahun 1953. Kemudian mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata. Iaitu, Mohd Nasir dan Arfan.

Setelah bercerai pada tahun 1954, P.Ramlee berkahwin dengan Norizan pada 6 Februari 1955. Namun begitu perkahwinan mereka tidak dapat bertahan lama. Mereka bercerai pada tahun 1961.

Pada tahun yang sama, P.Ramlee bertemu dengan Salmah Ismail atau pun lebih dikenali dengan nama Saloma. Kemudiannya mereka telah diijab kabulkan pada 21 November 1961. Saloma telah menemani P.Ramlee dalam suka mahupun duka sehingga ke akhir hayat P.Ramlee.

Sepanjang perkahwinan, P.Ramlee cuma mempunyai 2 orang anak. Iaitu Nasir dan Arfan. Oleh kerana itu, P.Ramlee telah pun mengambil beberapa orang anak angkat. Diantaranya ialah Betty, Zakiah @ Zazaloma, Sabaruddin @ Badin dan akhir sekali Dian.

Di dalam dunia perfileman tempatan, P.Ramlee telah berlakon dalam 66 filem. Bermula dengan filem pertama 'Chinta' sehinggalah filem terakhirnya 'Laksamana Do Re Mi'. Di dalam dunia seni suara pula, P.Ramlee telah mendendangkan 359 buah lagu.

P.Ramlee juga telah memenangi beberapa buah anugerah di Festival Filem Asia di Hang Kong, Jakarta, Kuala Lumpur, Manila, Singapura, Taipe dan Tokyo. Tidak ketinggalan juga, Festival Filem Antarabangsa di Berlin.

Hayat P.Ramlee tidak lama. Beliau meninggal ketika berusia 44 tahun pada pagi Selasa 29 Mei 1973 kerana diserang sakit jantung. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Kampung Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang. Semoga pemergian beliau dirahmati Allah swt.

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya tidak ternilai, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri.


P.Ramlee - Filem...
Seperti yang kita tahu, semenjak kecil lagi P.Ramlee memang mempunyai cita-cita untuk menjadi anak seni. Minatnya dipupuk apabila melihat bintang Hollywood seperti Tom Mis dan Buck Jones.

Bertolak ke Singapura pada 9 Ogos 1948 atas undangan B.Sh.Rajhans. P.Ramlee mula mengorak langkah di dalam dunia. Bermula dengan filem Chinta, P.Ramlee telah pun diberi watak kecil di dalam filem tersebut.

P.Ramlee sememangnya dikenali sebagi seniman yang serba boleh. Pelbagai watak dan dan peranan telah pun dilakonkannya. Banyak perkara yang telah P.Ramlee melalui demi mengukur namanya di persada seni tanah air. Berdepan dengan masalah kontrak dan juga gaji, P.Ramlee tetap tabah mengharunginya.

"Masuknya saya ke dalam dunia filem hanya secara kebetulan sahaja, kerana tidak pernah terlintas dalam hati saya untuk menjadi seorang pelakon. Secara kebetulan saya katakan kerana sewaktu saya di Pulau Pinang, B.S.Rajhans yang menjadi pengarah di Studio Malay Film Production telah menemui saya dan mengajak saya ke Singapura untuk berlakon dalam filem. Pada mulanya agak keberatan juga rasanya saya hendak ikut ke Singapura. Tetapi kerana terlalu kuat desakan dari Rajhan, maka ikut juga ke Singapura dan menjadi keluarga Malay Film Productions." Itu adalah katanya.

P.Ramlee dengan pantas mencapai kejayaan yang besar. B.S. Rajhans membawa dia ke dunia filem, tetapi L.Krishan membuat dia jadi bintang. Kejayaan demi kejayaan diraih P.Ramlee. Namun begitu apa yang lebih diidamkannya ialah, "Pada satu hari nanti, hendaknya akan dapatlah melihat salah satu dari gambar filem saya itu dipertunjukkan di Pesta Cannes."

Dalam penglibatan dunia perfileman, P.Ramlee telah digandingkan dengan hampir kesemua seniwati yang ada ketika itu. Diantaranya Kasma Booty, Siput Sarawak, Rokiah, Neng Yatimah, Rosnani, Saadiah, Aini Hayati, Normadiah, Zaiton, Sarimah, Latifah Omar dan Maria Menado.

Filem 'Penarik Becha' pula menjadi batu loncatan kepada P.Ramlee. Ini kerana filem itu banyak memenangi anugerah. Bukan saja anugerah, tetapi P.Ramlee adalah orang Melayu kedua selepas Haji Mahdi diberikan jawatan 'Pengarah' di Malay Film Production. Sejak dari filem itu, P.Ramlee cuma berlakon 3 buah filem di bawah arahan orang lain. Selebihnya dialah teraju utama.




P.Ramlee - Lagu
P.Ramlee hanya hadir ke sekolah sebanyak 10 hari dalam sebulan. Selebih hari-harinya banyak dihabiskan dengan ke sana ke mari mengikut pasukan pancaragam.

Sejak kecil lagi P.Ramlee memang berminat bermain muzik. Tidak hairanlah jika banyak masa dihabiskan di rumah Tuan Kamaruddin untuk belajar bermain gitar dan biola.

P.Ramlee juga menjadi penyusun lagu-lagu pancaragam bernama Mustika. Ketika itu P.Ramlee mula mencipta lagu seperti Azizah, Baidah, Abang Dollah, Mee Jawa, Joget Melayu, Malam Thaipusam, dan Padang Kota.

P.Ramlee menyertai pertandingan menyanyi di Radio Malaya, Pulau Pinang kali pertama pada 1945. Tempat ke-4 pada tahun itu dan melonjak ke tempat ke 2 untuk tahun berikutnya. Menjadi juara penyanyi untuk Utara Malaya anjuran Radio Malaya.

Kemudian bakat P.Ramlee berkembang setelah beliau berhijrah ke Singapura. Lagu-agu ciptaannya banyak dimuatkan dalam filem-filem Malay Film Productions di Singapura dan Merdeka Film Productions di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1951, lagu-lagu P.Ramlee mula direkodkan di dalam piring hitam. Kebanyakan lagu adalah dari filem-filem lakonannya. Banyak pengalaman yang ditempuhinya dalam usahanya merakam lagu.

Lagu-lagu P.Ramlee tidak bosan kita mendengarnya, bahkan indah kedengaran ditelinga kita. Pembawaan suaranya menggema merdu, lagu-lagunya membawa irama manis. Menjadi nyanyian dan siulan umum. Terkenalnya lagu-lagu itu bertambah terpuja nama P.Ramlee sebagai bintang filem dan sebagai biduan.

Menurut P.Ramlee, mencipta lagu adalah bergantung kepada jiwa penciptanya. Jika pencipta sesuatu lagu itu sedang dirundung duka, maka lagu yang terhasil dia tidak dapat melahirkan satu lagu yang berirama gembira. Jika pencipta lagu itu sedang bergembira, dia tidak dapat menggambarkan bagaimana tekanan jiwa yang duka.

P.Ramlee juga menekankan penciptaan lagu bukanlah paksaan. Tetapi bergantung kepada ilham yang datang. Kesinambungan antara irama dan lagu perlu. Banyak proses yang perlu dubuat untuk menghasilkan sesebuah lagu. Itulah dapur seorang ahli musik yang menyiapkan resepi dan bumbunya untuk hidangan umum.



P.Ramlee - Anugerah
Pembuktian kepada kebolehan seseorang ialah dengan anugerah. Sebagai seniman agung, P.Ramlee telah banyak memenangi anugerah baik di peringkat dalam mahupun luar negeri. Kemenangan meraih anugerah inilah yang menyebabkan namanya dijulang.

Anugerah yang paling besar buat dirinya semasa hayat ialah penganugerahan Ahli Mangku Negara oleh DYMM Yang Dipertuan Agung Tuanku Syed Putra Jamalullail, di Istana Negara Kuala Lumpur pada 3 Jun 1964.

Cerita menarik tentang anugerah, P.Ramlee pernah menolak anugerah Oscar Golden Harvest yang dicadang dan disampaikan kepadanya begitu saja melalui filem Hang Tuah.

Berikut adalah senarai kepada anugerah yang pernah diterima P.Ramlee sepanjang riwayatnya yang telah diketahui setakat ini.
  1. 1945 - Tempat ketiga Pertandingan Menyanyi Radio Pulau Pinang.
  2. 1946 - Juara Pertandingan Menyanyi Keconchong Pulau Pinang.
  3. 1946 - Tempat kedua Pertandingan Menyanyi Radio Pulau Pinang.
  4. 1947 - Juara Pertandingan Menyanyi Radio Pulau Pinang.
  5. 1951 - Bintang Pujaan Malaya - Indonesia .
  6. 1952 - 'Pelakon Terbaik', 'Filem Terbaik' ('Antara Senyum Dan Tangis'), 'Filem Pujaan' ('Juwita').
  7. 1953 - 'Filem Terbaik' ('Hujan Panas'), 'Pelakon Terbaik', 'Filem Pujaan Malaya' ('Antara Senyum Dan Tangis'), 'Filem Pujaan Malaya - Indonesia' ('Antara Senyum Dan Tangis'), 'Bintang Pujaan Malaya - Indonesia'.
  8. 1953 - 'Seniman Tahun 1953', 'Filem Terbaik' ('Hujan Panas')
  9. 1953 - 'Bintang Radio Lelaki'
  10. 1956 - Festival Filem Asia, Hong Kong - Pengubah Lagu Terbaik.
  11. 1956 - 'Seniman Terbaik', 'Pengarah Terbaik', 'Pengubah Lagu Terbaik', 'Biduan Terbaik', 'Filem Terbaik' ('Semerah Padi'), 'Filem Terbaik Kedua' ('Anak-ku Sazali').
  12. 1956 - 'Filem Melayu Terbaik' ('Penarek Becha'), 'Pengarah Terbaik', 'Seniman Terbaik', 'Lagu Terbaik' ('Inang Baru').
  13. 1957 - 'Terpilih untuk tayangan' ('Hang Tuah').
  14. 1957 - 'Pelakon Lelaki Terbaik'
  15. 1958 - 'Seniman Lelaki Terbaik', 'Filem Terbaik' ('Sumpah Orang Minyak'), 'Lagu Terbaik Kedua'.
  16. 1959 - 'Filem Komidi Terbaik' ('Pendekar Bujang Lapok').
  17. 1960 - 'Filem Paling Popular ('Pendekar Bujang Lapok'), 'Fotografi Hitam Putih Terbaik' ('Nujum Pak Belalang') .
  18. 1960 - 'Filem Sukaramai' ('Pendekar Bujang Lapok'), 'Teraju Sukaramai'), 'Seniman Utama', 'Lagu Sukaramai'.
  19. 1960 - 'Filem Komidi Terbaik.' ('Nujum Pak Belalang').
  20. 1962 - 'Calon untuk Filem Komedi Terbaik' ('Seniman Bujang Lapok')
  21. 1962 - 'Ahli Mangku Negara'
  22. 1964 - 'Filem Komidi Terbai' ('Madu Tiga') .
  23. 1965 - 'Anugerah Istimewa ('Ibu Mertua Ku').
Bagi mengenang jasa dan sumbangannya dalam dunia seni tanah air, P.Ramlee telah dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota oleh DYMM Yang Dipertuan Agung Sultan Azlan Shah pada 6 Jun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. P.Ramlee yang telah diwakili oleh anaknya iaitu Nasir.


Catatan mrkumai.blogspot.com
Anaknya Nasir telah kembali ke rahmatullah pada 2010 meninggalkan senaskah karya mengenai Bapanya. 


No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock